Ahad, 11 Mac 2012

Khutbah Jumaat - Jauhilah Kezaliman - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Berikut adalah khutbah jumaat yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 6 Februari 2009 bersamaan dengan 11 Safar 1430H.



Berikut adalah isi kandungan khutbah tersebut. 

1. Ayat yang dibincangkan hari ini adalah surah al-Anfal ayat 25 yang bermaksud "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa yang membawa bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalaim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."

2. Pengertian zalim yang sebenar yang ditunjukkan oleh Allah swt yang Maha Bijaksana adalah "meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya".

3. Punca kezaliman adalah apabila umat manusia menyeleweng dari ajaran Allah swt. Mereka tidak melaksanakan hukum Allah dan tidak beramal dengan kitab Allah. Ini adalah dikhabarkan oleh Allah dalam al-Quran, surah al-Maidah ayat 45 yang bermaksud, "Dan barangsiapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu orang yang zalim".

4. Semua perkara yang wajib, yang sunat dan harus, membawa kepada kebaikan kepada manusia. Semua perkara yang dilarang, semua mendatangkan keburukan kepada manusia. Jadi, jika kamu inginkan kebaikan, makak turutilah perkara yang disuruh oleh Allah swt.

5. Pada zaman ini, berpegang kepada agama, adalah sakit sepertimana sakitnya berpegang kepada bara api. Tapi, ingatlah, adalah banyak kebaikan kepada mereka yang berpegang kepada agama pada zaman ini.

6. Firman Allah dalam surah Hud ayat 113, "Dan, janganlah kamu cenderung hati kepada orang zalim yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka." Allah melarang manusia mendekati dan mencenderungi kezaliman, maka, larangan Allah terhadap orang yang melakukan zalim itu pastinya lebih keras lagi.

7. Marilah berpegang teguh kepada ajaran Allah swt, di zaman yang penyelewengan berleluasa berlaku di dunia ini.

8. Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman :
"Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi di antara satu sama lain. Wahai hamba-hamba-Ku! Setiap kamu adalah sesat melainkan sesiapa yang Aku berikan kepadanya petunjuk, maka mintalah petunjuk daripada-Ku nescaya akan-Ku berikan petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku setiap kamu adalah lapar melainkan sesiapa yang Aku memberikan kepadanya makan, maka mintalah makanan daripada-Ku nescaya akan Ku berikan makanan kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku ! Setiap kamu adalah bertelanjang kecuali sesiapa yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku nescaya akan Ku berikan pakaian kepadamu. Wahai hamba-hamba-KU ! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan di waktu siang dan malam, dan aku mengampuni segala dosa, maka mintalah keampunan daripada-Ku, nescaya akan Ku berikan keampunan kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku ! Sesungguhnya kamu tidak akan mampu untuk mendatangkan kemudaratan yang boleh menyakiti-Ku. Dan kamu tidak mampu mendatangkan faedah yang boleh memberikan manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya, kalau semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling bertaqwa di kalangan kamu, kerajaan-Ku tidak akan bertambah sedikit pun di sebabkan perkara tersebut. Wahai hamba-hamba-Ku ! kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling jahat daripada kamu, kerajaan-Ku tidak akan berkurangan sedikitpun disebabkan perkara tersebut. Wahai hamba-hamba-Ku ! Kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, daripada kalangan manusia dan jin berada pada satu tempat, mereka meminta kepada-Ku, lalu Aku berikan kepada setiap orang akan permintaannya, maka perkara tersebut tidak akan mengurangkan apa yang ada pada-Ku melainkan sepertimana berkurangnya air lautan apabila dimasukkan sebatang jarum kemudian dikeluarkan daripadanya. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia adalah amalan-amalan kamu yang Aku hitungkan untukmu, kemudian Aku sempurnakan balasan kamu disebabkan amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan sesiapa mendapat selain daripada itu, maka janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri." [Hadis Riwayat Muslim]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan