Ahad, 22 April 2012

Qaryah Ramadhan 2 - Menyembunyikan Kebenaran

Kuliah yang disampaikan pada 3 Ramadhan 1429H. Marilah kita hayatinya.:-)

video


Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Mengupas surah Al-Baqarah ayat 159 (dan 160) yang berbunyi:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَىٰ مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَٰئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati.
  إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَٰئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Pada kesempatan ini, saudara-saudara, saya telah merujuk kepada lima buah kitab tafsir, termasuk kitab Tafsir At-Tabari, juga kitab Tafsir Al-Qurtubi, dan beberapa kitab lain, untuk memperlihatkan bagaimanakah pandangan ulama tentang ayat ini.

Maka, saya suka menarik berkenaan dengan asbabun nuzul bagi ayat ini. Sepertimana yang disebutkan oleh  Imam At-Tabari di dalam Kitab Tafsirnya dalam jilid yang kedua, beliau telah menyebut, ayat ini telah diturunkan, ayat ini mempunyai latar-belakangnya yang disebut sebagai asbabun nuzul.

Tuan-tuan, saudara-saudari.
Kefahaman kita terhadap asbabun nuzul adalah suatu perkara yang sangat mustahak sehingga disebut oleh SyeikH Muhammad Ali dalam kitabnya Fiqhul Islami, bahawasanya memahami asbabun nuzul adalah merupakan salah satu daripada tunjang kepada kefahaman kita kepada sesuatu latar belakang ayat. Ini kerana, katanya, hampir keseluruhan daripada dua pertiga ayat al-Quran itu diturunkan, mempunyai asbabun nuzul, ataupun sebab dan musababnya. Maka, kata beliau, dalam ayat ini diturunkan (kerana) mempunyai dua sebab.

Pertama, ia diturunkan kerana orang yahudi telah menyembunyikan tentang ayat rejam. Iaitu kerana ayat rejam bagi orang yang berkahwin itu tidak disebut dalam hadis, tetapi disebut dalam kitab Taurat. Bahwasanya, lelaki dan perempuan yang berkahwin, apabila ia berzina hendaklah ia direjam. Maka, apabila para sahabat bertanya kepada mereka tentang ayat ini, mereka menyembunyikan (para sahabat) daripada kebenaran.
Sebab yang kedua yang dinaqalkan oleh Ibnu Abbas,  di mana beliau menyebut, Muadz bin Jabal bersama Saad bin Muaz dan bersama Khalid bin Zaid, ketiga orang ini telah bertanya kepada satu kumpulan dari orang Yahudi, tentang sifat dan juga tentang kebenaran Nabi Muhammad saw, tetapi mereka menyembunyikan tentang kebenaran Nabi Muhammad saw.
Jadi, berdasarkan kepada ayat ini, tidaklah wajar kita menafsir ayat ini,  tanpa kita merujuk kepada asbabun nuzul bagi ayat ini. Ertinya ayat ini mempunyai latar belakangnya, mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri, bagaimana ayat ini diturunkan oleh Allah swt, kepada Nabi Muhammad saw dan sahabatnya kerana menceritakan tentang sikap, menceritakan tentang budaya orang-orang Yahudi ini, apabila ditanyakan tentang kebenaran, lalu mereka menyembunyikan kebenaran itu walaupun di hadapan mereka adalah Nabi Muhammad saw.

Tuan-tuan. 
Sebab itu saya suka menarik, tentang bagaimana hendak memberi kefahaman dan melanjutkan kefahaman kita mengenai sikap orang Yahudi ini menyembunyikan kebenaran. Maka saya merujuk kitab Sirah Ibnu Hisyam yang menceritakan bagaimana telah meriwayatkan, telah meletakkan satu bab, iaitu bagaimana permusuhan orang Yahudi ini, didasari dengan sifat dengki,  kebencian kepada kebenaran, khususnya Nabi Muhammad saw. Maka dalam cerita pengIslaman seorang Yahudi yang bernama Abdullah bin Salam,   Ibnu Hisyam menceritakan satu kisah bilamana Nabi Muhammad sampai ke Madinah, katanya, "Aku tak sabar menunggu ketibaan Nabi Muhammad saw, aku berada di satu pasar, apabila aku dengar Nabi Muhammad saw sudah sampai ke Madinah, maka, aku bertakbir. Apabila  aku bertakbir, bapa saudara aku berkata, "Kenapa kamu bertakbir", kerana bertakbir itu, Musa lebih baik daripada Muhammad. Sedangkan bapa saudaranya ini juga ahli Kitab, orang yang faham kepada Kitab, tetapi dia kata, "Tidak, sesungguhnya telah datang kebenaran kepada Musa." Maka, bapa saudara dia halang, tetapi dia pergi jumpa Nabi Muhammad saw, lalu dia memeluk Islam di tangan Nabi Muhammad saw. Kerana Abdullah bin Salam seorang pendeta, seorang ilmuan Yahudi yang mengetahui  sifat dan ciri-ciri dan nama Nabi Muhammad, jelas dibutirkan dalam Kitab Taurat.

Surat Terbuka Kepada Pejuang Melayu


Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.

Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya, kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri, tetapi sifat fitrah juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa, suku kaum, berkeluarga yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji setiap rakaat sembahyang. Allah berfirman (maksudnya): Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat: 13)

Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa, samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia menegaskan ;”Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.

Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.

Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
سنن أبي داود - (ج 13 / ص 325)
Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas perjuangan asobiyyah).

Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.

Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.

Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.

Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua Umar bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan:
“Kita adalah kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa yang hina“.

Kenyataan ini berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad: 38)

Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup. Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa asing yang menindas mereka dengan hina.

Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah, sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana laut. Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam, menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab, sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.

Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti. Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin UMNO. Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO, bahkan jatuh terhumban bersamanya.

PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia. Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.

Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.

Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Sabtu, 21 April 2012

Qaryah Ramadhan 1 - Amanah Orang Berilmu

Kuliah yang disampaikan pada 2 Ramadhan 1429H. Marilah kita hayatinya.:-)






Assalamualaikum waramatullahitaala wa barakatuh.

Yang pertama, syukur kita kepada Allah swt kerana pada tahun ini dapat hidup dan diberi umur oleh Allah swt, sehingga kita dapat bertemu dengan bulan ramadhan tahun 1429H. Jadi, sebagai kupasan ringkas, kepada ayat yang telah dibaca oleh Imam. Ana telah diberi peluang untuk mengupas ayat yang berkaitan dengan tindakan yahudi dan hubungkait dengan malaikat yang diutuskan oleh Allah swt.

Ayat yang telah dibacakan tadi dalam surah Al-Baqarah ayat 98, berbunyi:
مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِلَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَجِبْرِيلَ وَمِيكَالَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِلْكَافِرِينَ
Maksudnya, "Barangsiapa yang menjadi musuh Allah, malaikat-malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh orang-orang kafir. "

Jadi, kalaulah kita tengok dan kita perhatikan, musuh kita di atas dunia ialah sebagaimana telah digambarkan oleh Allah swt dalam al-Quran al-karim iaitu dalam ayat surah al-fatihah yang sentiasa kita baca, dalam surah Al-fatihah ayat 6 dan 7.
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّين َ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ 
Maksudnya, "Tunjukilah kami jalan yang lurus. (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. "

Ya allah jadikan kami digolongkan dalam golongan manusia yang telah kamu beri nikmat kepada mereka, dari golongan nabi-nabi, sahabat-sahabat dan orang-orang yang syahid. Akan tetapi ya allah, janganlah kamu sekali-lagi kamu jadikan kami termasuk dalam golongan yang kamu murkai.

Ulama-ulama telah menafsirkan (الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ ) sebagai yahudi. Sebab apa, sebab yahudi ini telah merosakkan amanah yang telah diberikan olah Allah swt, iaitu amanah ilmu. Begitu juga dengan Kristian. Kedua-duanya itu telah dilaknat oleh Allah swt. Di atas lidah nabi mereka, samada yahudi baik, samada Kristian baik, semua dilaknat oleh ALLAh swt.

Sebab, iaitu kerana mereka telah mensia-siakan amanah ilmu yang telah diberikan ilmu yang diberikan oleh ALLAH swt kepada mereka. Orang yahudi, dia lawan agama, dia lawan Allah swt di dalam keadaan dia tahu. Sebab orang yahudi, sebab turunnya ayat ini, tuan-tuan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh ulamak, yang mengatakan bahawa apabila Nabi kita, Muhammad saw bertemu dengan golongan Yahudi, maka, orang yahudi tanya Nabi, dia tahu, tidak ada nabi yang diutuskan oleh Allah swt kecuali ada malaikat yang menyampaikan kepadanya berita. Nampak tak tuan-tuan, orang yahudi orang alim, orang reti, orang pandai, orang berilmu.

Dia tanya lagi, siapa sahabat kamu dari kalangan malaikat. Nabi saw jawab, Jibril. Orang Yahudi kata, jibril, yang datang kepada kami yang telah menurunkan ayat berkenaan dengan bunuh, itu merupakan musuh kami.

Maka Allah swt menurunkan ayat yang kita bacakan tadi.

Ulama tafsir kata, kenapa Allah sebut, (عَدُوٌّ لِلْكَافِرِينَ ) sebab, ayat ini berkenaan orang yahudi, nak beritahu kepada kita bahawa Allah memusuhi, tak kira orang Yahudi, tak kira orang Melayu, orang Arab, apabila dia tolak Allah swt, maka, Allah swt tolak dia, maka, apabila Allah tolak kita, tiada kuasa yang dapat mengangkatnya.

Kita satu kelompok manusia yang telah diperkasakan oleh ALLAH swt dengan agama Islam yang kita anuti, Islam yang kita pegang, maka jika sekiranya kita cari selain Islam sebagai cara hidup, kita akan dihina oleh Allah swt. Ayat ini menggambarkan kepada kita, orang yahudi tidak melaksanakan amanah ilmu yang sepatutnya mereka lakukan. Mereka bertindak, sebab tu lah tuan-tuan, apabila kita belek (teliti) masyarakat kita sekarang, kita takkan jadi Yahudi. Kita tidak akan jadi bangsa yahudi, sebab kita Melayu, tapi, perangai, tetapi, perangai yang bermasalah. Nabi kita memberi gambaran benda yang akan berlaku, "nescaya kamu akan turut apa yang dilakukan oleh orang sebelum kamu sehingga jika kamu masuk lubang biawak sekalipun, kamu akan turut mereka. Maka, sahabat bertanya, "adakah yang dimaksudkan itu Yahudi dan Kristian?" Nabi saw menjawab, "Kalau tidak mereka, siapa lagi."

Tuan-tuan, kita, sekarang ini, orang cari harta sehingga tinggal amanah ilmu. Cuba tuan-tuan ingat peristiwa yang berlaku kepada bangsa kita. Tuan-tuan, orang sekarang, apa nak jadi dengan tindakan kita yang bangsa Melayu apabila berlaku kisah liwat. Betapa bisunya ulama untuk memperkatakan perkara yang sebenar. Tuan-tuan, ini nasib kita tuan-tuan. Kita kena fikir, kalau sesetengah-tengah ulama, yang nak jaga perut, pangkat, dan kedudukan, inilah jadi. Kita tidak akan jadi Yahudi, tetapi perangai Yahudi akan berjangkit kepada kita. Jika sekiranya, ilmu yang diberikan oleh Allah swt telah kita sia-siakan. Ilmu yang diberikan kepada kita bukan untuk berbangga, tapi ilmu adalah amanah, yang telah diberikan daripada Allah taala, supaya kita menunaikan hak ilmu kepada ahlinya.

Tuan-tuan, sebab itulah di dalam mentakrifkan ulamak, ulamak memberikan garis paling jelas. "Seseorang itu tidak boleh dilabelkan sebagai alim kecuali apabila dia beramal dengan ilmunya". Saya menyeru, jika kita dianugerahkan oleh Allah swt dengan seorang yang berilmu yang cuba mempraktikkan, di dalam kehidupan masyarakat, di dalam kehidupan keluarga, di dalam kehidupan negara, tuan-tuan, jadikanlah dia sebagai sahabat, sebagai rakyat, sebagai penyokong. Sebab, nak cari orang macam ini, bukannya senang.

Kita, kalau nak cari kawan, sebagaimana telah disebutkan oleh ulama, mesti kita tengok dia, apabila kita tengok dia, kita akan ingat Allah swt. Jangan kalau tengok dia, ingat disko, tengok dia, teringat judi di Genting Highland. Orang begini, walau selamat mana kehidupan duniawi dia, kita jangan jadikan dia sebagai sahabat. Sebab perangai manusia ini akan berjangkit. Sebab itulah, kita sekarang ini, kalau kita tengok masyarakat kita sekarang ini, kerana kealpaan ataupun ketidakpedulian ulama kita, jadilah bangsa Melayu kita semakin hari semakin tunduk ke bawah. Kita bukan bangkit dengan kebangsaan kecuali agama Allah swt. Sebab tu, Nabi saw pada awal perlantikan dia sebagai rasul, di antara benda yan diperangi adalah masalah warna kulit, masalah kekayaan dan masalah kasta. Tengok kisah, dalam perlantikan Bilal sebagai muazzin, ada seorang yang seorang sahabat Rasulullah saw yang tersalah cakap. Sahabat ini berkata, "adakah patut Rasulullah saw ambil gagak hitam ini sebagai muazzin?". Disebabkan Islam ini bukanlah berteraskan kepada warna kulit, kebangsaan, maka, yang menegur lelaki itu adalah Allah swt sendiri. Allah taala menjelaskan dalam al-Quran dalam Surah Al-Hujurat ayat 13.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ 
Maksudnya, " Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

Orang Yahudi tak tengok perkara ini. Orang Yahudi, kalau puaknya, dia akan sokong. Kalau bukan puaknya, contohnya Islam, maka, dia tak akan sokong. Titik permusuhan antara yahudi dan Islam adalah kelahiran Nabi saw.

Tuan-tuan, Islam, tak mengira manusia.

Sebab itulah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu dengar dan taat kepada perintah pemimpin walaupun ianya adalah seorang hamba habsyi (dari Habsyah) yang hitam rambutnya (berwajah hitam).” (Sahih Bukhari, Fath al-Bari, ibn Hajr al-Asqalani)

InsyaAllah, amanah ilmu yang diberikan Allah swt oleh kita, mesti kita tunaikan sewajarnya, mudah-mudahan bangsa kita, seagama kita, akan naik dan mencapai kejayaan.

Jumaat, 20 April 2012

Gambar Penjenayah Cium Tangan Hassan Ali......ya ke?

[DIPETIK DARI BLOG UYE]



Seperti yang dijangka Umno yang terdesak dengan sekumpulan pelajar yang membuat keputusan nekad untuk berkhemah di Dataran Merdeka dalam protes mereka terhadap PTPTN dan tuntutan pendidikan percuma telah bertindak diluar norma biasa.

Regim takut menggunakan polis kerana pilihanraya yang terlalu hampir, kerana imej kekasaran polis terhadap kumpulan pelajar ini pasti akan memberi kesan besar terhadap undi rakyat. hanya DBKL digunakan malangnya DBKL tidak mampu berdepan semangat kental kumpulan pelajar ini yang walaupun beberapa kali 'diserbu' DBKL tetapi terus bertahan.

Kumpulan yang mulanya kecil mula membesar, ramai teman muda lain mula sama mendirikan khemah berkampung bersolidariti bersama menemani pelajar ini. Ramai yang tampil menyumbang. SAMM dalam kemampuan terhad turut hadir memberikan bantuan seperti tikar dan makanan sekadar termampu.

Kumpulan pelajar ini yang mula meraih perhatian dalam dan luar negara terus cuba diburukkan imej mereka sebagai alat politik pihak tertentu oleh media dan pemimpin regim. Namun mereka terus mendapat perhatian. Bukan sekadar itu pelajar ini juga telah berjaya menjawab kekeliruan yang cuba dibuat termasuk oleh Menteri, malah mereka sedia mencabar Menteri dan pimpinan parti politik penguasa regim untuk berdebat terbuka. Ini semua meletakkan regim dalam keadaan serba salah.

Mati akal dengan perkembangan ini semalam awal pagi tadi gangster telah digunakan oleh pihak yang tertekan untuk menyerang tapak perkhemahan pelajar tersebut. Dalam serangan itu ada yang cedera, barang - barang mereka dirosakkan dan diberitakan ada pelajar yang hilang diculik.

Penggunaan gangster ini menjadi taktik yang semakin biasa digunakan setelah kalah berhujah dan seperti biasa juga polis akan terus lambat bertindak. Dalam serangan di Dataran Merdeka, Polis yang berada di tempat kejadian dilaporkan olek saksi hanya memerhatikan sahaja kejadian.

Yakinlah seperti peristiwa lain termasuk serangan gangster secara fizikal dan bersifat perkauman masih belum ada tindakan walaupun ditampilkan bukti bergambar jelas. Malah lebih malang lagi kumpulan penyerang di Jalan Kebun dapat pula berada dalam majlis bersama PM baru - baru ini.

Ini semua juga taktik sama dengan beberapa regim di hujung usia. Perhatikanlah regim Mubarak ketika hujung usianya juga menggunakan gangster memukul dan menyerang demonstran dan kemudian bersembunyi disebalik hujah kononya serangan dibuat oleh rakyat yang marah. Percaya dan yakinlah begitu juga di sini pasti media akan memainkan hujah serupa kononya serangan oleh rakyat yang marah.

SAMM mencabar Umno supaya jangan bacul dan tampil bertanggungjawab terhadap kejadian serangan terhadap pelajar ini. Sepatutnya Umno tampil berhujah dengan kumpulan pelajar ini bukan menjawab dengan keganasan fizikal.

Dengan perkembangan ini SAMM menyeru seluruh anak muda supaya membuat pertimbangan terhadap kejadian ini dan menolak Umno dan Barisan Nasional yangs emakin hilang rasional mereka.

SAMM juga menyeru rakyat untuk tampil sama memberikan bantuan kepada teman - teman pelajar yang berjuang ke arah pendidikan percuma dalam negara. SAMM juga tidak menolak kemungkinan dengan perkembangan ini akan menyemarakkan lagi semangat rakyat untuk turun bersama dalam Himpunan BERSIH 28 April ini yang kebetulan akan diadakan dilokasi yangs ama , Dataran Merdeka. SAMM juga tidak menolak kemungkinan akan turut sama 'berkampung' bersama para pelajar ini kemudianya.

Sekian.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia
Ini penjenayah jalan kebun
Penjenayah yang melakukan serangan di Jalan Kebun ini terus bebas dan melakukan jenayah ini semula di Dataran Merdeka semalam
Siapakah yang sebenarnya bersekongkol dengan penjenayah?

Source: http://addin77.blogspot.com/2012/04/gambar-penjenayah-cium-tangan-hassan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+addin77+%28addin77%29&utm_content=FaceBook

PTPTN: Haram caj lebihi kos sebenar.

Catatan ini ialah petikan dari tulisan Ketua Hal Ehwal Penyelidikan, Akademi Penyelidikan Syariah Kewangan Islam Antarabangsa (Isra), Dr Asyraf Wajdi Dusuki, seperti yang disiarkan oleh Sinar Harian: [http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-haram-caj-lebihi-kos-sebenar-1.40761#.T44onESpgXo.facebook] dan catatan dalam blog beliau. 
Sahabat saya Ustaz Dr. Zaharuddin juga ada membuat beberapa ulasan mengenai isu ni, sila ke: http://zaharuddin.net/
Kepentingan Memerangi Riba
Sememangnya pembangunan sistem mahupun instrumen alternatif yang bebas riba amat mustahak bagi memastikan kehidupan manusia khususnya generasi muda yang akan menjadi aset berharga negara pada masa akan datang lebih dirahmati dan diberkati Allah.Ini amat bertepatan dengan amaran Allah S.W.T.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya". (Al-Baqarah:278-279)
Tafsir Ibn Kathir meriwayatkan kata-kata Ibn Abbas yang menyebut:
فَمَنْ كَانَ مُقِيمًا عَلَى الرِّبَا لَا يَنْزَعُ عَنْهُ فَحَقٌّ عَلَى إِمَامِ الْمُسْلِمِينَ أَنْ يَسْتَتِيبَهُ، فَإِنْ نَزَعَ وَإِلَّا ضَرَبَ عُنُقَهُ
“Sesiapa yang masih mengamalkan riba dan tidak mahu menjauhinya, maka pemerintah umat Islam berhak memintanya bertaubat. Jika tidak juga bertaubat, pemerintah berhak memenggal tengkuknya”.
Begitulah kerasnya sesetengah ahli tafsir menelaah maksud ayat-ayat riba yang pada hakikatnya amat berat kesalahannya di sisi Allah. Sebab itulah Nabi SAW turut menggambarkan bahawa dosa riba merupakan sebahagian daripada tujuh kesalahan besar yang dilaknat Allah:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
“Jauhilah tujuh kesalahan besar. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kesalahan itu? Baginda menjawab: Mensyirikkan Allah SWT, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan Allah SWT kecuali kerana kebenaran, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada pertempuran, serta menuduh wanita suci dan beriman berzina tanpa disedarinya.”[1]
Dalam satu hadis yang lain Nabi SAW menggambarkan dosa riba ini lebih teruk daripada berzina dengan ibu kandung sendiri:
الرِّبَا ثَلَاثَةٌ وَسَبْعُونَ بَابًا، أَيْسَرُهَا مِثْلُ أَنْ يَنْكِحَ الرَّجُلُ أُمَّهُ، وَإِنَّ أَرْبَى الرِّبَا عِرْضُ الرَّجُلِ الْمُسْلِمِ
“Riba terbahagi kepada tujuh puluh tiga jenis, yang paling rendah diantaranya seperti menikahi seseorang dengan ibunya sendiri, dan yang paling teruk antaranya ialah memusnahkan maruah seseorang Muslim"[2].
Dosa riba ini juga bukan terhad kepada pemberi dan penerima sahaja malah yang bersubahat sama ada sebagai saksi mahupun sebagai penulis sebagaimana hadis Nabi SAW:
لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ» ، وَقَالَ: هُمْ سَوَاءٌ
“Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, wakilnya, penulisnya dan dua orang saksinya. Baginda kemudiannya bersabda: Mereka semua sama”.[3]
Demikianlah bahana riba yang dikategorikan sebagai dosa besar yang bukan sahaja diumpamakan seperti berzina dengan ibu kandung sendiri malah lebih parah lagi sehinggakan Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap pengamalnya.
Sebab itulah dalam konteks urusniaga kewangan semasa, ulamak telah banyak memperincikan garis panduan berasaskan prinsip syarak dalam memastikan urusan muamalah ummat benar-benar bebas daripada unsur-unsur riba yang diharamkan.
Riba Yang Berkaitan dengan Pinjaman
Salah satu bentuk riba yang jelas diharamkan oleh Islam ialah riba yang terkait dengan amalan memberi hutang atau dinamakan sebagai Riba Al-Qard atau Riba Al-Duyun. Dalam konteks ini, syariat jelas memperincikan bahawa hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah mahupun perkhidmatan. Prinsip ini turut dipertegaskan dalam satu hadis:
كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً فَهُوَ رِبًا
"Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman maka ia adalah riba". (Al-Sunan Al-Kubra Lil-Baihaqi, Jilid 5, ms 571) 
Majlis fatwa antarabangsa yang mengawal selia operasi sistem kewangan Islam seperti AAOIFI menyatakan bahawa:
يحرم اشتراط زيادة في القرض للمقرض وهي ربا, سواء اكانت الزيادة في الصفة أم في القدر, وسواء أكانت الزيادة عينا أم منفعة , وسواء أكان اشترط الزيادة في العقد أم عند تأجيل الوفاء أم خلال الأجل
"semua faedah atau lebihan (daripada jumlah yang dipinjam) yang dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat pada awal kontrak ataupun dikenakan ketika kelewatan membayar balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan atau apa-apa manfaat lain dilarang dan adalah riba".
Status Caj Perkhidmatan Dalam Skim Pinjaman
Berkenaan dengan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia dibawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja. Manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.
Dalam Piawai Syariah atau Al-Mi'yar Al-Syar'iyyah yang dikeluarkan oleh AAOIFI, No.19/9 disebutkan seperti berikut:
يجوز للمؤسسة المقرضة أن تأخذ على خدمات القروض ما يعادل مصروفاتها الفعلية المباشرة, ولا يجوز لها أخذ زيادة عليها, وكل زيادة على المصروفات الفعلية محرمة. ويجب أن تتوخي الدقة في تحديد المصروفات الفعلية بحيث لا يؤدي إلى زيادة تؤول إلى فائدة.
"Dibenarkan bagi institusi yang memberi pinjaman mengenakan caj atas perkhidmatan pemberian hutang seabagaiman kos sebenar yang dibelanjakan dalam melaksanakan perkhidmatan tersebut. Adalah tidah dibenarkan bagi institusi mengenakan caj melebihi kos perkhidmatas sebenar. Semua caj yang melebihi kos sebenar perkhidmatan adalah haram. Hendaklah dipastikan ketepatan dalam menentukan kos sebenar perkhidamatan bagi mengelakkan wujud lebihan yang membawa kepada manfaat yang diharamkan......" (AAOIFI, Piawai Syariah No.19, 9/1)
Piaiwai Syariah AAOIFI ini adalah seiring dengan Resolusi No.13 (1/3) yang dikeluarkan oleh Majma' Fiqh Al-Dawli atau Majlis Fatwa OIC. Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti 1 peratus, 2 peratus ataupun 3 peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah yang dikatakan riba kerana manfaat diperolehi daripada nilai hutang yang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.
Sebaliknya yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa OIC dan Piawai Syariah AAOIFI tadi ialah apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah sebanyak RM600. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan. Malah turut dipertegaskan dalam Piawai Syariah AAOIFI bahawa kos sebenar tidak termasuk perbelanjaan tidak langsung (indirect expenses) sebagaimana yang disebut seperti berikut:
لا تدخل في المصروفات الفعلية على خدمات القروض المصروفات غير المباشرة, مثل رواتب الموظفين وأجور المكان والأثاث ووسائل النقل, ونحوها من المصروفات العمومية والإدارية للمؤسسة.
"Tidak termasuk dalam pengiraan kos sebenar perkhidmatan pengurusan hutang adalah perbelanjaan tidak langsung seperti gaji pekerja, sewa tempat, aset dan pengangkutan serta perbelanjaan umum meliputi pengurusan institusi"(AAOIFI, Piawai Syariah No.19, 9/2).
Demikianlah perincian yang begitu teliti dilakukan oleh para ulamak dalam memperhalusi isu caj perkhidmatan yang dikenakan dalam urusniaga pinjaman. Semua ini bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur riba yang diharamkan. Apa yang penting elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam upaya mencari jalan keluar bagi mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat.
Justeru, amat mustahak untuk dipastikan bahawa caj perkhidmatan yang dikenakan dalam memberikan kemudahan pinjaman pendidikan kepada para pelajar khususnya dalam konteks PTPTN yang dibincangkan ini, benar-benar mewakili kos sebenar perkhidmatan dan bukannya sekadar peratusan berasaskan nilai atau jumlah pinjaman yang diberikan.
Kedudukan Pinjaman Dalam Islam
Pinjaman atau istilah fiqhnya Qard adalah salah satu bentuk kontrak muamalah yang dibenarkan. Malah dalam Al-Quran, perkataan Qard senantiasa digabung-jalinkan dengan perkataan Hasan yang berasal daripada perkataan Ihsan bermaksud berbuat kebajikan kepada orang lain. Maka Qard al-Hasan ialah instrumen hutang bersifat kebajikan yang diberikan kepada orang yang memerlukannya untuk tempoh tertentu tanpa sebarang faedah dikenakan ke atas nilai asas hutang tersebut.
Qard al-Hasan merupakan kontrak kebajikan yang besar nilainya disisi Allah. Dalam Al-Quran, disebut mengenai Qard al-Hasan di beberapa tempat antaranya:
إِنْ تُقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعِفْهُ لَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ شَكُورٌ حَلِيمٌ
"Jika kamu meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik (qardan hasanan) nescaya Allah melipat-gandakan (pembalasannya) kepadamu dan mengampunimu" (At-Taghaabun:17). Banyak lagi ayat Al-Quran lain yang turut memperincikan ganjaran besar kepada mereka yang ikhlas memberi pinjaman berbentuk Qard al-Hasan ini (Lihat Al-Baqarah:245, Al-Maidah:12, Al-Hadid:18, Al-Muzammil:20)
Malah menurut pandangan sesetengah ulamak, nilai Qard al-Hasan lebih baik daripada pemberian sedekah bersandarkan hadis Nabi S.A.W: 'Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda'. Rasulullah bertanya kepada Jibrail, “Kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah?” Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan’. (Ibn Majah dan Baihaqi).
Hakikatnya memberi pinjaman sesuatu yang digalakkan dalam Islam atas prinsip kebajikan dan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bersandarkan dalil-dalil Al-Quran dan hadis di atas, jelas betapa ganjaran besar berlipat-ganda menanti mereka yang bersedia memberi pinjaman atas dasar kebajikan tanpa mengenakan sebarang lebihan apabila dibayar balik.
Daripada perspektif yang lain, nilai pinjaman tidak akan merosot, malah apabila dikembalikan oleh peminjam, nilai pinjaman tadi boleh dimanfaati oleh orang lain pula. Sebaliknya sedekah yang berupa 'one-off' hanya akan dimanfaati oleh penerima sedekah itu sahaja. Justeru jika diberi pilihan antara memberi pinjaman dan sedeka yang bersifat one-off, adalah lebih baik memberi pinjaman lantaran pahala memberi pinjaman lebih berkali ganda berbanding sedekah.
Nota Hujung:

[1] Riwayat Al-Bukhari (2615) dan Muslim (89)
[2] Riwayat Ibn Majah dan Al-Hakim
[3] Sahih Muslim (1219).