Rabu, 3 April 2013

Tazkirah 5 - Penyakit Rohani yang Menimbulkan Malapetaka


RAWATAN terhadap berbagai-bagai penyakit termasuk penyakit moden yang muncul di abad ini menjadi agenda utama dalam dunia perubatan, seluruh dunia berganding bahu mewujudkan institusi kesihatan di bawah kelolaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi memerangi penyakit berkenaan, terutama bagi mengatasi kemunculan penyakit AIDS yang belum ditemui ubatnya.

Sebaliknya dunia belum membuka mata untuk mewujudkan institusi rawatan bagi penyakit yang lebih dahsyat, iaitu penyakit rohani yang mencetuskan sifat-sifat mazmumah. Pesakit rohani mungkin jumlahnya lebih besar, jika dibanding dengan pesakit-pesakit yang sedang terlantar di wad-wad rumah sakit diseluruh dunia.

Derita yang ditanggung oleh para pesakit jasmani sekalipun mereka menghidap penyakit yang berbahaya, namun kemuncaknya sama ada sembuh atau kematian. Sedangkan risiko yang ditanggung oleh pesakit rohani adalah lebih dahsyat, kuman ataupun virus itu akan merosakkan keimanan dan ketaqwaan, memusnahkan keikhlasan beramal, kurang berminat melakukan kebajikan sebaliknya lazat melakukan kejahatan dan kemaksiatan, akibatnya ia akan menanggung derita azab yang berpanjangan di dalam neraka.

Nama-nama bagi penyakit rohani tidaklah sebanyak nama penyakit jasmani, namun ia lebih sukar diubati kerana tiada peralatan canggih sebagaimana peralatan untuk merawat penyakit jasmani yang mampu untuk mengesan penyakit rohani itu. Selain itu sukar pula untuk mendapatkan pakar yang mampu merawatnya.

Jika ada jenis penyakit jasmani yang boleh menular, seperti menularnya virus HIV dan lain-lain kuman merbahaya. Tetapi penyakit rohani bukan saja menular, malah boleh menghancurkan kerukunan rumah tangga, mengkocak kedamaian masyarakat serta menghuru-harakan negara jika ia dihidapi oleh  ketua keluarga, pemimpin masyarakat dan terutamanya para pemimpin negara. Pemimpin negara yang jiwanya dihinggapi penyakit 'keras hati" dia tidak akan menerima nasihat agama, sekalipun pemimpin negara itu seorang muslim, namun dia tetap memandang serong terhadap undang-undang Islam. Bukan sekadar dia tidak yakin dengan hukum dan peraturan Islam, malah menganggap undang-undang Allah sebagai punca kemunduran.

Jika seorang pemimpin rohaninya dijangkiti virus `tamak', maka dia tidak akan menganggap kuasa yang ada di tangannya sebagi suatu amanah yang besar dari Allah, sebaliknya dia akan menjadikan kekuasaan sebagai alat untuk mengaut kekayaan negara, menyelewengkan harta rakyat untuk kepentingan peribadi dan kaum kerabat mereka.

Demikian juga apabila pemimpin negara itu rohaninya mengidap kanser 'hasad dan dengki', dia tidak sekadar berusaha untuk mengekalkan kedudukannya dengan apa cara sekalipun, termasuk meminda undang-undang yang menguntungkan kedudukannya sebagai orang terpenting di dalam kumpulan mereka. Malah mereka berusaha menjatuhkan orang lain dengan cara yang terkutuk, sekiranya orang itu dianggap menggugat kedudukannya. Diri mereka bukan berperanan sebagai khalifah Allah di bumi, tetapi sebagai khalifah iblis di dunia.

Jika penyakit jasmani mempunyai tanda yang boleh dikesan, demikian juga penyakit rohani itu mempunyai tanda dan semboyannya. Jika penyakit jasmani ada di antaranya yang dianggap paling merbahaya, sebaliknya penyakit rohani pun demikian juga.

Penyakit rohani yang dianggap berbahaya ialah penyakit `keras hati". Di antara tanda-tanda penyakit keras hati itu ialah apabila tidak merasa gerun dan bersalah apabila melakukan maksiat dan tidak merasa mujur bila melakukan taat, tidak merasa gerun dengan neraka dan tidak teringin terhadap syurga, tidak merasa benci berkawan dengan syaitan atau iblis dan sebaliknya tidak berselera mendekati malaikat.

Andainya seseorang itu sedar bahawa hatinya sudah berpenyakit, maka lebih mudah dia mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakitnya itu. Tetapi jika dia tidak menyedari atau sengaja tidak mahu sedar sekalipun penyakit itu telah menunjukkan tanda seboyannya, maka apabila dia mati adalah sebagai matinya seorang yang membawa penyakit. Penyakit rohani tidak tamat dengan matinya seseorang, tetapi kelak akan lebih parah dan dirasai deritanya apabila berada di alam barzakh dan seterusnya apabila dia dibangkitkan oleh Allah SWT dengan keadaan hatinya yang berpenyakit.

Akan musnah semua cagaran di dunia ini untuk melepas halangan akhirat, sekiranya mati dengan membawa penyakit hati. Sesungguhnya tidak berguna semua harta kekayaan dan juga anak-anak sekiranya dia menghadap Allah Taala dengan hati yang berpenyakit, sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah Taala
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ (٨٨إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬
yang bermaksud:
'(Iaitu) di hari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang salim (hati yang sejahtera). "
(Surah Asy-Syu'ara ayat 88-89).

Justeru itu orang yang hatinya berpenyakit hendaklah berusaha mengubati penyakitnya, agar mereka menghadap Allah SWT dengan hati yang bersih dan tidak berpenyakit. Kerana segala sifat mahmudah iaitu sifat yang terpuji hanya akan tersimpan di dalam hati yang sejahtera (salim).

Ada beberapa cara bagi mengubati penyakit keras hati, pertamanya ialah dengan mengingati mati, kerana mengingati mati itu merupakan penawar yang paling berkesan, dan mampu melembutkan hati yang keras, dan seterusnya menghilangkan sifat-sifat mazmumah yang menjatuhkan martabat manusia sehingga ke taraf haiwan.

Cara yang kedua ialah berusaha mendekati majlis ilmu, iaitu majlis ilmu yang dipenuhi tazkirah dan nasihat, serta menghurai dan membahas perkara-perkara yang mendekatkan diri manusia kepada Allah Taala. Majlis ilmu yang mengingatkan manusia kepada kehidupan alam akhirat, sehingga dia lebih banyak menumpukan pemikiran serta tindakan yang menjurus kepada usaha untuk mencari keredhaan Allah SWT, supaya dia selamat di hari akhirat. Majlis ilmu seperti itu merupakan pusat rawatan yang mempunyai kemudahan pakar untuk merawat penyakit hati.

Yang ketiga ialah mendampingi ulama akhirat, ini suatu yang penting kerana Rasulullah s.a.w. telah menyatakan bahawa para ulama itu adalah pewaris nabi-nabi, mewarisi ilmu nabi dan juga akhlak serta perjuangan nabi-nabi.

Ulama menjalankan tugas para nabi iaitu mengajak manusia ke arah mencari keredhaan Allah SWT, memimpin manusia ke jalan yang lurus agar tidak tersesat kejalan yang menyimpang dari garisan aqidah. Apabila mendampingi ulama ibarat seorang pesakit yang mendampingi doktor, natijah darinya tidak lain ialah untuk mendapatkan rawatan yang sempurna.

Yang keempat ialah ziarah atau takziah kematian, ini suatu yang penting bagi mengambil iktibar. Apabila melihat jenazah yang terbujur, menunjukkan berakhirnya babak kedua kehidupan yang menamatkan segala usaha ikhtiar. Terbaring sepi untuk menempuh suatu perjalanan abadi, di samping bakal menerima natijah dan akibat dari amal yang telah dilakukan, sama ada dia akan menerima suratan dengan tangan kanan sebagai ahlul yamin, atau menerima suratan dengan tangan kiri sebagai ahlusy-syimal.

Mengambil iktibar dari mayat yang dingin kaku, bahawa dia sudah diundang untuk menghadap Allah SWT, dan kita pun akan menyusul mengikuti jejaknya, lambat atau cepat semuanya dalam ilmu Allah SWT, namun mati suatu yang pasti dan tidak akan berganjak lewat walau sesat, dan tidak terdahulu walau sedetik.

Apa yang wajar difikirkan ialah persiapan untuk menghadapi saat-saat terbujur selepas menghembuskan nafas terakhir, apa yang telah dilakukan sepanjang umur yang telah berlalu. Mungkinkah kita seorang yang taat kepada suruhan Allah, yang telah melakukan segala kewajiban dan suruhan agama sekuat daya? Jikapun demikian, berpuas hatikah sekadar dengan amal yang telah dilakukan, atau masihkah kita berusaha untuk meningkatkan keikhlasan sehingga segala yang dilakukan semata-mata kerana Allah?
Jika kita seorang yang cuai terhadap kewajiban beragama, apakah yang ditunggu untuk merubah pendirian, padahal apabila jasad telah terbaring tak bernafas, maka segalanya sudah terlepas. Tidakkah kematian yang seaang disaksikan itu tidak menyentuh hati kecil kita untuk mengambil pengajaran darinya?

Firman Allah Taala:
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ

Yang bermaksud:
"(Allah) yang menciptakan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapakah dia antara kamu yang lebib baik amalannya. "
(Sarah al-Mulk ayat 2).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan