Ahad, 18 Mac 2012

Syarah Hadis Arbain Hadis 2 - Iman, Islam, Ihsan



Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.

Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:

Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba memibna bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar.

Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.

Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346).

Kepentingan Hadith

Ibnu Daqiq al-'Iid berkata: "Hadith ini adalah hadith yang merangkumi semua amalan zahir dan batin. Ilmu-ilmu syariat semuanya merujuk dan lahir daripada hadith ini. Ia seperti ibu kepada sunnah kerana ia mengandungi himpunan ilmu-ilmu sunnah, sepertimana al-Fatihah dinamakan Ummul Quran kerana ia mengandungi himpunan pengertian al-Quran.

Maksud Kalimah
(بينما) Ketika. Ia adalah sendikata yang menunjukkan makna zaman dan (ما) adalah huruf tambahan. Di dalam satu riwayat lain disebut (بينا).

(إذ طلع) Tiba-tiba muncul. Huruf (إذ) adalah huruf yang menunjukkan berlaku secara tiba-tiba, maknanya: Datang menuju ke arah kami secara tiba-tiba.

(ووضع كفيه على فخذيه) Dan meletakkan dua tapak tangan di atas dua pehanya. Maksudnya, pehanya sendiri seperti keadaan orang yang beradab. Di dalam riwayat an-Nasaai di sebut (فضع يديه على ركبتى النبى صلى الله عليه وسلم) maknanya, maka dia meletakkan kedua tangannya di atas kedua-dua lutut Nabi. Riwayat pertama adalah lebih sahih dan lebih masyhur.

(أخبرني عن الإسلام) Ceritakan kepadaku tentang Islam. Maksudnya, tentang hakikat Islam dan amalan-amalannya dari sudut syarak. Inilah juga maksud daripada kata-katanya; ceritakan kepadaku tentang iman dan ihsan.

(فعجبنا له يسأله ويصدقه) Kami merasa hairan terhadapnya. Dia bertanya dan dia juga yang membenarkannya. Maksudnya, kami merasa hairan dengan keadaannya, di mana dia bertanya dengan soalan yang menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang arif, bijaksana dan pembenar. Atau kami merasa hairan kerana soalannya itu menunjukkan beliau adalah seorang yang jahil dan pembenarannya menunjukkan beliau arif tentang masalah yang ditanya.

(أن تؤمن بالله) Bahawa kamu beriman dengan Allah. Iman dari segi bahasa ialah membenar (tasdiq) dan memutuskan (jazam) di dalam hati. Dari segi syarak pula ialah membenarkan apa yang disebut di dalam hadis di atas.

(فأخبرني عن الساعة) Ceritakan kepadaku tentang kiamat. Maksudnya, ceritakan kepadaku waktu berlakunya hari kiamat.

(أماراتها) Tanda-tandanya, iaitu alamat: Yang dikehendaki di sini ialah tandatanda yang berlaku sebelum kiamat.

(أن تلد الأمة ربتها) Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya. Maksudnya, tuannya yang perempuan. Di dalam satu riwayat yang lain disebut (ربها) iaitu tuannya yang lelaki. Makna yang dikehendaki di sini ialah: Di antara tanda-tanda kiamat ialah banyaknya berlaku pemeliharaan hamba wanita dan hubungan jenis dengan mereka berdasarkan hukum perhambaan. Kemudian mereka (hamba-hamba perempuan) melahirkan anak-anak yang mana anak-anak tersebut adalah merdeka seperti bapabapa mereka. Kedudukan anak-anak hamba perempuan yang lahir dari tuannya adalah
sama dengan tuannya, kerana hak milik si ayah akan menjadi warisan dan milik si anak. Oleh sebab itu, dia menjadi tuan kepada hamba perempuan tersebut (ibunya) dari sudut ini.
Pandangan lain pula berpendapat, ia adalah kinayah tentang banyaknya berlaku penderhakaan anak-anak sehingga seorang bapa takut kepada anaknya sendiri sepertimana takutnya seorang hamba kepada tuannya. Ungkapan ini membayangkan banyaknya berlaku kerosakan di akhir zaman dan suasana yang tidak tenteram.

(يتطاولون في البنيان) Berlumba-lumba membina bangunan. Maksudnya, mereka
membina binaan yang tinggi kerana berbangga-bangga dan riak.

(فلبثت مليا) Maka akupun menunggu beberapa hari. Maksudnya, aku menunggu dalam waktu yang lama. Maksud di sini ialah aku menghilang diri daripada Nabi s.a.w selama tiga malam sebagaimana yang disebut di dalam riwayat yang lain. Kemudian aku menemui baginda s.a.w.

Kandungan Hadith
1. Memperelokkan Pakaian dan Perawakan
Digalakkan memakai pakaian yang bersih, menggunakan wangi-wangian atau bau-baun yang harum untuk memasuki masjid, menghadiri majlis-majlis ilmu, beradab ketika berada di majlis tersebut dan beradab dengan alim 'ulama. Datangnya Jibril adalah untuk mengajar manusia melalui keadaan dan kata-katanya.

2. Apa Itu Islam?
Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Alah swt. Dari segi syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas iaitu: Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Tuhan (ilah) melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat di dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna serta menjaga sunat dan adabnya, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan dan memiliki keperluan untuk bermusafir seperti bekalan, kenderaan dan belanja nagkah ahli keluarganya.

3. Apa Itu Iman?
Iman dari segi bahasa ialah at-tasdiq(membenarkan) dan dari segi syarak ialah: Tasdiq yang jazim (keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap kewujudan Allah Taala yang Maha Pencipta dan bahawasanya Allah Taala itu Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya.

Begitu juga membenarkan kewujudan makhluk Allah Taala iaitu para malaikat-Nya dan mereka adalah hamba-hambaNya yang dimuliakan. Mereka tidak makan dan bersifat dengan sifat lelaki mahupun perempuan serta tidak berketurunan. Tidak seorangpun yang mengetahui bilangan mereka kecuali Allah Taala.

Juga membenarkan kitab-kitab sabawiah yang turun dari sisi Allah. Kitab-kitab ini adalah syariat Allah Taala sebelum ia diselewengkan dan diubah oleh tangan-tangan manusia.

Juga membenarkan para rasul. yang telah dipilih Allah Taala untuk memberi petunjuk kepada makhlukNya dan Allah menurunkan kepada mereka kitab-kitab samawiah. Juga beriktiqad bahawa para rasul itu adalah manusia yang maksum (terpelihara dari dosa).

Juga membenarkan hari kiamat, iaitu hari Allah Taala membangkitkan manusia dari kubur dan menghisab amalan-amalan serta memberi balasan kepada mereka. Jika baik, maka baiklah balasannya dan jika buruk, maka buruklah balasannya.

Juga membenarkan bahawa semua perkara yang berlaku di atas muka bumi ini adalah dengan takdir Allah Taala dan kehendakNya berdasarkan hikmah yang hanya diketahui Allah sahaja.

Inilah rukun-rukun iman. barangsiapa yang beriktiqad dengannya, akan beroleh kemenangan dan kejayaan. Begitulah sebaliknya. sesiapa yang mengingkarinya, dia akan sesat dan kecewa. Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
"Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah Taala dan rasulNya, dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada rasulNya (Muhammad s.a.w) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya." (An Nisaa': 136)

4. Islam dan Iman.
Daripada penjelasan yang lepas, kita dapat mengetahui bahawa Islam dan iman adalah dua hakikat yang berbeza dan sudut bahasa dan syarak. Ia adalah berpunca daripada nama-nama yang berbeza. Walau bagaimanapun syarak telah memperluaskan penggunaannya. Oleh itu apabila disebut salah satu daripadanya, maka dia juga memberi makna kepada yang satu lagi. Iman tidak diiktibar (dikira) tanpa Islam sepertimana Islam juga tidak diiktibar tanpa iman kerana kedua-duanya saling memerlukan. Oleh itu, mesti beriman dengan hati dan beramal dengan anggota tubuh badan.

5. Apa itu Ihsan?
Ihsan ialah ikhlas dan tekun. laitu kamu ikhlas di dalam beribadat kepada Allah dan disertai dengan penuh ketekunan seolah-olah kamu melihat Allah ketika melakukan ibadat. Sekiranya kamu tidak mampu mencapai tahap tersebut, maka ingatlah bahawa Allah Taala melihat kamu dan perbuatan kamu sama ada kecil mahupun besar.

6. Kiamat dan tanda-tandanya.
Ilmu tentang masa berlakunya kiamat adalah di antara perkara yang hanya diketahui oleh Allah dan Dia tidak memberitahu kepada sesiapapun dari kalangan hambaNya, sama ada malaikat ataupun rasul. Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w menjawab soalan Jibril dengan sabdanya yang bermaksud: "Tidaklah orang ditanya mengenainya (kiamat) lebih mengetahui daripada orang bertanya." Tetapi baginda s.a.w menjawab bila ditanya tentang sebahagian tanda yang menunjukkan peri dekatnya hari kiamat:
(a) Berlakunya kerosakan di zaman tersebut, rosaknya akhlak di mana ramai anakanak durhaka dan menyanggahi orang tua mereka, lalu mereka bermu'amalah (bergaul) dengan orang tua mereka seperti mu'amalah tuan terhadap hambanya.
(b) Terbalik dan bercampur-baurnya urusan sehingga sehina-hina manusia menjadi raja dan pemimpin. Urusan-urusan diserahkan kepada bukan ahlinya. Harta bertambah banyak di tangan manusia, bertambah kemewahan dan pemborosan. Manusia bermegah-megah dengan bangunan yang tinggi, harta (perhiasan) dan perabut-perabut yang banyak, serta merasa bongkak terhadap makhluk. Mereka yang sebelum ini berada dalam kemiskinan dan kesengsaraan, hidup di atas ihsan orang lain seperti orang-orang arab badwi, pengembala dan seumpamanya, ketika itu menjadi penguasa dan pentadbir.

7. Bertanya tentang ilmu.
Seorang muslim hendaklah hanya bertanya mengenai perkara yang memberi manfaat kepada dunia dan akhiratnya sahaja dan meninggalkan pertanyaan yang tidak berfaedah. Begitu juga, sayugia bagi seorang yang hadir ke majlis ilmu dan menyedari bahawa para hadirin memerlukan jawapan kepada persoalan ataupun masalah tertentu, sedangkan tiada seorangpun yang bertanyakan tentangnya, maka sewajarnya dia bertanyakan soalan tersebut sekalipun dia sudah mengetahuinya supaya hadirin dapat mengambil manfaat daripada jawapan yang diberikan. Barangsiapa yang ditanya mengenai sesuatu yang tidak diketahuinya, maka dia wajib berkata "Saya tidak tahu" dan itu adalah tanda warak, taqwa dan ilmunya yang sahih.

Berikut pula adalah syarah Hadis kedua oleh Dr Ali Jumah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan