Sabtu, 10 Mac 2012

Dosa dan Implikasi kepada Kehidupan

Muqaddimah
Kita, sebagai seorang Muslim, tidak dinafikan perlu berada dalam landasan yang betul untuk mencapai redha dan keampunan-Nya.
Kita menyebarkan risalah tauhid. Memahamkan manusia tentang kesyumulan Islam. Dan menyeru manusia agar kembali pada-Nya.

Akan tetapi, boleh jadi, kita terlepas pandang akan sesuatu perkara yang mungkin, kita akan menganggapnya remeh.
Itulah dia DOSA.

Hakikatnya, itulah yang boleh menjadi penyebab kepada kita TIDAK mencapai kemenangan yang kita idam-idamkan.
Kerana DOSA kita. Mudah sahaja sebabnya. Tetapi, membawa kesan yang besar. Dan menghancurkan.

Implikasi Dosa 
Menurut seorang sahabat yang berkongsi, terdapat beberapa implikasi dosa kepada kehidupan kita.
1) Susah belajar dan menerima ilmu agama.
2) Manusia akan membenci.
3) Contoh lain.

Tentang nombor 1, di situlah kita boleh memuhasabah kembali, sejauh manakah peringatan-peringatan dan tazkirah yang diberikan kepada kita memberikan kesan dan penghayatan kepada jiwa kita. Andainya peringatan itu tidak membawa keinsafan dan kesan, maka, kembalilah. Bertaubatlah. Betapa pemurahnya Allah, sentiasa membuka jalan pengampunan kepada kita.

Tentang nombor 2, huraian yang panjang sedikit di bawah.

Menurut sang sahabat, apabila tiba-tiba kita dibenci oleh manusia lain, maka...jangan disalahkan manusia itu. Akan tetapi, renung kembali, dan fikir akan apa dosa yang telah kamu lakukan.

Contoh yang diberikan oleh sang sahabat ialah, boleh jadi pada pagi hari, isteri kita menyayangi kita, dan menghantar kita ke pintu keluar rumah dengan penuh kasih sayang. Akan tetapi, apabila pulang dari kerja, terus kita dimarahi. Sedangkan, pada hakikatnya, kita tidak melakukan apa-apa kesilapan kepadanya. Apabila kita berfikir dan berfikir tentang apakah salah kita kepadanya, di situlah kita wajar bertanya kepada diri kita, "Mungkinkah itu berpunca daripada dosa kita di tempat kerja?"

Ingatlah, sesungguhnya hati-hati manusia dipegang oleh-Nya. Maka, apabila kamu melakukan sebuah dosa, ketahuilah...kamu sebenarnya mungkin menempah kebencian manusia lain kepadamu.

Tentang nombor 3, contohnya seperti di bawah.

Kisah seorang tabiin, Muhammad ibn Sirin. Di akhir hayatnya, dia dipenjara. Apabila ditanyakan kepadanya tentang apakah yang menyebabkan dia terpenjara, dia mengkhabarkan satu sebab yang mudah sahaja. Dosanya 40 tahun dahulu. Apakah dosanya itu? Mudah sahaja. Mengatakan ayat 'ya muflis' kepada seorang insan lain. Akhirnya, Allah membalasnya di penghujung hayatnya. Hutang beliau dengan manusia lain yang menyebabkan beliau terpenjara. "Ya muflis! Terbalas di penghujung hayatnya".

Kalau kita? Saya rasa tidak perlu untuk saya ceritakan yang lanjut tentang perkataan kita sehari-hari.

Maka, andainya terdapat apa-apa sahaja kesukaran yang kita hadapi, maka, lakukanlah refleksi diri...dan tanyalah, "Dosa apakah yang telah diri ini lakukan?"

Bagaimanakah untuk Mengatasi?
Di manakah ubatnya? Di manakah penawarnya? Solusinya, boleh rujuk kepada surah at-Tahrim, 66 : 8:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah, dengan taubatan nasuha..."

Pintu-Nya itu sentiasa terbuka. Tidak kisahlah kita ini penjenayah yang terhebat pada zaman ini sekalipun. Cuma kita hendak atau tidak hendak sahaja masuk ke dalam pintu itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan