Jumaat, 16 Mac 2012

Syarah Hadis Arbain Hadis 16 - Jangan Marah

Berikut adalah syarah hadis ini oleh Dr Mustafa Al-Bugha dan Muhyiddin Misto.

Kepentingan Hadis.
Al-Jardaani telah berkata: "Hadis ini mempunyai pengertian yang besar. Ia merupakan kata-kata Rasulullah s.a.w yang ringkas tetapi mengandungi pengertian yang padat kerana ia menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat."
Sila rujuk kepada kepentingan hadis ketiga belas.

Maksud Kalimah
(رجلا) Seorang lelaki: Ada pendapat mengatakan bahawa beliau adalah Abu Dardaak. At Tobaraani telah mengeluarkan sebuah hadis daripada Abu Dardaak: "Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga?" Rasulullah s.a.w bersabda: "Jangan marah, bagimu syurga".
Pendapat lain pula mengatakan bahawa beliau adalah Jaariah bin Qudaamah. Imam Ahmad telah mengeluarkan daripada Qudaamah bahawa beliau berkata: "Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Wahai Rasulullah! Katakanlah kepadaku suatu perkataan dan ringkaskanlah, mudah-mudahan aku dapat memahaminya." Rasulullah s.a.w menjawab: "Jangan marah". Lalu aku mengulangi soalanku berkali-kali. Setiap kali pula baginda s.a.w menjawab: "Jangan marah." Bukanlah suatu kesalahan untuk berlakunya kejadian tersebut berulang kali dan ramainya orang yang bertanyakan soalan yang sama.
(اوصني) Berilah wasiat kepadaku. Maksudnva, tunjukilah kepadaku suatu amalan yang memberi manfaat kepadaku.
(لا تغضب ) Jangan marah. Maksudnya, jauhilah semua sebab-sebab yang boleh membawa kepada kemarahan dan jangan terdedah padanya, atau jangan melakukan sesuatu mengikut dorongan kemarahan. Marah ialah ledakan di dalam jiwa yang akan menyebabkan berlakunya keganasan dan balas dendam.
(فرده مرارا) Dia mengulangi pertanyaannya berkali-kali. Maksudnya, dia mengulangi permintaannya supaya diberi nasihat lebih daripada sekali.

Kandungan Hadis
1. Akhlak muslim:
Muslim adalah seorang insan yang mempunyai sifat-sifat yang mulia, lemah lembut, malu, tawaduk, kasih kepada manusia, wujudnya tanda-tanda kelelakian yang sejati seperti menanggung kesusahan (musibah), tidak menyakiti manusia, memberi keampunan ketika mampu untuk membalasnya, sabar di atas kesusahan, menahan kemarahan ketika orang lain melakukan kesalahan terhadap dirinya dan bermanis muka dalam semua keadaan. Inilah wasiat yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w kepada sahabat yang meminta nasihat daripadanya. Wasiat yang dapat memenuhi tujuan dan matlamat daripada pertanyaannya itu.
Rasulullah s.a.w memberikan wasiat kepadanya dengan hanya menggunakan ungkapan yang ringkas, tetapi terhimpun padanya segala kebaikan dan menghalang segala kejahatan, iaitu kalimah: "Jangan marah."

2. Rindukan syurga dan mencari jalannya.
Inilah wasiat Rasulullah s.a.w selaku seorang guru, mursyid dan pemimpin agung ketika baginda diajukan persoalan oleh seorang sahabat yang ingin menempuh jalan ke syurga seterusnya membawa kepada syurga firdaus dan keredhaan Allah. Beliau meminta supaya Rasulullah s.a.w mewasiatinya dengan wasiat yang ringkas sehingga beliau dapat menghafal dan memahami wasiat serta saranan tersebut. Lalu baginda Rasulullah s.a.w menyahut permohonannya dengan memberikannya sebuah wasiat yang abadi: "Jangan marah". Iaitu, kamu hendaklah berakhlak dengan akhlak yang tinggi; akhlak kenabian, iman dan al-Quran. Sekiranya sifat tersebut menghiasi dirimu sehingga menjadi tabiat dan kelazimanmu, maka kamu dapat menghindiri perasaan marah ketika terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kamu marah. Dan ketika itu, kamu akan mengenali jalan menuju keredhaan Allah dan syurgaNya.

3. Lemah lembut dan menguasai diri adalah jalan kejayaan dan keredhaan.
Apabila sifat kemanusiaan menguasai dan tusukan kejahatan bergelora di dalam jiwa, maka  - wahai muslim yang mencari kejayaan - awaslah kamu daripada membenarkan jiwamu dikuasai oleh hawa nafsu dan jangan biarkan kemarahan bertapak dalam dirimu. Kerana, jika kamu membiarkan nafsumu menguasai dirimu, ketika itu ia menjadi penyuruh dan penegah bagimu. Dengan itu kamu akan melakukan apa yang ditegah oleh Allah. Tetapi berjuanglah menentang nafsumu supaya meninggalkan runtunan marah dan ingatlah akhlak muslim yang bertakwa dan mukmin yang suci yang telah disifatkan oleh Allah dalam firmanNya:
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan-amalan yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan-kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali-Imran: 133-134)
Ketika itu, dirimu akan terpelihara daripada kemurkaan Allah s.w.t iaitu setelah kamu dapat mengawal dan mengendalikan kebuasan nafsu. Dengan itu kamu akan tergolong di dalam golongan orang-orang yang bertakwa dan ahli syurga yang kekal di dalamnya.
Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Umar bahawasanya beliau telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah perkara yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah?" Sabda baginda: "Jangan marah."
Imam Hasan al-Basri telah berkata: "Empat perkara sesiapa memilikinya, Allah akan memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkannya daripada api neraka. Iaitu siapa yang mampu menahan nafsunya ketika berkeinginan, ketika takut, ketika bersyahwat dan ketika marah."

4. Perasaan marah adalah penghimpun kejahatan dan bebas daripadanya adalah penghimpun kebaikan.
Kita dapati di dalam hadis bahawa penyoal yang beriman itu ketika Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: "Jangan marah", beliau memahami nasihat tersebut dan menerimanya serta mengulangi permintaanhya meminta wasiat dan nasihat, seolah-olah beliau tidak berpuas hati dengan wasiat yang diberi dan menyangkanya sedikit sahaja, sedangkan beliau memerlukan wasiat yang lebih daripada itu, yang lebih mendalam dan bermanfaat sehingga beliau dapat mencapai matlamatnya untuk memasuki syurga. Tetapi Rasulullah s.a.w tidak menambah, cukup hanya sekadar mengulangi wasiat yang sama sebanyak dua atau tiga kali, bahkan mungkin lebih banyak lagi. Setiap kali beliau berkata: "Berilah wasiat kepadaku", baginda bersabda: "Jangan marah", sebagai satu penegasan bahawa wasiat itu sudah memadai lagi mendalam sekiranya beliau memahami pengertiannya dan beramal dengan tuntutannya.
Di sini sedarlah mukmin tersebut akan matlamat dan maksud wasiat melalui penegasan Rasulullah s.a.w. Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada mukmin tesebut bahawa beliau berkata: "Lalu aku berfikir ketika Rasulullah s.a.w bersabda apa yang telah baginda sabdakan, lalu aku mendapati bahawa memang sifat marah adalah penghimpun kepada segala kejahatan." Maknanya: Sekiranya beliau tidak marah bererti beliau telah meninggalkan seluruh kejahatan dan sesiapa yang meninggalkan seluruh kejahatan bererti dia telah menghasilkan seluruh kebaikan.
Salawat dan salam ke atas engkau wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah membalasimu dengan sebaik balasan yang diberikan kepada nabi dan rasulNya. Engkau telah menyarankan akhlak yang baik dan memberi amaran daripada kunci segala keburukan.
Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah amalan yang paling afdhal?" Rasulullah s.a.w bersabda:
"Berakhlak baik, iaitu janganlah marah sekiranya kamu mampu."

5. Marah lambang kelemahan dan lemah lembut lambang kekuatan:
Cepat marah dan tunduk kepadanya adalah petanda lemahnya insan sekalipun dia memiliki lengan yang gagah dan tubuh badan yang sihat. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w bersabda:
"Bukanlah orang yang gagah itu orang yang kuat bergusti, tetapi orang yang gagah atau kuat adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah."

6. Kesan-kesan marah yang dimurkai:
Marah adalah akhlak yang dicela dan tabiat yang buruk serta senjata yang membunuh. Apabila seorang insan menghambakan dirinya kepada sifat marah, dia akan jatuh tumbang bersama kesannya yang buruk yang boleh memudaratkan dirinya sendiri secara khususnya dan masyarakat umumnya.
- Mudarat kepada individu: Mudarat ini sama ada pada badan (material), pada akhlak (maknawi) dan pada keimanan (kerohanian). Ini dapat diketahui apabila kamu menggambarkan keadaan seorang yang sedang marah, raut wajahnya berubah, darahnya meluap, anggotanya menggeletar, urat lehernya tegang, pergerakannya kelam kabut, percakapannya tidak jelas, lidahnya mudah mengeluarkan kata-kata keji, mengumpat, mengutuk dan kemungkinan mengeluarkan kata-kata haram yang boleh mengeluarkannya daripada Islam seperti lafaz kufur, mencela agama dan seumpamanya. Ditambah lagi dengan gerak kerja yang tidak menentu lalu hartanya dipersia-siakan atau boleh menyakiti tubuhnya sendiri.
- Mudarat kepada masyarakat: Ia melahirkan perasaan dengki di dalam diri dan menyembunyikan niat jahat terhadap manusia. Ia boleh membawa kepada menyakiti muslimin dan membenci serta merasa gembira apabila mereka ditimpa musibah (iaitu bergembira dengan sebab musibah yang menimpa mereka). Dengan itu tercetusnya permusuhan dan kebencian di antara sahabat handai dan terputusnya hubungan silaturrahim di antara sanak-saudara. Dengan itu juga rosaklah kehidupan dan runtuhlah masyarakat.

7. Membuang perasaan marah dan merawatnya:
Perasaan marah adalah tabiat insan. Tetapi muslim yang mempunyai hubungan dengan alam tinggi memelihara dirinya daripada sifat ini dan mengelak kejahatan marah dengan cara menjauhi segala sebab-sebab yang boleh membawa kepada kemarahan dan merawatnya ketika berlaku:
(a) Sebab-sebab kemarahan: Ianya banyak dan berbagai-bagai. Di antaranya ialah sombong, takabur, ingin mengatasi orang lain, megah, memperolok-olokkan orang lain, terlalu banyak bergurau terutamanya dalam perkara yang bukan kebenaran, berdebat dan campur tangan dalam perkara yang tidak berkenaan dengannya, terlalu rakuskan harta dan kemegahan yang berlebihan.
Seorang muslim hendaklah membersihkan dirinya daripada akhlak-akhlak yang keji ini, tidak memandang kepadanya dan mendidik jiwanya supaya berakhlak dengan sifat yang sebaliknya.
(b) Cara merawat kemarahan: Terdapat berbagai cara untuk merawat kemarahan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Islam:
  1. Melatih dan membiasakan diri supaya berakhlak dengan akhlak-akhlak yang mulia seperti lemah lembut, sabar, mendapat kepastian dalam segala perkara, tenang dalam pengurusan dan menentukan hukuman. Qudwah (pedoman) kita dalam masalah ini adalah Rasulullah s.a.w.
Zaid bin Sa'nah datang menemui Rasulullah s.a.w sebelum keislamannya. Beliau datang untuk menguji salah satu sifat kenabian iaitu sifat lemah lembut yang mengatasi sifat marah dan sifat terlalu jahil orang jahil akan menambahkan lagi sifat lemah lembutnya. Lalu Zaid menuntut hutangnya yang belum sampai tempohnya daripada Rasulullah s.a.w dengan begitu keras dan kasar. Walaupun begitu, Rasulullah s.a.w tetap membalasnya dengan dada yang lapang dan senyum manis, sebaliknya Umar r.a memarahi lelaki tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda untuk memberi tunjuk ajar kepada Umar dan lelaki tersebut: "Aka dan dia, kami sebenarnya lebih berhajat kepada selain daripada ini wahai Umar! Kamu sepatutnya menyuruh aim supaya melakukan pembayaran dengan baik dan menyuruhnya supaya menuntut hutang dengan cara yang baik."
Lalu Rasulullah s.a.w mengarahkan supaya ditunaikan hutang dan ditambah haknya sebagai gantian akibat herdikan yang diterimanya daripada Umar. Itulah yang menyebabkan Zaid memeluk Islam dan terselamat daripada kemurkaaan Allah dan nerakaNya. [Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, al-Haakim dan at-Tobaraani]

  1. Hendaklah seseorang itu mengawal dirinya ketika marah, mengingati akibat dan kelebihan menahan kemarahan serta memaafkan orang yang bersalah. Firman Allah:
"Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan-kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara perkara yang baik." (Aali Imran: 134)

Imam Ahmad, Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu untuk melakukannya, Allah akan memanggilnya di hadapan khalayak ramai di hari akhirat kelak serta dia diberi peluang untuk memilih mana sahaja bidadari yang dia kehendaki."

Imam Ahmad telah meriwayatkan:
"Tidak ada seorang hamba yang menahan kemarahannya, melainkan Allah akan memenuhkan hatinya dengan iman."

  1. Meminta perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
Firman Allah s.w.t:
"Dan jika kamu dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-A'raaf 200)
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan pada suatu ketika ada dua orang lelaki sedang saling mencerca di sisi Rasulullah s.a.w, salah seorang daripadanya mencerca sahabatnya dalam keadaan marah sehingga merah padam mukanya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah sekiranya dia menyebutnya, nescaya akan hilang apa yang didapatinya (kemarahannya), iaitu sekiranya ia berkata: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam."

  1. Mengubah kedudukannya pada ketika dia sedang perasaan marah:
Imam Ahmad dan Abu Daud telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Apabila salah seorang daripada kamu marah dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk, sekiranya (dengan melakukan yang demikian) boleh menghilangkan kemarahannya, dan jika tidak (menghilangkan kemarahannya), maka hendaklah dia berbaring."
Ini adalah kerana orang yang berdiri lebih bersedia untuk membalas dendam daripada orang yang duduk dan baring.

  1. Tidak bercakap kerana barangkali dia akan mengeluarkan perkataan yang akan dibalas dengan perkataan yang boleh menambahkan kemarahannya. Ataupun perkataannya itu akan menyebabkan dia merasa menyesal setelah perasaan marahnya hilang kerana dia tidak suka perkataan yang seumpama itu keluar daripadanya. Imam Ahmad, Tarmizi dan Abu Daud telah meriwayatkan:
"Apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam." Rasulullah s.a.w mengulanginya sebanyak tiga kali.

  1. Berwuduk: Ini adalah kerana kemarahan mencetuskan kepanasan dalam badan, lalu darah menjadi cair dan menggelegak serta menyebabkan tubuh menjadi hangat. Air yang akan menyejuk dan mengembalikannya kepada tabiat asalnya. Imam Ahmad dan Tarmizi meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda di dalam sebuah khutbahnya:
"Ingatlah bahawa perasaan marah itu adalah bara api yang membara di dalam hati anak Adam."
Di samping itu, wuduk adalah ibadat kepada Allah s.w.t yang mengandungi zikir. Dengan berwuduk, syaitan yang meniupkan api kemarahan di dalam hati manusia akan menjauhkan diri. Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Apabila seseorang daripada kamu marah hendaklah dia berwuduk."

8. Marah kerana Allah:
Marah yang dicela ialah marah yang dituntut supaya diubati dan dijauhi segala sebabnya. Iaitu marah kerana membalas dendam, bukan kerana Allah dan bukan juga untuk membantu agamanya.
Marah kerana Allah ialah marah yang disebabkan perkara yang diharamkan oleh agama dicerobohi seperti mencabar aqidah, memburukkan akhlak yang baik atau menghina ibadat. Ataupun dengan sebab mengancam jiwa, harta atau kehormatan seseorang muslim. Dalam hal ini, marah adalah salah satu daripada akhlak yang terpuji dan sifat yang dituntut. Firman Allah s.w.t:
"Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyiksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu." (At-Taubah: 14-15)
Di dalam sebuah hadis sahih disebut yang bermaksud: "Bahawa Rasulullah s.a.w adalah lebih pemalu daripada anak dara yang berada di sebalik tirai. Apabila Rasulullah s.a.w melihat sesuatu yang dia benci, kami akan mengetahuinya daripada wajahnya (air mukanya)." [Diriwayatkan oleh Bukhari]
Telah diriwayatkan yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w tidak pernah marah dengan sesuatu sebab. Tetapi apabila apa yang diharamkan oleh Allah dilakukan, maka pada ketika itu sesuatupun tidak boleh menundukkan kemarahannya." [Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lainnya]

9. Pemarah bertanggungjawab terhadap segala tindakannya:
Sekiranya seorang insan yang berada dalam keadaan marah merosakkan sesuatu yang berharga kepunyaan orang lain, maka harta tersebut berada di bawah jaminannya dan dia hendaklah membayar ganti rugi hasil daripada perbuatannya itu. Sekiranya dia membunuh satu jiwa dengan sengaja, maka dia dikenakan qisas. Sekiranya ia melafazkan lafaz kekufuran, maka dia dihukum murtad sehinggalah dia bertaubat. Sekiranya dia bersumpah untuk melakukan sesuatu, maka sumpahnya mestilah dilaksanakan (sah sumpahnya) dan sekiranya ia mentalak isterinya, maka jatuh talaknya itu.

10. Keinginan seorang muslim
Hadis ini menunjukkan betapa seseorang muslim sentiasa mengingini dan berhajat kepada nasihat, mengetahui bentuk-bentuk kebaikan serta menambah ilmu yang bermanfaat dan peringatan yang baik.
Begitu juga hadis ini menganjurkan supaya kurang bercakap dan memperbanyakkan amalan serta tarbiah melalui qudwah (contoh ikutan) yang baik.

Berikut pula adalah syarah Hadis ini oleh Al-Imam Dr Ali Jumah, Mufti Mesir.
video

2 ulasan: