Ahad, 31 Mac 2013

"Angau" Gadis terhadap Fatih; Satu Rahmat?

"Angau" Gadis terhadap Fatih; Satu Rahmat?

Seorang pendakwah muda menulis di facebook beliau:
"Banyak komen yang saya baca di status2 Fatih Seferagic adalah dari perempuan. 95% daripada komen adalah "Handsomenya", "Awak cute laaaa...", "♥♥♥", "Suke awak..." Apa bezanya mereka yang menolak Justin Bieber dan menerima Fatih Seferagic kalau masih 'angau'? =)"

Saya jadikan status beliau ini sebagai subjek komentar saya pada kali ini. Terlebih dahulu, saya tidak bertentangan pendapat dengan beliau.

Apa kata wanita-wanita?
Saya teringat kisah perbualan saya dengan seorang sahabat perempuan saya ini. Beliau pada waktu itu belajar untuk menjadi seorang pembantu perubatan. Darah campuran Melayu dan Siam, beliau belajar di sekolah harian biasa sehingga ke tingkatan 5. Ayahnya meninggal dunia sewaktu dia masih muda, yang tinggal, ibunya yang menanggungnya. Pendidikan agama beliau biasa-biasa sahaja.

Fenomena pada waktu tersebut bukan Fatih Seferagic, tapi, fenomena Imam Muda yang hensem-hensem belaka. Saya menyatakan ketidakselesaan saya terhadap wanita Islam yang kelihatan tergila-gilakan kehenseman Imam Muda. Komen saya pada waktu itu, kelihatan sama nadanya dengan komen pendakwah muda di atas. (Sebab tu saya sengih seorang diri bila terbaca status ini)

Sahabat perempuan ini mendengar dengan tekun setiap kata-kata saya. Selepas saya simpulkan apa yang saya ingin ucapkan, dia pun cakap,
"Betul apa awak cakap. Saya pun suka tengok juga Imam Muda. Saya pun suka tengok Imam Muda sebab mereka hensem. Enak dipandang mata"

Saya sangka, saya sudah berjaya menyampaikan dakwah saya, jadi saya sedikit gembira. Kemudian beliau pun menyambung,
"Mereka buatkan saya teringin seorang suami yang beriman kepada Allah swt, sama seperti mereka. Cemburunya saya kepada perempuan yang dapat berkahwin dengan lelaki sebaik itu. Kalau hensem, tapi, perangai tak elok, meluat jugak nak tengok."

Nabi saw seorang yang sangat hensem
Sejurus selepas jawapan beliau itu, saya tersedar. Saya sudah tersalah dalam melakukan ajakan. Saya menyatakan bahawa menyukai Imam-imam Muda kerana rupa paras mereka adalah salah. Mendengar kata-katanya, saya terfikir,
"Bagaimana jika kerana takutkan 'angau' ini, beliau tiba-tiba berhenti menyibukkan diri dengan Imam Muda kemudian kembali menonton Akademi Fantasia? Bagaimana jika kerana takutkan 'angau' ini menyebabkan mereka berputus asa mencari lelaki mantap iman, dan kembali menginginkan lelaki kurang mantap iman mereka sebagai teman hidup?"

Kemudian saya teringat bahawa Rasulullah saw adalah seorang yang SANGAT HENSEM. Malahan, sahabat-sahabat radhiallahu anhum menyatakan mereka tidak pernah melihat seorang yang lebih hensem daripada Rasulullah saw sepanjang hidup mereka.

Allah swt menjadikan sifat Rasulullah saw sebagai hensem kerana cantik/hensem boleh digunakan sebagai satu daya tarikan untuk dakwah Islam itu sendiri. Tiada seorang manusia pun yang suka jika Islam menyeru kepada kekusutan dan sifat tidak terurus. Kerana itu Rasulullah saw menyeru sahabat-sahabatnya supaya sentiasa kelihatan kemas.

Manipulasi dakwah kita
Saya menyatakan bahawa mencintai kehenseman Fatih dan Imam-imam Muda bukanlah satu perkara yang terbaik. Kerana Islam itu datang bersama ilmu. Islam tidak mampu disebarkan dengan magic ataupun rupa paras yang cantik. Memang benar mukjizat dan rupa paras yang cantik boleh membantu mengajak manusia kepada Islam. Namun, ilmu tetap perlu diberikan.

Saya melihat bahawa wanita-wanita yang sukakan Fatih, mereka menyukai Fatih bukan sahaja kerana wajahnya yang hensem. Namun, mereka menyukai Fatih kerana hensem itu datang bersama pakej Islam yang dibawanya.

Pendapat saya, adalah kurang bijak jika kita hanya mengkritik mereka yang mencintai Fatih kerana Fatih hensem. Adalah lebih baik, kita manipulasikan kehenseman Fatih ini. Contohnya, katakan kepada wanita-wanita yang sukakan kehenseman Fatih ini,
InsyaAllah, kalau saudari baik, saudari akan berjumpa seorang lelaki yang baik dan hensem seperti Fatih ini. Allah swt menjanjikan lelaki yang baik untuk wanita yang baik. “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” Surah An-Nur 26.

Dengan ini, bukan sahaja mereka meletakkan kekaguman kepada orang yang selayaknya (iaitu orang yang baik), malah mereka sendiri berusaha untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Ini lebih baik daripada dilarang mengagumi orang yang baik dan menyebabkan mereka mencintai orang-orang yang lain.

Kesimpulan
Saya menulis, bukan kerana bertentangan pendapat dengan sahabat saya ini, sebaliknya, kerana pada saya, komen beliau menegur golongan yang sudah mengenal Islam. Golongan yang belum berjinak-jinak dengan Islam perlu komen yang sedikit berbeza.

Kesimpulan saya, angau ini ada yang baiknya. Gunakan sebaiknya, wahai pendakwah.

p/s: Orang yang sudah kenal Allah swt (niqabis, tudung labuhis, dll), sepatutnya tidak mengeluarkan komen-komen menggelikan di page lelaki-lelaki hensem (tidak kira beragama ataupun tidak) kerana itu menjatuhkan maruah anda.

3 ulasan:

  1. Ada benarnya juga pandangan saudara ni.. tp yg peliknya, knp kita semua duk hightlight kan Fatih Seferagic aje?? padahal ramai lg yg hafaz quran 30 juz, bacaan pun sedap tp x digembar-gemburkan...knp?? sebabnya Fatih tu hensem..para tahfiz lain pulak x hensem..itu je... aii ape nk jadi dunia sekarang..yg zahir itulah nk ditonjolkan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Akhi.:)

      Ana sebenarnya cuba bawa satu dimensi baru kepada cara pemikiran kita.:)

      Mungkin yang enta terangkan adalah terbaik, dan mungkin yang ana terangkan boleh enta terapkan sekali sekala dalam perjuangan.:)

      Padam
  2. Cakaplah dikau cemburu :)

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Abang Hensem dan Baik ;)

    BalasPadam