Rabu, 24 April 2013

Tazkirah 10 - Mengenali Tanda-tanda Su'ul Khatimah


MATI adalah berakhirnya segala usaha ikhtiar bagi manusia; dan mati sebagai penutup tirai bagi sesuatu kehidupan duniawi, tetapi mati juga menjadi penentu kepada kehidupan abadi selepasnya. Jika mati yang dilalui itu dengan husnul khatimah atau penyudah yang baik, maka insya Allah dia akan menjalani kehidupan berikutnya dengan aman dan bahagia serta menjadi ahli kebajikan. Sebaliknya jika berakhir dengan su-ul khatimah atau penyudah yang buruk, maka ia adalah pertanda buruk yang akan menimpa nasibnya di akhirat kelak. (A'uzu billahi min zalik).

Kehidupan yang dilalui oleh manusia ibarat susunan angka dalam Carta ilmu matematik, setiap susunan angka tidak memberikan kesimpulan, kecuali pada angka yana terakhir merupakan jawaban yang sebenar. Pada angka penyudah itulah akan diketahui sama ada jawaban itu betul atau salah.
Demikian juga dengan amalan manusia merupakan suatu perhitungan yang belum pasti apakah natijahny, Rasulullah s.a.w. menyatakan di dalam hadithnya, bahawa ada orang yang sentiasa melakukan amal seperti amalan ahli syurga tetapi apabila telah hampir kepada ajalnya, tiba-tiba dia telah melakukan perbuatan ahli neraka, lantas kesudahan hidupnya sebagai kesudahan yang malang iaitu su-ul khatimah.

Sebaliknya ada pula orang sepanjang hayatnya beramal seperti amalan ahli neraka, apabila telah hampir kepada Ajalnya, lalu dia berubah dan beramal sebagai amal ahli syurga, menyebabkan dia mati sebagai husnul khatimah. Berdasarkan kepada keterangan dari sabda Nabi s.a.w. itu menunjukan bahawa penyudah kepada kehidupan manusia itu akan menjadi penentu nasib kepada kesudahan hidup yang abadi iaitu di alam akhirat.

Sabda Nabi s.a.w. itu menjadi peringatan bahawa tidak boIeh seseorang itu terlalu optimis, sekalipun dia dalam amalan hariannya terbukti sebagai hamba Allah yang taat, mengerjakan segala suruhan Allah, dan meninggalkan apa jua yang dilarang oleh-Nya. Tetapi segala ketaatan itu beIum teruji, ibarat emas belum dikenal keasliannya sebelum dilebur dan dibakar dengan api.

Firman Allah SWT:
أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُم‌ۖ  

Yang bermaksud:
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana haInya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu...?"
(Surah al-Baqarah ayat 214).

Dan firman-Nya lagi:
أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَعۡلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ مِنكُمۡ وَيَعۡلَمَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Yang bermaksud:
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar. "
(Surah Ali Imran ayat 142)

Walau sebanyak mana sekalipun ketaatan dan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang, namun setelah Allah SWT datangkan berbagai ujian, barulah akan terbukti kedudukan seseorang itu di sisi Allah Taala sama ada dia seorang yang benar-benar beriman serta ikhlas dalam setiap amalannya.

Orang-orang yang terdahulu iaitu para rasul Allah telah didatangkan berbagai ujian, ada yang diuji dengan dibakar hidup-hidup oleh kaumnya yang menentang, ada yang digergaji kepalanya, dan kebanyakan para rasul Allah telah ditentang dan diperangi oleh umat mereka sendiri yang engkar, dilakukan berbagai kekejaman dengan pemulauan dan sekatan ekonomi sehingga kebuluran berbulan-bulan lamanya.

Keimanan dan ketaqwaan yang sebenar tidak akan tergugat dengan segala ujian kerana para rasul Allah merupakan orang-orang yang terpilih, segala cubaan dan ujian akan menyuburkan lagi keimanan terhadap Allah Taala sekiranya mereka sabar dan redha menghadapinya. Sebaliknya ujian akan menjelaskan lagi kekufuran seseorang jika mereka tidak sabar menghadapinya, sebab itu sebelum seseorang itu lulus ujian mereka tidak boleh berpuas hati dengan amalan yang telah dilakukan.

Justeru itu jika ujian Allah ditimpakan kepada orang awam, jika Allah SWT datangkan ujian kemiskinan atau kefakiran nescaya keimanannya akan goncang, kemungkinan hilang perhitungan apabila dihimpit oleh kehidupan yang mendesak. Andainya diuji dengan kesenangan, kekayaan dan kekuasaan, tidak mustahil mereka akan lupa daratn.

Bagi orang yang hidupnya sering melakukan keengkaran dan maksiat, kepada mereka bukanlah tempat untuk seseorang menuding jari, lalu menganggapnya bahawa dia sebagai ahli neraka. Kehidupannya belum berakhir, siapapun tidak tahu kesudahan nasib hidup seseorang, dan siapakah yang boleh menduga jika akhirnya dia bertaubat serta memperbaiki amalannya.

Bukankah Rasulullah s.a.w. telah menyatakan bahawa ada orang yang beramal sebagai ahli neraka, tetapi tiba-tiba Allah kehendaki dia menjadi orang yang insaf dan sedar di atas kelalaiannya, lantas dia bertaubat dan memperbaiki amalnya sebagai amal ahli syurga, akhirnya apabila ajal datang lalu mendapat rahmat dari Allah Taala dengan kesudahan hidupnya dengan husnul khatimah.

Justeru itu kehidupan ini bererti kesempatan, setiap kesempatan yang berlalu tidak mungkin dapat diraih kembali, segala kesempatan sewajarnya dihargai. Oleh kerana seseorang itu tidak tahu apakah kesudahan hidupnya, maka sayugia dia sentiasa mengamati diri, waspadalah andainya terdapat tanda-tanda tumbuhnya bibit-bibit su-ul khatimah dalam diri. Jika kiamat itu diketahui melalui tanda-tandanya, maka bagi orang yang sentiasa menghitung diri, mungkin akan merasai adanya tanda-tanda keburukan yang bakal menimpa diri.

Al-Qurtubi ketika mengulas persoalan tersebut di dalam kitabnya At-Tazkirah menyatakan, bahawa terdapat manusia yang melakukan kewajiban agama seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya hanya disebabkan oleh dorongan keadaan sekeling, melakukan solat disebabkan ahli masyarakat kesemuanya mendirikan solat, maka tidak elok jika dia tidak turut melakukannya, nanti menerima anggapan buruk dari orang ramai, oleh yang demikian solat itu dilakukan.

Demikian juga dengan puasa dan haji yang dilakukannya , sebagai suatu kelaziman bila datang bulan Ramadhan, sekalian orang Islam melakukannya, tak manis jika dia tidak turut sama. Ibadah haji pun begitu semua orang sekampung sudah menunaikannya, diapun ikut berbuat demikin disebabkan malu jika tidak turut menunaikannya. Walhasil diapun tahu bahawa hatinya tidak gembira dengan perintah agama itu. Jika demikianlah kedudukan ibadah itu, maka Al-Qurtubi menjelaskan bahawa berkemungkinan orang itu apabila dia menghadapi mati tidak dapat mengucapkan kalimah toyyibah.

Menurut Al-Qurtubi lagi, bahawa kalimah toyyibah yang diucapkan oleh seseorang ketika hampir mati itu sebenarnya adalah sesuatu yang datang dari hati, tetapi bagaimana hati dapat mendorong lidah untuk mengucap jika hatinya tidak pernah bersungguh-sungguh ketika melakukan kewajipan ibadah, tidak atas keyakinan dan kesedaran bahawa segala kewajiban itu adalah kerana keimanan terhadap rasul yang telah membawa ajaran dan syariat tersebut dari wahyu Allah.

Jika dia sebenarnya beriman dengan Allah dan rasul-Nya, sewajarnya dia menyedari bahawa di antara ibadah fardhu itu ada yang diterima sendiri tanpa melalui malaikat fibril, iaitu ketika Nabi s.a.w. dimikrajkan ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha, iaitu solat fardhu yang asalnya difardhukan sebanyak 50 waktu sehari semalam, yang akhirnya tinggal hanya lima waktu sahaja dengan rahmat Allah SWT. Semasa mikraj juga Nabi diperlihatkan syurga dan neraka, melihat dengan keadaan jaga nikmat kehidupan syurga dan azab api neraka.

Nabi yang maksum dan dijamin sebagai orang pertama yang berjaya menyeberangi titian dan sampai ke syurga, namun seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah bahawa Nabi s.a.w. sentiasa mengucapkan doa yang bermaksud: "Ya Allah Yang Maha Berkuasa membalik-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu."

Di dalam solat dia berdoa seperti itu, ketika berjalan atau ketika duduk-duduk, seringkali dia bermohon kepada Allah Taala agar ditetapkan hatinya ke atas agama Allah. Padahal walaupun baginda tidak berdoa demikian pasti hatinya sentiasa ditetapkan oleh Allah, kerana Nabi s.a.w. adalah Rasul-Nya dan kekasih-Nya, tiada yang dapat menghalang dari pertemuan dua kekasih itu.

Saidatina Aisyah bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Apakah yang menyebabkan engkau sering berdoa demikian wahai Nabi Allah? Adakah kerana sangat gerun kepada Allah?" Lalu Nabi pun menjawab: "Apakah yang dapat memberi jaminan kepada hati aku wahai Aisyah, sedangkan hati manusia itu sentiasa berada dalam genggaman Allah Taala yang sentiasa membalik-balikkannya. Sedangkan Allah bersifat Al-Jabbar iaitu gagah perkasa, maka siapakah yang boleh menahan-Nya dari membalik-balikan hati seseorang?"

Oleh:
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

1 ulasan:

  1. teringat satu buku ni.... dalam diceritakan,
    ada peminum arak yang mati... keadaan matinya, dia pegang botol arak.... bila orang tengok, orang cakap dia ni penghuni neraka.. tapi sebenarnya orang tak tahu bahawa ketika dia nak mati tu dia bertaubat...

    lagi satu tentang orang yg kuat beribadah.. lalu dia mati..orang cakap dia ni ahli syurga... tapi sebenarnya saat dia mati tu dia ingin melakukan perkara yang jahat..

    kesimpulannya..jika kita beribadah seribu tahun pun belum tentu masuk syurga...
    syurga tu rahmat dari Allah....

    AKAN TETAPi, ia bukan lah alasan untuk kita melanggar aturan Allah... maka terus fastabiqul khairat(berlumba2 ke arah kebaikan) sepanjang kita hidup..jgn la disebabkan takut riak kita tak buat langsung sesuatu kebaikan..

    takut riak itu juga sbenarnya sudah riak...

    semoga Allah sentiasa memasakkan hati kita pada jalan yg benar..
    "robbana la tuziq qulubana ba'daiz hadaitana wa hablana min ladunka rohmah innaka antal wahab.."

    p/s- tak ingat buku tu buku apa....

    BalasPadam