Sabtu, 30 Mac 2013

Tazkirah 3 - Hindar Kemungkaran dengan Zikrul Maut


SEORANG pemandu kenderaan yang cermat pasti menjaga ciri-ciri keselamatan, bukan sekadar memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan jalanraya, malah dia juga tidak lupa meneliti kenderaan sebelum memandunya. Sekalipun enjen dalam keadaan baik, namun mereka belum boleh berpuas hati sebelum meneliti lain-lain peralatan penting. Di antara perkara utama ialah mempastikan sama ada brek dalam keadaan baik, kerana brek merupakan perkara utama untuk menjamin keselamatan di jalanraya.

Begitulah juga dalam kehidupan manusia memerlukan ciri-ciri keselamatan, bagi menjamin keselamatan hidup manusia di dunia dan terutamanya ialah keselamatan hidup di akhirat. Seperti kenderaan tadi, manusia juga selain dia tidak lalai dan sentiasa waspada dalam mengharungi liku-liku hidup yang penuh pancaroba, dia juga mesti mempunyai brek bagi mempastikan dirinya tidak terbabas sehingga malampaui batas-batas Allah Taala.

Apakah sebenarnya brek bagi manusia agar mereka tidak terbabas dan merempuh perkara yang dilarang atau dihararnkan oleh Allah Taala? Sesungguhnya yang berfungsi sebagai brek bagi manusia itu banyak, yang terutama ialah keimanan terhadap Allah SWT dan hari akhirat.

Keimanan itu tidak subur dengan sendirinya, kecuali dibaja dengan ilmu agama yang berteraskan Wahyu Allah Taala yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Terutamanya ilmu tauhid atau aqidah yang dapat mengesakan Allah Taala dan juga ilmu yang mencakupi bidang syariat sebagai panduan hidup untuk mengabdi diri kepada Allah clan hubungan sesama insan.

Dengan segala ilmu yang berteraskan wahyu Ilahi itu dapatlah manusia menjaga peradaban hidup mereka, Berta meningkatkan keimanan terhadap Allah SWT melalui solat yang penuh khusyuk, kerana solat yang khusyuk itu berperanan mencegah manusia dari melakukan perbuatan yang keji clan mungkar.

Firman Allah Taala:
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌ۗ

Yang bermaksud:
"Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingati Allah (solat) lebih besar (keutamaannya dari ibadat yang lain)."
(Surat al-Ankabut ayat 45).

Selain itu perkara yang berfungsi sebagai trek dalam hidup manusia ialah 'zikrul maut' atau mengingati mati. Susungguhnya mengingati mati itu akan memberi ruang yang banyak untuk manusia menghadapkan wajah hati dan ingatan mereka kepada akhirat. Pandangan orang-orang  yang beriman itu amat jauh, kerana mereka tidak sekadar melihat dengan mata kepalanya, tetapi yang lebih penting ialah melihat dengan pandangan mata hati. Mata hati mampu melihat tidak sekadar melihat kehidupan di duniawi, malah pandangannya menjangkau ke akhirat, sesuai dengan keyakinannya bahawa kehidupan yang lebih panjang bagi manusia ialah di akhirat.

Bagi orang yang lalai dari mengingati mati boleh disimpulkan bahawa mereka tidak pernah mengambil masa walau sedikitpun untuk mengingat atau memikirkan akhirat, inilah yang menyebabkan mereka hayal dan lalai dengan kesenangan dan kelazatan hidup di dunia.

Kehidupan manusia di dunia ini hanya menempuh dua keadaan, iaitu sama ada susah atau pun senang, kesenangan bagi orang yang tidak bersyukur ada kalanya melalaikan manusia dari mengingati Allah Taala dan juga mengingati mati, tetapi apabila menghadapi kesusahan dan penderitaan hidup kadangkala manusia berputus asa lalu mereka merasakan mati lebih baik ketika itu. Persoalannya adakah mereka mempunyai persiapan untuk menghadapi mati? Jika tidak bagaimana mereka tahu bahawa mati itu lebih baik bagi mereka?

Mengingati mati dalam keadaan susah dan senang itu amat besar faedahnya. Sekiranya berada dalam kehidupan yang susah dan menderita, tidaklah mereka merasakan bahawa penderitaannya itu terlalu berat jika dibandingkan dengan detik-detik menghadapi mati yang dahsyat, suatu detik yang penuh cemas dan kesakitan. Bukan sekadar sakit disebabkan nyawa dicabut keluar dari badan, tetapi ia adalah saat-saat penentu yang amat digeruni oleh semua manusia, sama ada dia akan beroleh husnul khatimah (kesudahan yang baik) atau su-ul khatimah (kesudahan yang buruk).

Dengan mengingati saat-saat roh dicabut oleh malaikat maut, dengan kesakitan bagaikan disayat kulit hidup-hidup, maka apalah sebenarnya penderitaan dan kesakitan hidup di dunia ini. Apatah lagi jika mengingat kesengsaraan di hari mahsyar dan azab neraka yang bakal menimpa orang-orang yang ingkar, maka kesengsaraan di dunia yang singkat ini bukanlah bandingan. Justeru itu dengan mengingati mati dan mengingati persoalan sesudah mati iaitu di alam barzah dan juga alam akhirat itu akan meringankan beban derita yang ditanggung di dunia ini.

Sekiranya seseorang itu hidup senang dengan kekayaan yang melimpah, maka kesenangan yang dirasai itu tidak akan mempesonakan dan merasa terlalu berbangga dengannya. Kerana ia sekadar kesenangan bagaikan setitik embun dihujung daun yang akan gugur dan hilang dalam sekelip mata. Kebahagiaan dan kesenangan di dunia adalah kesenangan yang tidak kekal jika dibandingkan dengan kesenangan selepas mati bagi orang-orang beriman yang mendapat rahmat Allah SWT.

Justeru itu walau bagaimana besar penderitaan yang ditanggung di dunia ini, namun kesengsaraan itu pasti ada penghujungnya, penamat kepada penderitaan itu ialah mati. Jika seseorang itu ingat akan mati, malah semua yang bernafas juga akan menemui kematian, dia sedar bahawa bukan dia sahaja yang akan mati, tetapi orang lain pun mati juga. Dengan itu akan ringanlah beban yang ditanggungnya kerana dia tahu bahawa kematian pasti mengakhiri kesulitan hidup yang ditanggung selama ini. Walau bagaimanapun mereka juga sedar bahawa kematian adalah permulaan kepada suatu kehidupan yang abadi.

Selain itu disebabkan kesabaran menghadapi ujian kepayahan hidup, serta keimanan yang sentiasa disuburkan dengan amal dan ketaqwaan, maka dia penuh yakin bahawa kesengsaraan di dunia itu hanya sekadar kulit dari kesengsaraan yang sebenar. Di samping itu dia tetap bersangka baik kepada Allah SWT, bahawa kematian itu merupakan permulaan 'saadah atau kebahagiaan yang sebenar baginya.
Sentiasa dia berharap semoga tidak akan menempuh kesengsaraan di akhirat, kerana sepanjang dia mengingati mati, menyebabkan dia telah berusaha melakukan ketaatan dan menjauhi apa yang dibenci oleh Allah SWT. agar dihindar dari menempuh kesengsaraan akhirat yang tempohnya terlalu panjang serta tiada peluang untuk melakukan sebarang ikhtiar bagi mengurangkan penderitaan tersebut walau sedikitpun.

Kehidupan yang dipenuhi dengan kesenangan, ada kalanya meninggalkan kesan yang buruk terhadap martabat keimanan seseorang, selain dia leka dengan kesenangan itu bererti dia tidak pernah menempuh ujian. Ibarat emas yang belum dibakar, belum diketahui ketulinannya. Demikian juga keimanan yang tidak pernah teruji, dikhuatiri akan gagal apabila ditimpa ujian yang berat.

Justeru itu kita temui sepanjang sejarah para nabi dan rasul a.s. itu dipenuhi dengan berbagai ujian yang berat, mereka diuji dengan kemiskinan dan kemelaratan hidup, diuji dengan penentangan dan ancaman maut dari kaumnya, dipulau oleh kaum kerabat mereka, diusir dan diperangi, dicaci dan dinista. Kesemua itu merupakan ujian yang didatangkan oleh Allah SWT terhadap mereka, untuk menjadi pengajaran kepada sekalian umat para nabi dan rasul itu agar mengambil iktibar bahawa kehidupan orang yang beriman itu pasti akan menghadapi ujian.

Ujian dari Allah SWT itu berdasarkan iman seseorang, oleh kerana orang yang mempunyai keimanan yang unggul adalah terdiri dari para rasul dan nabi-nabi juga siddikin, maka merekalah golongan yang banyak menerima ujian dari Allah SWT . Bagaimanapun mereka adalah golongan yang sentiasa mengingati mati dan hatinya sentiasa menghadap ke alam akhirat, maka semua ujian dan ancaman itu hanyalah asam garam yang akan melazatkan lagi kehidupan mereka di akhirat.

Sebaliknya, kesenangan bagi orang yang lalai dari memikirkan hidup selepas mati, hanyalah ibarat sebiji pisang di dalam perangkap yang menyebabkan musang akan terperangkap hanya dengan sebutir pisang itu.

Justeru itu kesusahan dan kesenangan itu kedua-duanya berguna kepada orang yang beriman yang sentiasa mengingati mati. Kesusahan yang ditimpakan kepadanya tidak menyebabkan dia tidak keluh kesah, kerana dia sedar bahawa kesusahan itu tidaklah seberapa jika di bandingkan kesengsaraan di akhirat yang akan ditanggung oleh mereka yang lalai.

Kesenangan dan kekayaan juga tetap berguna kepada orang yang beriman yang sentiasa ingat akan mati, kerana sudah tentu mereka mencari kekayaan itu melalui cara-cara yang diridhai oleh Allah SWT, Serta dia menggunakan kekayaan itu untuk berbakti kepada Allah Taala bagi mencari keredhaan-Nya.
Mengingati mati adalah ubat yang paling mujarab bagi manusia menghindarkan diri dari lalai, dan juga perisai yang kukuh bagi melawan serangan pengaruh kelazatan dunia yang melekakan.

Tazkirah daripada:
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan