Selasa, 9 April 2013

Taadud Jemaah: Pendapat Ulama & Analisa Saya

"Antara ulama-ulama yang menolak taadud jemaah adalah Dr Fathi Yakan. Manakala yang mengharuskan pula adalah Dr Yusuf Al-Qardhawi. Dalam keadaan kita sekarang yang sudah wujud pelbagai jemaah di Malaysia, maka, pendapat Dr Yusuf Al-Qardhawi lebih terkehadapan dan lebih patut untuk diaplikasikan. Ianya lebih bersifat damai dan mendamaikan," kata seorang penceramah yang sedang menyampaikan pendapatnya kepada adik-adik yang sedang hadir.

Pendahuluan
Saya ingin menegur sahabat-sahabat yang mengatakan bahawa Dr Fathi Yakan menolak berbilang jemaah secara total. Ia sebenarnya sandaran yang tidak benar terhadap Dr Fathi Yakan. Amat buruk sekali apabila kita menyandarkan pendapat ini terhadap beliau. Ini kerana ia seakan-akan menunjukkan Dr Fathi Yakan seorang yang tidak bertoleransi terhadap jemaah lain. Malahan, mereka membezakan pula pendapat Dr Fathi Yakan dengan Dr Yusuf Al-Qardhawi. Adik-adik yang mendengar kemudiannya mengangguk dan setelah setahun berkecimpung dalam dunia usrah, mereka pula yang menceritakannya kepada umum perkara yang sama. Kesian Dr Fathi Yakan.

Hakikatnya
Hakikatnya, keduanya-dua mereka tidak mengharuskan secara total, dan tidak mengharamkan secara total. Dr Fathi Yakan dalam Ihzaru Al-AIDS Haraki mengharuskan berbilang jemaah bersyarat. Dr Yusuf Al-Qardhawi juga mengharuskan berbilang jemaah bersyarat.

Memetik Kata-kata Sesuka Hati
Sebenarnya, kesilapan memetik kata-kata ulama sudah berlaku banyak kali. Sama ada ia disengajakan ataupun tidak disengajakan, ia bergantung kepada niat seseorang. Banyak contoh yang boleh saya berikan.

Antara manusia yang selalu disalah quote adalah TG Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Bermula daripada "Rasulullah sama seperti Mat Kampung", kemudian, "UMNO adalah Orang Utan", kemudian, "Penerima BR1M adalah haiwan", kemudian yang terbaru "Solat UMNO tidak diterima". Semua ini merupakan penyakit suka memetik kata-kata orang sesuka hati.

Sama keadaannya dalam peristiwa kalimah Allah. Ramai yang mengatakan bahawa TG Harun Din dan TG Hadi Awang berbeza pendapat. Namun, hakikatnya pendapat TG Harun Din dan TG Hadi Awang adalah sama sahaja. Namun, disebabkan satu berkonotasi positif, dan satu lagi berkonotasi negatif, maka golongan-golongan penentang mengatakan TG Hadi Awang benarkan tapi, TG Harun Din haramkan. Sebenarnya kedua-dua tidak membenarkan. Ini dinyatakan sendiri oleh TG Harun Din dalam temuramahnya dengan Harakahdaily.

Bukti
Dr Fathi Yakan mengharuskan taadud jemaah bersyarat. Buktinya, Dr Fathi Yakan tidak menolak jika jemaah baru itu membantu jemaah yang sudah sedia ada. Ini tertulis dalam kitabnya Ihzaru Al-AIDS Haraki.
"Kalau sahaja fenomena kepelbagaian ini bersih daripada fanastisme, diiringi suasana penuh ukhwah, terjalin kerjasama dan saling memahami di antara mereka, maka hal ini tidak memerlukan pembicaraan."

Namun, pada pendapat beliau setelah puluhan tahun berkecimpung dalam dunia gerakan Islam, pertelingkahan itu tidak mungkin dapat dielakkan.
"Tetapi, kenyataan yang terjadi sebaliknya".

Katanya lagi,
"Adapun kini, kepelbagaian yang ada di dunia Islam telah melahirkan perbezaan dan perselisihan tanpa akhlak, tanpa ilmu, dan tanpa landasan syariat. Mereka berlumba meraih pengaruh dan lari dari tanggungjawab. Mereka begitu vokal mempromosikan nama dan panjinya, begitu enthusiast mendapatkan pengaruh sekaligus begitu enggan mempersembahkan pengorbanan."

Dan, realiti yang PASTI terjadi inilah yang menyebabkan beliau meletakkan fatwa bersifat jelas iaitu TIDAK BOLEH.
"Dalam keadaan demikian, bagaimana mungkin sebuah taadud diterima dan disebut fenomena wajar?"

Saya berpegang kepada pendapat ini kerana Dr Fathi Yakan mengutarakan fatwa dalam pada beliau berada di dalam gerakan. Justeru, Dr Fathi Yakan mengetahui perangai manusia dalam gerakan adakah mereka mampu untuk mewujudkan taadud yang baik.

Pendapat Ulama Lain
Ulama lain yang menyatakan keharusan bersyarat, ulama ini memberikan peluang kepada umat Islam untuk membuat penilaian adakah taadud ini memecah-belahkan ummat ataupun tidak. Jika taadud ini memecah-belahkan, mereka juga membenci taadud ini. Inilah yang diucapkan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Kata beliau:
"Oleh itu, setiap perbezaan bukan sentiasa bermakna kejahatan. Tetapi, kita mesti membezakan antara dua bentuk perbezaan: perbezaan (taadud) yang bersifat tanawu' (تنوع) dan perbezaan yang bersifat tudod (تضاد). Yang pertama adalah baik dan yang kedua adalah tercela."

Kemudian, Dr Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan,
"Tumbuhnya pelbagai jemaah yang bekerja untuk Islam merupakan sesuatu yang wajar. (......) Tetapi perbezaan itu mestilah perbezaan dari segi tanawu' dan takhassus, bukannya perbezaan yang bersifat penentangan dan perbalahan. Semua jemaah MESTI BERSATU PADU dalam satu saf bagi menghadapi masalah-masalah semasa yang mengancam kewujudan Islam, syariah Islam, aqidah Islam dan umat Islam"

Kemudian, Dr Yusuf Al-Qardhawi memberikan contoh perilaku golongan-golongan yang beliau golongan sebagai golongan taadud tanawu' sebagai,
"Walau bagaimanapun, setiap jemaah perlu bersangka baik dan memaafkan kesilapan, kecaman-kecaman fasiq, sesat dan kafir harus segera dihilangkan dan digantikan dengan memberi nasihat dengan kebenaran dan kesabaran, mengambil cara yang paling hikmah, memberi teladan yang baik, dan mendiskusikan masalah dengan baik".

Kemudian Dr Yusuf Al-Qardhawi berkata,
"Taadud dan Ikhtilaf tanawu' ini (yang saya sebutkan di atas) tentunya tidak akan menghala kepada perpecahan".

Daripada quotation yang pertama, sudah jelas bahawa taadud yang Dr Yusuf Al-Qardhawi benarkan adalah yang tidak menimbulkan permusuhan, pertentangan dan perbalahan. Dan Dr Yusuf Al-Qardhawi melarang taadud tudod (kepelbagaian yang bertentangan). Jika dilihat dari sudut ini, pendapat beliau lebih kurang sama dengan pendapat Dr Fathi Yakan. Semoga Allah merahmati mereka berdua.

Saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian melihat keadaan jemaah Islam di Malaysia yang pelbagai sekarang. Adakah bertepatan dengan apa yang dikatakan Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai taadud tanawu'? Ataupun sekarang sudah termasuk dalam taadud tudod?

(Fatwa Dr Yusuf Qardawi masih lagi dalam proses perubahan. Beliau masih aktif, jadi pendapat dia semalam, mungkin berubah esok hari. Jadi, saya akan mengubah pendirian saya jika maklumat lain diberikan, insyaAllah.)

Teguran Kepada Naqib-naqib Yang Bukan Aliran Agama
Naqib-naqib yang datang daripada aliran bukan agama adalah golongan yang paling mudah sekali memetik kata-kata secara di luar konteks kerana mereka hanya mendengar dan percaya. Mereka tidak mempunyai kebolehan untuk melihat kembali bukti yang diutarakan. Kemudian, mereka menyebarkannya pula petikan-petikan yang tidak kena ini.

Mereka menyebarkan bahawa Dr Yusuf Al-Qardhawi membenarkan taadud, sedangkan Dr Yusuf Al-Qardhawi membenarkan beberapa jenis taadud sahaja. Naqib-naqib yang membaca tulisan saya ini, diharapkan jujur dalam memetik, dan katakanlah bahawa Dr Yusuf Al-Qardhawi hanya membenarkan taadud yang tidak bersifat tudod.

Saya sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesilapan ini. Jadi, saya tidak takut untuk berubah jika ditegur.

Apa Enta Akan Dapat Daripada Memperjuangkan Perkara Ini?
"Apa tujuan enta menimbulkan perkara yang sudah berakhir ini?" Kata seorang akhi yang sangat baik.

Saya mempunyai tiga tujuan utama apabila menceritakan perkara ini.

Pertama: Saya ingin menyatu-padukan umat Islam. Inilah tujuan yang paling besar sekali. Saya berpegang dengan pendapat Dr Fathi Yakan yang menyatakan bahawa tidak mungkin tidak muncul perbalahan. Kerana itu, saya katakan bahawa wujudnya kepelbagaian ini merupakan punca perbalahan dan perseteruan umat Islam. Walaupun berubahnya zaman, namun, permusuhan ini pasti akan berlaku. Tiada cara melainkan hanya satu jemaah sahaja. Bukanlah susah sebenarnya untuk melakukan sesuatu yang lebih baik iaitu BERSATU.

Kedua: Jika saya tidak mampu menyatu-padukan umat Islam sekalipun (yang mana saya tahu sangat sukar untuk dilakukan), saya ingin supaya umat Islam kembali melihat fatwa yang mengharuskan berbilang jemaah ini. Sekurang-kurangnya dapat mereka ketahui bahawa fatwa itu hanya membenarkan dalam keadaan tertentu sahaja. Maka, dapat diperelokkan peribadi kita dan diingatkan kembali supaya tidaklah taadud mereka itu tergolong dalam taadud tudod. Jika berlakunya taadud tanawu', saya sememangnya tidak bermasalah.

Ketiga: Sebagai guidance kepada adik-adik. Adik-adik kita bukannya tidak pandai. Mereka pandai menilai yang mana benar dan yang mana salah. Cuma, kadang-kadang, ilmu tidak sampai, macam mana mereka nak menilai. Jadi, saya sampaikan pendapat saya, jadi adik-adik silalah menilai.

Berlapang Dada atas Perkara Furu'
Apabila kita bercakap atas dasar berlapang dada, saya harap kita faham sebetulnya maksud berlapang dada. Bukanlah berlapang dada itu membawa makna kita perlu memandang semua pendapat itu sama kuat, tiada yang lebih kuat daripada satu sama lain.

Berlapang dada pada pandangan saya merupakan satu manifestasi daripada sikap toleransi dalam diri seseorang. Berlapang dada tidak menyuruh kita menjadi lalang yang tidak mempunyai prinsip. Dalam satu-satu pendapat, pasti ada yang paling rajih. Dan ada yang kurang kuat. Ada pendapat yang perlu ditolak terus.

Pastinya dalam keadaan manusia mempunyai banyak pilihan, setiap manusia akan berpegang kepada pendapat yang difikirkannya paling kuat. Pada pandangan saya, inilah yang paling kuat, dan pada pandangan dia, itu yang paling kuat. Mungkin sama mungkin tidak.

Prinsip berlapang dada pada pandangan saya bermaksud kita menerima kewujudan pendapat lain selain daripada pendapat kita, asalkan ianya mempunyai dalil dalam Islam. Termasuk dalam konteks ini, adalah kita tidak boleh mengatakan seseorang yang tidak mempunyai pendapat sama dengan kita sama ada kafir, fasiq ataupun zindiq, ataupun murtad.

Dalam isu berlapang dada ini juga, saya sepatutnya dibenarkan untuk memegang pendapat bahawa taadud jemaah itu tidak lain hanya akan membawa kepada kemudaratan, dan pendapat ini mempunyai dalil dan bukti. Maka, jika ada yang memaksa saya menerima pendapat 'taadud itu harus' sambil mengatakan kepada saya "awak ini tidak berlapang dada" adalah orang yang tidak berlapang dada yang sebenarnya. Dia tidak berlapang dada terhadap pendapat yang mengharamkan taadud, sebaliknya hanya ingin pendapatnya yang mengharuskan sahaja diterima.

Contoh orang yang berlapang dada:
Saya menjelaskan pendapat saya, saya menyatakan fakta-fakta yang saya rasa sepatutnya diketahui. Kemudian, saya menyeru (bukan memaksa) mereka menerima pendapat saya. Kemudian, orang lain menolak pendapat saya kerana dia merasakan pendapat yang satu lagi lebih baik. Saya tetap kekal pada pendapat saya dan saya tidak memaksanya menerima pendapat saya dengan sebarang ugutan.

Contoh orang yang tidak berlapang dada:
Saya nampak seorang melakukan perkara yang tidak kena dengan pegangan saya. Kemudian saya menegurnya. Kemudian dia kata, dia ikut pendapat A. Maka, saya pun paksa dia ikut pendapat saya, dan kalau tak ikut, sesat. Mati dalam keadaan kafir. Dia tetap tak ikut, maka saya lempang dia sekuat hati.

Berlapang dada yang saya amalkan adalah saya menyampaikan fahaman saya, namun, saya juga berusaha membentuk masyarakat yang aman walaupun wujudnya khilaf ini. Cara saya adalah dengan menyeru untuk menghapuskan khilaf ini dengan mengajak kepada pembubaran jemaah-jemaah sampingan. Ianya bukan kerana saya tidak menerima khilaf ini tetapi kerana pembubaran itu baik untuk Islam. Begitu juga, saya tidak memandang orang yang bertentangan pendapat dengan saya sebagai orang yang kafir ataupun murtad. Saya tidak menganggap mereka penentang melainkan sudah zahir mereka itu menentang.

Kesimpulan
Sekali lagi saya menyeru kepada kesatuan sebagai langkah untuk melahirkan umat yang satu dari segi organisasi dan wala'. Saya memegang pendapat Syeikh Hussain Muhammad Ali Jabir dalam kitabnya "Menuju Jamaatul Muslimin" yang mengatakan bahawa dalam situasi jemaah yang sudah sedia ramai, yang perlu dibuat adalah "mereka harus berusaha menggabungkan semua jemaah ke dalamnya (maksud Syeikh Husain adalah jemaah yang terbaik), jika dapat dilakukan kerana ini akan dapat menghentikan perselisihan antara jamaah."

Dan saya menyeru kepada kesatuan kepada PAS kerana PAS adalah jemaah yang paling menyeluruh skop perjuangannya antara semua jemaah-jemaah di Malaysia (PAS memperjuangkan politik, tarbiah, ekonomi, undang-undang dan lain-lain), paling ramai ulama antara semua jemaah-jemaah di Malaysia, paling ramai ahli antara semua jemaah-jemaah di Malaysia dan jemaah paling tua di Malaysia.

Semoga Allah membantu kita. Semoga Allah memberikan kita kebaikan. Semoga Allah memberikan saya ilmu yang lebih dalam. Tidaklah saya menganggap sahabat-sahabat saya di dalam IKRAM dan ISMA dengan anggapan yang bukan-bukan. Saya mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pendapat, namun, ia masih dalam perkara yang sepatutnya boleh dibincangkan secara baik dan berlapang dada.

8 ulasan:

  1. jzkk atas penulisan. Sangat terkena dgn situasi yg dialami. setuju dgn pendapat post ni.

    BalasPadam
  2. saya suka dengan cara penulisan saudara/saudari. cuma mungkin ada sedikit penerangan yg perlu ditambah berkait pendapat TGHH dan Ustaz Haron Din dalam isu kalimah Allah, untuk mengelakkan kekeliruan atau salah faham pembaca.

    BalasPadam
  3. jzkk atas penerangan..jelas dan boleh diterima.

    BalasPadam
  4. jzkk atas penerangan..jelas dan boleh diterima.

    BalasPadam