Ahad, 31 Mac 2013

Tazkirah 4 - Beribadat Bagaikan Mati Akan Menjelang Esok Hari


SELURUH manusia mengetahui bahawa kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak siapapun yang dapat mengandaikan dirinya akan hidup lama. Orang muda tidak boleh optimis bahawa dia akan hidup lama, kerana semua orang tahu kematian itu tidak bertarikh, bagi dalam kandungan pun menemui ajal sebelum dilahirkan, dan kesihatan yang dikawal rapi tidak akan memanjangkan usia seseorang.

Manusia tidak diberi ilmu untuk membongkar rahsia roh dan mati. Orang sering mengaitkan mati dengan sakit atau sesuatu tragedi, tetapi orang yang sihat pun mati. Justeru itu persoalan mati adalah urusan Allah Taala, sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah Taala:

وَيَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ‌ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنۡ أَمۡرِ رَبِّى

Yang bermaksud:
"Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh, katakanlah: Roh itu termasuk urusan Tuhanku." (Surah Al-Isra ayat 85).

Justeru itu soal roh adalah di dalam agenda atau jadual Allah Taala secara mutlak, ketika manakah Allah Taala hendak meniupkan roh kepada manusia, atau bilakah dia hendak mencabut roh dari jasad manusia, maka kesemuanya hak mutlak Allah Taala.

Oleh kerana mati itu datang tanpa memberitahu terlebih dahulu, ia sepatutnya memberi pengajaran kepada manusia agar menggunakan masa sepenuhnya tanpa membazirkan umur walau sedetik. Tidak menangguhkan sebarang kerja atau kewajiban yang difardhukan, kerana tidak pasti adakah nafas yang dihembuskan sebentar tadi akan dapat ditarik kembali, dan adakah hari esok masih ada untuknya.

Seorang ulama bernama Yazid Ar-Raqash, suatu ketika beliau telah mengadakan sesi ucapan khas untuk dirinya sendiri, menasihati diri yang bererti menghitung diri. Beliau melakukan itu kerana sudah banyak kuliah atau khutbah yang diucapkan untuk menasihati orang lain, dan kali itu beliau mengkhususkan kuliah nasihatnya untuk dirinya sendiri. Di dalam ucapannya beliau telah mengemukakan suatu pertanyaan: "Wahai Yazid Ar-Raqash," ujarnya "Siapakah yang akan mengerjakan solat fardhu bagi dirimu selepas kamu mati?"

Beliau mengemukakan soalan tersebut kepada dirinya, kerana beliau sedar bahawa solat yang dilakukan selama ini ibarat seorang murid yang memasuki ujian peperiksaan, tetapi keputusan ujian itu dirahsiakan. Bolehkah dia yakin bahawa dia lulus ujian? Semuanya menjadi teka-teki dan keputusannya hanya akan diketahui apabila catatan amal seseorang itu telah dibentangkan oleh Allah Taala di hari hisab di Padang mahsyar kelak.

Sebelum datangnya hari pendedahan segala amal itu, sudah tentu tidak seorang pun yang merasa pasti bahawa solatnya itu telah diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah yang terbaik, dia hanya mengharap solatnya itu diterima. Tetapi dia tidak tahu bagaimana nasib solat itu, sama ada ia telah dibawa ke langit oleh para malaikat yang bertugas dengan jayanya atau sebaliknya. Adakah dapat melepasi pintu-pintu langit sehingga akhirnya sampai ke pangkuan Allah SWT. Ataukah solat itu telah dilontarkan oleh malaikat yang menjaga pintu langit disebabkan kecacatan yang terdapat di dalamnya?

Selain itu, tidak ada siapapun yang dapat menjangka dia akan sampai kepada waktu solat yang berikutnya. Justeru itu apabila masuk waktu solat fardhu maka dia akan melakukannya sebagai solat yang terbaik, yang dilengkapi dengan rukun dan syarat-syaratnya, serta dengan khusyuk dan hati yang tertumpu ingatan kepada Allah Taala.

Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadithnya menyebut: jadikan solat yang kamu dirikan itu sebagai solat yang terakhir dalam hidupmu." Dalam hadithnya yang lain Rasulullah menjelaskan: "Beramallah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari."

Mendirikan solat atau ibadah seolah-olah kematian akan datang menjelang esok hari, tentulah dilakukan sebaik-baiknya. Kerana apabila solat atau ibadah yang dilakukan itu cacat dan tidak memenuhi rukun serta syarat-syarat yang selayaknya, maka solat dan ibadah itu pasti ditolak oleh Allah Taala, dan tidak ada masa untuk memperbaikinya semula.

Apabila telah mati seseorang itu maka putuslah segala ikhtiar, solat yang cacat itu kekal dengan kecacatannya tanpa dapat diperbaiki lagi. Sebab itulah Yazid Ar-Raqash bertanya kepada dirinya sendiri: "Siapakah yang akan menggantikan solat yang cacat itu setelah kamu mati?" jawabnya tentulah tidak ada siapapun yang dapat melakukannya, melainkan dia bergantung harap kepada solat dan ibadah yang telah dilakukan sama ada cacat atau sempurna.

Oleh yang demikian apabila mati itu sentiasa berada di dalam ingatan, ia akan mendorong melakukan sesuatu ibadah dengan cermat dan khusyuk. Berusaha mencari punca-punca yang menghalang terjadinya khusyuk di dalam solat dan lain ibadah, mendalami ilmu yang berhubung dengan solat dan lain-lain ibadah, kerana melakukan ibadah tanpa ilmu akan sia-sia.

Antara perkara yang menghalang terjadinya khusyuk di dalam solat, antaranya ialah tidak memahami setiap perkataan atau kalimah yang diucapkan, sama ada lafaz yang wajib seperti bacaan fatihah dan lainnya. Mereka hanya menghafal setiap kalimah yang terkandung di dalam solat, dan mengucapkannya setiap kali ibadah solat itu dilakukan.

Solat seperti itu tidak akan mencapai khusyuk, kerana hati mereka tidak dapat menghayati maksud-maksud yang terkandung di dalam kalimah-kalimah yang diucapkan. Kalimah itu dibacanya sekadar memenuhi syarat atau rukun yang ditetapkan oleh fiqh, sedangkan segala pengertian yang terkandung di dalam setiap bacaan di dalam solat itulah yang akan manambat hati serta ingatan seseorang yang sedang mendirikan solat.

Solat yang dilakukan dalam keadaan tidak memahami bacaan yang diucapkan, adalah ibadah hanya pada zahirnya saja, sedang pada batinnya tidak mencapai khusyuk. Walau bagaimanapun solat yang khusyuk tidak bergantung kepada memahami makna bacaan semata-mata, hanya bangsa Arab sajalah yang boleh mencapai khusyuk, kerana bahasa di dalam solat itu adalah bahasa mereka. Jika begitu adakah orang Arab sahaja yang masuk syurga? Tetapi kita yakin bahawa ada orang Arab yang masuk syurga dan tidak sedikit pula yang masuk neraka.

Oleh yang demikian semua orang Islam tidak kira Arab atau 'Ajam mesti memahami setiap perkataan yang diucapkan di dalam solat mereka, supaya hati mereka terikat dengan maksud perkataan yang dituturkan oleh lidah mereka. Apabila hati terikat dengan makna bacaan, maka tidak ada peluang untuk hati lalai merayau merata-rata sehingga tidak lagi mengingati Allah SWT, sedangkan di antara tujuan solat itu ialah untuk mengingati Allah Ta'ala.

Firman Allah SWT:
نَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۟ فَٱعۡبُدۡنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِڪۡرِىٓ

Yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku."
(Sarah Taha ayat 14).

Bagi orang yang berharap agar solat mereka diterima oleh Allah SWT, maka sewajarnya sentiasa meningkatkan ilmu sehingga dapat memahami dan menghayati semua makna ayat serta kalimah yang diucapkan di dalam solat, bagi membantu mencapai khusyuk itu. Lebih-lebih lagi bagi bangsa 'Ajam yang begitu asing dengan bahasa Arab.

Firman Allah Taala:

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ( ١ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢)

Yang bermaksud:
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk di dalam sembahyangnya"
(Surah al-Mukminun ayat 1-2).

Justeru itu solat yang khusyuk itu adalah suatu urusan yang besar bagi orang beriman, mereka tidak mungkin mendakwa boleh mencapai khusyuk tanpa mengetahui makna bacaan dalam solat.

Suatu ketika Rasulullah SAW memberitahu para sahabat, sekiranya di antara mereka ada yang boleh melakukan solat dengan khusyuk dan mengingati Allah dari awal hingga akhir, maka Rasulullah akan memberi mereka sehelai baju. Tiba-tiba Saidina Ali mengaku dapat melakukannya, sayangnya apabila Saidina Ali mendirikan solat, lalu hatinya berkata: "Alangkah baiknya jika Rasulullah boleh memberinya dua helai baju."

Jika Sayidina Ali sebagai sepupu Nabi dan juga menantunya, yang pernah dikhabarkan bahawa beliau adalah pintu ilmu dan Nabi sebagai gedungnya, namun masih terdapat gangguan di dalam solatnya, maka apakah yang boleh menjamin bagi bangsa 'Ajam yang tidak menguasai bahasa Arab dan kurang berilmu itu akan mencapai khusyuk dengan mudah di dalam solat mereka?

Tazkirah kematian oleh:
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan