Ahad, 18 Mac 2012

Kuliah Subuh - Halal dan Haram - Tuan Guru Haji Hadi Awang

Kuliah subuh ini disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, pada tarikh 23 April 2009 bersamaan dengan 28 Rabiul Akhir 1430H. Marilah kita bersama-sama mendapat iktibar daripada ceramah ini.

video


DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang mukmin seperti diperintahkan-Nya kepada rasul. Firman-Nya: Wahai rasul, makanlah makanan baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mukminun, ayat 51) Firman Allah lagi: Wahai orang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang kami rezekikan kepadamu. (Surah al-Baqarah, ayat 172). Kemudian Nabi SAW menceritakan mengenai seorang lelaki sudah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya daripada barang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan dia diasuh dengan makanan haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya." (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa Allah swt bukan sahaja Tuhan yang amat baik, yang tidak terhingga baiknya, malah Allah juga memberikan kebaikan kepada hamba-hambanya. Di antaranya adalah dalam perkara halal dan haram. Semua perkara yang halal adalah baik. Semua perkara yang haram adalah buruk dan jahat. Baik di sini adalah membawa kebaikan kepada sesiapa yang mengambil, memakai dan memakan yang haram. Buruk di sini adalah buruk kepada diri, orang yang mengambil yang haram, memakai yang haram, memakan yang haram, meminum yang haram baik dari segi jasad atau dari segi rohnya. Dari segi rohnya, orang yang memakan yang haram, rohnya tidak baik. Rohnya jadi jahat. Jiwanya dalam keadaan tidak molek. Amalnya payah diperkenan oleh Allah swt. Sekiranya dia tidak bertaubat. Termasuklah anak-anak yang diberi makan makanan yang haram. Bahkan yang haram juga, membawa keburukan kepada tubuh badan. Menyebabkan berbagai-bagai penyakit. Semua yang halal adalah baik, dan yang haram adalah buruk dalam segala segi kehidupan manusia ini. Yang dimaksud yang halal adalah, zat barang itu dan benda itu halal, tidak najis. Dan, diambil dengan cara yang halal, cara yang baik. Walaupun barang itu halal, lembu, lembu itu disembelih, kerbau itu disembelih, tapi, (kalau) curi lembu orang (lain), curi kerbau orang (lain), (itu) haram juga. Walaupun dagingnya molek, sama sahaja, masuk dalam tubuh, akan melahirkan roh yang tidak baik, perasaan yang tidak baik. Begitu juga dengan pakaian. Pakaian yang kita pakai, bukannya masuk dalam tubuh, pakai di tubuh sahaja, baju itulah juga, kasut yang kita pakai, kasut curi, bukan masuk dalam perut, tapi pakai di kaki sahaja, tapi, dia tetap akan membawa keburukan kepadadiri seseorang. Dan semua yang diharamkan itu adalah buruk. Daging yang haram, minuman yang haram, makanan yang haram, arak, dadah, candu, yang haram, membawa keburukan kepada jasad manusia, kepada jiwa manusia, menghilangkan akal manusia. Akal adalah barang yang berharga yang diberi oleh Allah swt kepada manusia, yang membezakan manusia dengan binatang. Maka, akal hendaklah digunakan dengan cara yang mulia, memikir(kan) Allah swt, mencari ilmu pengetahuan, memikir(kan) perkara yang memberi guna dan faedah dunia dan akhirat, bukan untuk dikhayalkan. Allah swt mengharamkan arak, mengharamkan dadah, mengharamkan candu kerana mereka yang memakan dan meminum perkara yang memabukkan itu, menghilangkan nikmat dan tidak cuba bernikmat dengan nikmat yang diberi oleh Allah swt dan merosak(kan) jasad dan tubuh badannya sendiri. Begitulah (juga) daging babi, daging anjing, daging bangkai yang diharamkan, semuanya mendatangkan penyakit. Samada orang tahu atau orang tak tahu, tetap mendatangkan penyakit. Perkara yang halal dan haram ini, ada perkara yang manusia tahu hikmahnya, dan ada manusia yang tak tahu hikmahnya, tapi, Allah swt sudah tahu sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, mengapa Allah mengharamkan daging babi, ada orang kata, daging babi itu sedap, di mana kajian saintifik pada hari ini mendapati, (dalam) daging babi itu terdapat binatang, cacing yang merosakkan tubuh badan manusia. Yang tidak boleh dimatikan dengan panas bagaimana sekalipun. Ada orang degil, dia kata, buat panas lebih, mampuslah juga cacing itu. Tapi, daging babi tetap najis walaupun cacing itu mampus. Dan babi membawa perangai-perangai yang tidak baik kepada orang yang memakannya. (Keburukan ini) tetap (ada), samada manusia dapat fikir atau tak dapat fikir. Jangan guna akal sahaja, kadang-kadang kita nampak pada akalnya munasabah juga, umpamanya orang hutan (ataupun) orang sakai. Orang sakai, dia cakap sama-sama dia, "Encik makan ayam, ayam makan tahi. Saya makan beruk, beruk makan buah." Kita fikir molek, macam mana ayam makan begitu, halal, beruk atau kera yang makan buah, haram pula. Macam mana. Ini pakai hukum akal semata-mata. Di mana, kajian sains pada hari ini, penyakit AIDS adalah berpunca daripada monyet, daripada kera yang melakukan hubungan sejenis. Yang jantannya, yang bebas, bawa penyakit AIDS dan (akhirnya) berjangkit kepada manusia. Dan manusia pula, ikut perangai kera pula. Pakai macam kera, bergaul macam kera. Pakai macam kera, kalau yang perempuan, bersolek di mata bubuh biru, bubuh hijau, (mata sebegitu boleh dianggap seperti) mata apa (kalau bukan) mata kera, mata monyet. Pergaulan seperti kera, pergaulan yang bebas, hidup yang kadang-kadang dipengaruhi oleh makanan yang haram, bukan saja sebab hal-hal yang lain. Oleh kerana itu, ada perkara yang dihalal, ada perkara yang diharam, tetap membawa kebaikan (atau keburukan) kepada manusia, kepada jasad manusia dan kepada roh manusia. Dalam firman Allah, Surah Al-Baqarah ayat 140:
أَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ
Maksudnya, "adakah kamu lebih mengetahui, ataupun Allah?"

Allah lebih tahu dan kita percaya Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Kasih Sayang kepada hambanya, maka, kita kena terima hakikat, Allah swt sayang kepada hamba-hambanya. Hamba yang lawan Allah Taala, bukan sahaja hamba yang derhaka kepada Allah swt, bahkan hamba itu tak sayang kepada diri dia sendiri. Oleh kerana itu, padan muka (kalau) Allah sumbat dalam api neraka pada hari kiamat, hamba yang semacam ini, yang tak bersyukur kepada nikmat Allah, yang memakan makanan yang haram, yang melaksanakan perkara yang diharamkan, (dan) pakai hukum akal dia sahaja. Di antara yang diharamkan itu adalah judi (dan) riba. Judi (dan) riba itu, nampak duit saja, kita boleh (gunakan untuk) beli makanan yang halal, tapi, kita ambil daripada cara yang haram, ia tetap tak bawa berkat. Berkat ini adalah perkara yang kita tak nampak di mata kita. Perkara yang ghaib, perkara yang mempengaruhi kehidupan manusia. Orang yang memakan makanan yang berkat, membawa amal yang baik, kerja yang baik, perkara yang baik, dalam kehidupannya. Orang yang memakan makanan yang tak berkat, makanan jadi darah daging dan mendorong dirinya melakukan perkara-perkara yang maksiat, perkara yang diharam dalam kehidupannya, dalam pergaulannya, dalam masyarakatnya. Oleh kerana itu, kita kena terima semua perkara yang Allah swt suruh, Allah swt halal adalah perkara yang baik. Dan, semua perkara yang Allah swt haram, larang adalah buruk. Kalau kita ikut, ia membawa kebaikan kepada dunia dan akhirat. Kalau kita tak ikut, celaka di dunia, dan celaka di hari akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan