Khamis, 12 April 2012

Surah An-Nas - Tafsir Al-Munir

Muqaddimah
Surah ini adalah surah Madaniyyah yang mengandungi 6 ayat.

Nama Surah
Surah ini dinamakan surah al-Nas (manusia) kerana ia dimulakan dengan firman Allah (bermaksud): "Katakanlah (wahai Muhammad!), aku mohon perlindungan kepada Tuhan pemelihara manusia." (al-Nas, 114. 1). Perkataan manusia dalam surah ini disebut berulangkali iaitu sebanyak lima kali. la diturunkan semasa dengan surah al-Falaq. Menurut kebanyakan ulama', surah ini merupakan surah Makkiyyah. Ada juga yang berpendapat ianya surah Madaniyyah sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Kita telah mengetahui bentuk perkaitannya dengan surah sebelumnya.

Surah ini merupakan surah yang terakhir di dalam al-Qur'an. AI-Qur'an dimulakan dengan surah al-Fatihah iaitu meminta pertolongan Allah dan puji-pujian untukNya, Surah al-Nas dari al-Falaq juga diakhiri dengan memohon pertolongan Allah.

Kandungan Surah
Surah ini mengandungi permohonan perlindungan kepada Allah SWT, Tuhan seluruh manusia, Pemilik serta Tuhan yang sebenarnya agar dijauhkan dari kejahatan iblis dan tenteranya yang sentiasa menggoda manusia dengan waswasnya.

Surah al-Nas, surah al-Falaq serta surah al-lkhlas digunakan oleh Nabi untuk memohon perlindungan Allah dari sihir Yahudi. Dikatakan bahawa dua surah pelindung ini dinamakan juga al-Muqosyqisytan ertinya yang menyelamatkan dari sifat munafik.

AI-Tirmizi sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini meriwayatkan dari Uqbah bin 'Amir daripada Nabi, sabdanya:
"Allah telah menurunkan ayat-ayat yang tidak ada (ayat atau surah lain) yang menyamainya iaitu surah al-Nas dan surah al-Falaq."
Kata al-Tirmizi: hadith ini hasan sahih. Muslim juga telah meriwayatkan hadith ini.

Memohon Perllndungan Dari Tipudaya Syaitan
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ
1. Katakanlah (wahai Muhammad!), Aku mohon perlindungan kepada Tuhan pemelihara manusia.

مَلِكِ النَّاسِ
2. Raja manusia.

إِلَٰهِ النَّاسِ
3. Sembahan manusia

مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ
4. dari kejahatan (bisikan) syaitan yang sentiasa bersembunyi,

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
5. yang membisikkan (kejahatan) di dada manusia,

مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
6. dari kalangan jin dan manusia

Tafsir dan Ulasan
Firman Allah SWT (bermaksud): "Katakanlah (wahai Muhammad!): Aku mohon perlindungan kepada Tuhan pemelihara manusia. Raja manusia. Sembahan manusia." (An-Nas, 114: 1-3). Maksudnya, katakanlah wahai Rasulullah: Aku berlindung dan memohon pertolongan kepada Allah yang mendidik, menjaga, mencipta, menguruskan urusan manusia dan yang memulihkan kesejahteraan mereka. Allah pemilik kerajaan yang sempurna dan kuasa yang perkasa. Dialah Tuhan yang disembah, dan dipuja oleh manusia. Nama Tuhan adalah khusus untuk Allah tanpa ada yang berkongsi dengannya. Adapun penguasa boleh jadi dia adalah Tuhan. Boleh jadi juga tidak.

Inilah tiga sifat bagi Allah iaitu Rububiyyah (Tuhan Pemelihara), Penguasa dan Ilahiyyah (Tuhan yang dipuja). Dialah Tuhan pemelihara atau pemilik segala-galanya. Semua makhluk dicipta oleh dan untuk Allah. Mereka adalah kepunyaan dan hamba Allah.

Didahulukan sifat Rububiyyah di sini kerana kesesuaian untuk menjadi tempat memohon pertolongan atau perlindungan. Pertolongan yang diminta merangkumi nikmat pemeliharaan, penjagaan dan keprihatinan Allah.

Kemudian disebut pula sifat "Penguasaan" (al-Malakiah) kerana hamba Allah yang memohon perlindungan itu tidak akan mendapat pertolongan melainkan dari pemilikNya sendiri. Seterusnya disebut pula sifat Ilahiyyah. Ini adalah untuk menjelaskan bahawa yang berhak disyukuri dan diabdikan diri kepadanya ialah Allah dan bukan yang lain daripadaNya.

Manakala sebab diulang-ulang perkataan "manusia" dalam surah ini ialah untuk menambahkan lagi penerangan dan penjelasan tentang martabat manusia sebagai makhluk Allah yang mulia. Allah berfirman: "Tuhan sekalian manusia" sedangkan Allah sememangnya Tuhan bagi sekalian makhluk. Ini bertujuan untuk memuliakan martabat manusia. Sebab itulah ia disebut secara lebih khusus. Alasan lain ialah kerana yang meminta perlindungan lumrahnya adalah manusia.

Firman Allah (maksudnya): "Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang sentiasa bersembunyi, ertinya berlindunglah kepada Allah dan dapatkanlah naungan dari godaan syaitan yang sentiasa menimbulkan was-was, yang sentiasa bersembunyi dan mundur tatkala disebut nama Allah. Sekiranya manusia mengingati Allah syaitan akan mundur dan mengecil kecut. Sekiranya tidak disebut nama Allah ia mula membesar dan bermaharajalela di dalam hati manusia.

Ibn 'Abbas mentafsirkan ayat ini dengan katanya: "Syaitan duduk bercokol di dalam hati manusia. Apabila manusia lupa dan lalai (mengingati Allah) dia akan membisikkan (kejahatan). Tetapi apabila disebut nama Allah dia terdiam dan mengecut."

Allah mentakdirkan syaitan mempunyai daya dan helah untuk menggoda manusia - kecuali orang yang dipelihara oleh Allah - maka syaitan tidak berupaya merasuk mereka. Kewujudan syaitan sebagai satu jihad dan ujian besar bagi manusia. Sabit di dalam hadith yang sahih, sabda Rasulullah s.'a.w bahawasanya: "Setiap orang dari kamu mempunyai gandingan "qarin" (dari kalangan jin)." Para sahabat bertanya: "Adakah engkau pun mempunyai qarin, wahai Rasulullah?" Kata Baginda: "Ya, tetapi Allah telah memberi pertolongan kepadaku, dan ia (qarin itu) masuk Islam. Justeru itu ia tidak menyarankan kepadaku kecuali perkara yang balk."

Sabit di dalam sahih Bukhari dan Muslim, hadith riwayat Anas tentang kisah Sofiyyah (isteri Nabi) menziarahi Baginda di waktu malam tatkala Baginda sedang beriktikaf. Baginda kemudiannya keluar untuk menghantar Sofiyyah pulang ke rumahnya. Dua orang lelaki Ansar terserempak dengan Baginda. Apabila mereka melihat Nabi, mereka segera menjauhkan diri. Baginda lalu bersabda: "Tunggu sebentar. Ini adalah Sofiyyah binti Huyai."

Kata mereka berdua. "Subhanallah! wahai Rasulullah." Baginda lalu bersabda: "Sesungguhnya syaitan bergerak mengikut edaran darah anak Adam, dan aku bimbang ia mencetuskan di dalam hati kamu sesuatu." (atau kata Baginda satu kejahatan).

Hafiz Abu Ya'la al-Musoli meriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya; sabda Rasulullah. "Sesungguhnya syaitan meletakkan belalainya ke dalam hati anak Adam. Sekiranya dia mengingati Allah syaitan akan mundur. Sekiranya dia terlupa syaitan akan mengulum hatinya. Itulah bisikan syaitan yang sentiasa maju dan mundur."

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Tamimah yang meriwayatkan dari seorang yang ikut membonceng seekor keldai bersama Rasulullah, katanya: "Keldai Nabi jatuh terpelecot. Aku pun berkata: "Celaka syaitan " Baginda lantas bersabda, "Jangan kamu kata celaka syaitan. Sekiranya kamu berkata begitu dia semakin membesar dan dia akan berkata: "Aku kacau dia dengan kekuatanku", tetapi sekiranya kamu ucapkan: "Dengan nama Allah," syaitan akan semakin mengecil sehingga menjadi seumpama lalat.

Ini menunjukkan bahawa apabila diingati atau disebut nama Allah, syaitan yang bercokol di hati manusia akan mengecil dan dapat dikalahkan. Tetapi sekiranya tidak diingati atau disebutkan nama Allah dia akan membesar dan akan menang.

Seterusnya Allah menjelaskan tempat bisikan syaitan menerusi firmanNya (bermaksud): "Yang membisikkan di dada manusia." Ertinya yang melontarkan lintasan keinginan yang tidak elok dan buruk di hati manusia. Disebut dada di sini ialah kerana ia merangkumi hati, sedangkan lintasan keinginan itu tempatnya adalah di hati sebagaimana yang dimaklumi dalam gaya bahasa orang Arab.

Kemudian Allah menjelaskan bahawa yang membisikkan di hati manusia itu dua golongan iaitu jin dan manusia. Allah berfirman (maksudnya): "Dari kalangan jin dan juga manusia." Ertinya yang membisikkan di hati manusia itu samada syaitan jin yang membisikkan di hati manusia atau syaitan manusia, yang membisikkan di hati manusia dengan cara memperlihatkan dirinya sebagai penasihat yang merasa belas kasihan. Dengan itu dia telah berjaya menusukkan kata-katanya ke dalam hati manusia yang menganggapnya sebagai nasihat. Akhirnya ia menjadi mangsa bisikan syaitan jin.

Ini menunjukkan bahawa bisikan jahat boleh lahir dari jin atau lahir dari manusia; sebagaimana firman Allah (bermaksud): "Demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh iaitu syaitan manusia dan syaitan jin. Sebahagian mereka mengilhamkan kepada sebahagian yang lain kata-kata manis sebagai godaan." (al-An'am, 6: 112). Ertinya permusuhan di sini bukan permusuhan biasa dan mutlak, tetapi ialah kebolehan untuk menentang apa yang diberikan oleh Allah. Di antara manusia ada yang memilih menuruti bisikan syaitan dan ada yang berhati-hati menghadapi permusuhan dan bisikan mereka.

Pedoman Hidup dan Hukum-hakam
Di dalam surah ini, Allah SWT telah mengajar kita - sebagai satu rahmat buat kita - bagaimanakah cara memohon perlindungan dari syaitan manusia dan syaitan jin. Sebelum ini kita telah mengetahui bahawa menerusi tiga sifat Allah iaitu Rububiyyah, Penguasa dan Uluhiyyah, Allah telah melindungi mereka yang memohon perlindungan dari tipudaya syaitan dan bahayanya terhadap agama, kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Maksud Rububiyyah menunjukkan jagaan yang lebih dan keprihatinan yang cermat seorang penjaga.

Allah menyebut bahawa Dia adalah "Tuhan manusia," sedangkan Allah merupakan Tuhan bagi semua makhluk kerana dua sebab, iaitu:

Pertama: Kerana Allah mahu memuliakan manusia. Maka Allah mengisytiharkan dengan menyebut nama mereka bahawa Dia adalah Tuhan kepada mereka meskipun mereka dimuliakan.

Kedua: Kerana Allah memerintahkan manusia agar memohon perlindungan daripada kejahatan manusia. Lantaran itu Allah mengisytiharkan dengan menyebut nama mereka bahawa Dialah yang melindungi manusia dari kejahatan manusia. Kemudian Allah menyebut dua sifat iaitu Penguasa dan Uluhiyyah bagi menjelaskan kepada manusia bahawa Dia adalah raja (pemilik) mereka yang sebenarnya, meskipun mereka juga memiliki raja-raja lain. Bahawasanya Dialah Tuhan mereka dan yang patut dipuja oleh mereka. Tiada tempat pengabdian diri melainkan kepadaNya. Kepadanya manusia patut minta pertolongan. Naungan Allah yang semestinya diharap. Bukannya raja-raja dan penguasa yang lain.

Surah ini menjelaskan bahawa pembisik itu sama ada syaitan jin atau syaitan manusia. Hassan berkata: "Kedua-duanya adalah syaitan. Samada syaitan jin yang menimbulkan bisikan di hati manusia atau syaitan manusia yang menggoda manusia secara terang-terangan."

Qatadah berkata: "Di kalangan jin ada syaitan. Dari kalangan manusia juga ada syaitan. Maka hendaklah kamu memohon perlindungan dari syaitan manusia dan juga jin."

Diperhatikan di sini bahawa sifat Tuhan yang diminta perlindungan daripadaNya dalam surah al-Falaq disebut dengan satu sifat sahaja iaitu "Dia adalah Tuhan waktu Subuh." Sementara kejahatan yang dipohonkan supaya dijauhkan dalam surah ini ialah tiga perkara yang menjahanamkan iaitu I'malam", "perempuan tukang sihir yang menghembus-hembus" dan "penghasad dengki."

Manakala di dalam surah ini pula sifat Tuhan yang dipohon perlindungan daripadaNya disebut dengan tiga sifat iaitu "Rabb, Penguasa dan Ilah." Sementara kejahatan yang dipohon agar dihindari disebut dengan satu sifat jelik sahaja iaitu bisikan. Motif yang menyebabkan perbezaan antara dua surah ini ialah kerana yang diminta di dalam surah pertama ialah keselamatan jiwa dan jasad. Manakala yang diminta di dalam surah ini ialah keselamatan agama. Bahasa terhadap agama walaupun kecil, lebih besar dari bahaya dunia meskipun bahaya dunia itu juga besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan