Jumaat, 22 Mac 2013

Tazkirah 2 - Manusia Cerdik ialah Mereka yang Mengingati Mati


Tidak seorangpun yang sudi digolongkan sebagai orang yang jahil atau bebal, sebaliknya masing-masing ingin dipandang sebagai orang yang bijak dan cerdik. Sekalipun mereka tidak berusaha untuk melayakkan dirinya untuk digolongkan sebagai manusia bijak dan cerdik, malah tidak kurang juga orang yang berlagak bijak meskipun dia sebenarnya adalah sebaliknya.

Ada orang yang mengukur kebijaksanaan seseorang itu berdasarkan ijazah yang dimiliki, kerana orang yang lulus dalam sesuatu pepereksaan hingga melayakkan mereka menerima ijazah itu, adalah bukti bahawa dia seorang yang bijak. Si jahil adalah mustahil boleh mencapai segulung ijazah, kecuali dia telah berusaha membuang kejahilannya dengan belajar bersungguh-sungguh.

Tidak dinafikan orang yang memiliki ijazah adalah orang yang bijak, tetapi tidak pula bererti orang yang tidak memiliki ijazah itu tidak bijak, kerana jika ditinjau dari kacamata Islam bahawa orang yang beriman itu lebih bijak dari orang yang tidak beriman. Orang yang beriman dianggap bijak oleh Islam kerana mereka mengetahui tentang Allah yang Maha Esa, mengetahui rahsia disebalik alam barzah. Dan seterusnya mengetahui alam akhirat dengan segala peristiwa Mahsyar, as-Shur (tetuang sangkakala) al-mizan (timbangan amal), as-Shirot (titian ke Syurga), an-Nar (neraka) dan al-jannah (syurga).

Orang mukmin yang sebenar adalah mengetahui setaip perkara yang diimani dan diyakini, kerana itu mereka dianggap bijak oleh kerana mengetahui sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata zahirnya, khususnya mengenai kehidupan selepas mati iaitu alam barzah dan alam akhirat. Sedangkan orang yang tidak beriman melihat kematian itu seolah-olah suatu noktah bagi setiap kehidupan, mereka tidak yakin adanya kehidupan selepas mati.

Justeru itu ia telah meletakkan orang yang beriman lebih bijak dan lebih baik dari orang yang tidak beriman, namun demikian taraf kebijaksanaan dan kebaikan di kalangan orang-orang yang beriman mempunyai peringkat, ada yang kurang dan ada yang lebih, bergantung kepada keilmuan sejauh mana ia diamalkan dan sejauh mana keikhlasan, kerana amal yang didasarkan kepada ilmu itu sebenarnya yang membuahkan keimanan.

Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma berkata, bahawa ketika dia sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah s.a.w. lalu datang seorang lelaki memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah: "Siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia."
Kemudian lelaki itu bertanya lagi: "Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?" jawab, Nabi saw: "Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati, dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati."

Demikianlah ukuran cerdik pada pandangan Islam jauh berbeza dengan tanggapan manusia ramai, kerana manusia ramai mengukur kecerdikan itu berdasarkan pencapaian mereka dalam akademik, serta kepakaran dalam cabang ilmu pengetahuan, termasuk juga para pengkaji dan saintis yang berjaya menghasilkan ciptaan baru dalam dunia teknologi canggih. Walaupun Islam tidak menafikan cabang-cabang ilmu tersebut, tetapi ia hanya akan lebih bernilai jika ia dapat membantu mempertingkatkan keimanan seseorang terhadap Allah Taala dan juga alam akhirat.

Islam melihat dari sudut tersendiri iaitu kecerdikan berdasar kepada kemampuan menggunakan ilmu, untuk melihat rahsia yang tersembunyi di alam ghaib selepas mati. Lantaran itu orang yang sentiasa mengingati mati akan lebih memahami kehidupan sebenar di alam kubur iaitu alam perantara, di antara alam dunia dan alam akhirat.

Orang yang banyak mengingati mati bererti akan sentiasa mengawasi diri dari melakukan dosa, kerana dosa akan membawa akibat buruk di alam barzah dan lebih-lebih lagi di akhirat. Setiap apa yang dilakukan akan sentiasa merujuk terlebih dahulu kepada hukum Allah Taala, bukan seperti pepatah Melayu 'tepuk dada tanya selera' yang membawa erti hidup dibawah dorongan nafsu. Sebaliknya orang yang sentiasa mengingati mati itu akan sentiasa bertanya imannya sendiri, iaitu `tepuk dada tanya iman'.
Jika dia seorang ketua rumahtangga dia tidak akan lalai dari melaksanakan tanggungjawabnya, memimpin anak-anak dan isteri menurut petunjuk iman. Dengan itu wujudlah tarbiyah Islam dan suasana rumahtangga terpancar nur Islam.

Begitu juga jika dia seorang peniaga yang sentiasa mengingati mati, nescaya dia akan menjadi peniaga yang jujur. Tidak mengecoh atau menipu dalam sukatan, tidak menyembunyikan kecacatan barangan yang diniagakan, tidak menindas pengguna dengan mengambil keuntungan yang berlebihan, tidak menyorokkan barang keperluan umum semata-mata kerana hendak melambungkan harga bagi meraih keuntungan yang berlipat ganda.

Apatah pula jika dia seorang pemimpin negara, andainya dia tidak sentiasa mengingati mati atau tidak beriman dengan Allah Taala, nescaya tiada alasan untuk pemimpin tersebut bagi melaksanakan hukum Allah SWT, sebaliknya dia akan menggunakan kekuasaan untuk memuaskan nafsu bagi mengaut kekayaan dari harta negara dengan memperalatkan kekuasaan yang dimiliki, untuk kepentingan diri dan kelompoknya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Peniaga yang amanah akan bersama para malaikat yang mulia di akhirat kelak." Dan pada hadith yang lain disebut: "Peniaga yang amanah akan bersamaku (Rasulullah) di dalam syurga."

Natijah dari banyak mengingati mati itu akan melahirkan manusia yang berdisiplin tinggi, berakhlak mulia, tidak gentar menghadapi ancaman manusia, kerana dia tidak takut selain kepada Allah Taala. Dia berani menyatakan kebenaran meskipun seorang diri, kerana kebenaran itu adalah dari Allah Taala, justeru itu tidak ada sesuatu yang meragukan dia.

Orang yang mengingati mati akan sentiasa berusaha menambahkan ilmu terutamanya tentang ilmu yang berhubung dengan Allah Taala, kerana asas kepada keimanan ialah ilmu. Sebab itulah Allah Taala berjanji akan mengangkat darjat orang yang berilmu sebagaimana firman Allah SWT:

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ 
Yang bermaksud:
"Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orangyang beriman di antaramu dan orang yang berilmu pengetahuan beberapa derajat. "
(Surah at-Mujadilah ayat 11)

Allah Taala mengangkat derajat orang beriman dan berilmu pengetahuan kerana mereka mempunyai asas yang kukuh untuk unggul ketaqwaannya, berdasarkan bahawa hati mereka sentiasa mengingati mati, sangat sensitif terhadap suruhan dan larangan Allah, tidak mungkin mereka akan melanggar larangan Allah Taala, kerana meninggalkan kefardhuan dan melakukan kejahatan akan menyulitkan kehidupannya di alam barzah dan di akhirat. Mereka sentiasa gementar hatinya terhadap ancaman Allah. Seperti firman Allah Taala yang bermaksud:

اْۗنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُ
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama."
(Surah Faathir ayat 28).

Mengingati mati tidak akan menimbulkan kesan yang fasip atau negatif, sebagaimana anggapan setengah golongan orang yang tidak memahami hikmah di sebalik zikrul maut itu. Ramai orang jahil berkata, jika asyik ingat mati nescaya tidak akan membangun. Anggapan itu amat keliru kerana pembangunan masyarakat manusia tidak hanya pembangunan benda, kerana pembangunan benda tanpa pembangunan jiwa atau rohani pasti akan hancur binasa.

Dunia menyaksikan betapa kemajuan benda yang dihasilkan oleh kepakaran manusia, kemudiannya dihancurkan oleh tangan manusia sendiri. Los Angeles sebuah bandaraya di Amerika musnah menjadi abu apabila manusia merusuh, ekoran dari rasa tidak puas hati terhadap sistem perundangan yang tidak menghasilkan keadilan seperti yang mereka harapkan, khususnya ketika membicarakan kes Rodny King.
Demikianlah nasib sebuah kotaraya yang disuburkan dengan tamadun kekufuran, akibat sistem perundangan ciptaan manusia yang tidak berteraskan wahyu Ilahi, tanpa iman kepada Allah Taala, tiada kepercayaan kepada hari pembalasan, sebab itulah perundangan mereka tidak menjanjikan keadilan.

Andainya manusia membangun kebendaan dan kemudiannya tangan mereka sendiri pula yang meruntuhnya, sudah nyata mereka bukan golongan yang cerdik. Justeru orang yang bodoh dan dangkal saja yang membina tamadun benda semata-mata yang tidak menjanjikan kebahagiaan, sebaliknya untuk mewarisi kesengsaraan.

Mengingati mati akan melunakkan hati yang keras, serta menjinakkan nafsu yang ganas, umpama seekor harimau yang hilang garangnya apabila tali tas atau tali cemeti dipecutkan di hadapannya.

Apabila nafsu yang ganas telah ditundukkan, maka akan bertambah mudahlah usaha untuk membuat persiapan dan bekalan bagi menghadapi suatu kehidupan abadi selepas mati. Justeru nafsu yang ganas itulah yang selama ini menjadi penghalang, hendak menderma untuk kebajikan atau perjuangan menegakkan kalimah Allah tidak lagi keberatan kerana sifat bakhil yang didalangi oleh nafsu itu sudah ditundukkan.
Orang yang tidak pernah mengingati mati adalah orang yang dangkal ilmu pengetahuan dan lemah, terutama dalam aspek kerohanian. Golongan tersebut sering menjadi tunggangan kepada nafsunya sendiri, hidup dalam suasana lalai dan terpesona dengan kelazatan dunia yang bersifat sementara, sedangkan kesenangan akhirat itulah yang kekal. Jika ada manusia yang tidak memilih kebahagiaan yang kekal, nescaya mereka itu adalah terdiri dari orangorang yang dungu.

Tazkirah daripada,
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan