Jumaat, 5 April 2013

Tazkirah 6 - Kubur: Permulaan Taman Syurga dan Kawah Neraka


HATI yang keras umpama karat yang melekat pada besi, jika karat itu nipis memadailah hanya digosok dengan kertas pasir untuk menanggalkannya. Sebagaimana dijelaskan dalam tulisan yang terdahulu, bahawa dengan menghadiri majlis ilmu, mendekati ulama dan juga menziarahi orang sakit atau orang mati, ia akan melembutkan hati. Kerana mendekati majlis ilmu bererti seseorang itu berusaha mengikis kejahilan, sementara mendampingi ulama pula bererti berusaha mendapatkan kunci ilmu, dan ziarah orang sakit atau orang mati itu akan mendatangkan kesan kesedaran di dalam jiwa.

Jika dengan tiga cara itu itu tidak juga mendatangkan sebarang kesan, ini bererti karat yang melekat di dalam hati itu sudah terlalu menebal. Karat yang sudah terlalu tebal tidak mungkin dapat dikikis hanya dengan menggosok sahaja, mungkin perlu diketuk dengan kuat ataupun terpaksa dibakar dengan kepanasan api yang tinggi. Hanya dengan cara demikian segala karat yang tebal itu akan dapat ditanggalkan.

Cara yang dianggap lebih berkesan untuk menanggalkan karat di hati ialah dengan ziarah kubur, ia dilakukan bagi memberi peluang untuk berfikir secara serius, bahawa di sebalik alam kubur itu terdapat banyak peristiwa suka duka yang bakal ditempuh oleh setiap insan. Hanya ada dua kemungkinan di alam barzah itu, sama ada ia menjadi tempat istirehat atau tempat bermulanya siksaan sebelum siksaan sebenar di dalam neraka kelak.

Jika mampu, lakukan ziarah kubur itu pada malam hari, kerana suasana malam yang kelam dan hening akan menerbitkan berbagai perasaan takut, ngeri dan insaf. Andainya berkunjung di waktu siang, sebaiknya lakukan seorang diri supaya dapat memberi tumpuan dan merenung terhadap persoalan alam kubur yang sering dilupakan oleh manusia.

Apabila melihat batu nisan yang tercacak di atas persada, renunglah betapa tubuh manusia yang bersemadi di dalam tanah, terbujur tanpa teman, walaupun semasa hayatnya dia dikelilingi isteri dan anak-anak serta jiran tetangga dan sahabat handai. Biar setinggi mana penghargaan dan kasih sayang mereka, namun paling akrab mereka mendampingi sekadar menghantar ke tanah perkuburan. Sebaik saja mayat diturunkan ke dalam liang, tanah mulai menimbus jasad yang sudah tidak bernyawa itu, akhirnya semua yang meratapi kepergiannya akan melangkah pulang dan tinggallah dia seorang diri di dalam kubur itu.

Rumah besar yang ditinggalkannya, di sana para waris berhimpun sedang berbincang untuk membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan, kekayaan miliknya yang dihimpun sejak sekian lama, kini ia telah berpindah tangan.

Dia yang sedang terbujur di dalam kubur, adakah mendapat manfaat dari harta yang ditinggalkannya? Jika dia pernah membelanjakan hartanya untuk kebajikan, membantu usaha memperjuangkan agama Islam, bersedekah jariah umpamanya berwakaf untuk pembinaan masjid dan pusat-pusat pengajian, membantu jiran tetangga yang memerlukan serta fakir miskin dan seumpamanya, mudah-mudahan semua itu merupakan simpanan tetap di dalam bank akhirat, yang Insya Allah keuntungan dari simpanan tetap itu (jika ikhlas) akan mula di terima sejak saat pertama dia menjadi penghuni alam barzah itu.
Namun bagaimana pula nasibnya jika harta itu diperolehi dengan cara yang batal, seperti menipu, rasuah, riba dan seumpamanya. Ataupun dia hanyalah seorang penghimpun harta, yang semakin asyik dengan jumlah harta yang kian bertambah. Dalam keseronokan menghimpun harta, tanpa menggunakan kekayaan yang dianugerahi oleh Allah Taala untuk tujuan akhirat, sehingga ajal pun datang dengan tiba-tiba. Maka kubur tempat dia berada itu sama ada menjadi tempat istirehat atau tempat menerima azab, hanya Allah Taala Yang Maha Tahu.

Penghuni kubur hanya bergantung kepada ganjaran pahala dari amalaan yang ikhlas, tetapi juga berharap rahmat dari Allah Taala, kerana segala usaha ikhtiar sudah berakhir, yang ada hanyalah tiga perkara. Jika mereka memiliki tiga perkara itu, atau sebahagian darinya, maka dapatlah dia menaruh harapan. Pertama ialah sedekah jariah, kedua ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan ibu bapanya.

Persoalan harta telah disentuh di atas, selain itu jika dia memiliki ilmu yang memberi manfaat, terutama ilmu yang mendekatkan manusia dengan Allah Taala dan telah mengajarnya kepada orang lain, ganjarannya akan terus diterima selama ilmu itu diamalkan. Dan yang akhirnya ialah jika dia mempunyai anak-anak yang soleh, antara sifat anak yang soleh itu sentiasa mendoakan orang tuanya, maka doa dari anak yang soleh itu akan menjadi saham yang akan mendatangkan faedah untuk dirinya ketika dia berada di alam kubur.

Persoalan yang timbul ialah apabila anak-anak tidak soleh, sebaliknya berakhlak buruk dan sentiasa dilanda krisis moral, tercebur dalam kegiatan mungkar serta abai terhadap suruhan agama. Pulang dari menghantar jenazah ibu atau bapanya ke kubur, sudah gaduh sesama sendiri soal harta pusaka.
Setelah menerima harta pusaka yang banyak, masing-masing berpoya-poya dengan orang yang diperolehi secara mudah. Dengan suasana begitu, apakah yang akan diperolehi oleh ibu bapa yang sudah bersemadi di dalam kubur. Sungguh malang bagi ibu bapa yang memiliki anak-anak yang tidak bermoral itu, bukan saja putus segala amalan dan usaha ikhtiar seorang anak Adam, tetapi telah terputus segala harapan apabila tidak memiliki tiga perkara itu.

Kita tidak tahu bagaimana nasib para penghuni kubur yang sedang diziarahi itu, kerana ia kelihatan tenang damai. Tidak siapa yang tahu kedudukan nasib para penghuni kubur itu, sekalipun sanak saudara datang menziarahi kubur mereka, terutama pada hari-hari tertentu seperti dipagi hari-raya.
Walaupun mereka datang dengan manabur bunga-bungaan dan menyiram air mawar, namun semua itu tidak dapat menolong orang yang sedang terbujur di dalam perut bumi. Harum bunga-bungaan tidak akan dihidu oleh si mati, dan air yang disiram di atas pusara tidak akan menghilangkan dahaga atau mendinginkan penghuni kubur itu.

Yang dapat menolong mereka ialah makhluk yang dihantar oleh Allah SWT ke dalam kubur itu, mereka ialah para malaikat. Tetapi para malaikat itu hanya akan patuh kepada perintah Allah SWT semasa-mata, jika Allah Taala menghendaki agar dicucuri rahmat-Nya, maka malaikat itupun menghantarkan rahmat tersebut kepada penghuni kubur itu. Sebaliknya jika malaikat itu diperintahkan agar menimpakan azab kepada si mati, maka sudah pasti azablah yang diterima.

Allah SWT akan membalas setimpal dengan amalan yang telah mereka lakukan, "Jaza-an bima kanu ya'malun". Jika amalan yang dilakukan berupa kebajikan, maka balasannya ialah kebaikan, rahmat dan pengampunan, sebaliknya jika maksiat dan perbuatan keji yang menjadi amalan, maka balasannya setimpal dengan kejahatan yang dilakukan iaitu azab yang amat pedih.

Rasulullah s.a.w. memberitahu, sesungguhnya kubur adalah permulaan kepada taman syurga atau kawah azab neraka. Bagi orang yang mendapat rahmat dan pengampunan Allah, iaitu mereka yang sentiasa ingat akan Allah semasa hidupnya, dengan melakukan ketaatan, maka kubur baginya adalah lorong sebuah taman yang dipenuhi kenikmatan dan kerehatan. Tetapi bagi mereka yang melupakan Allah Taala semasa hidupnya, hingga dipenuhi kelalaian dan kemaksiatan, maka kubur baginya adalah permulaan lokap azab sebelum azab sebenar di dalam neraka.

Justeru itu ziarah kubur mempunyai tujuan-tujuan tertentu, pertamanya ialah untuk mencari keredhaan Allah, Islam telah menetapkan bahawa ziarah kubur itu adalah di antara perkara yang disunatkan. Kedua ialah untuk memperbaiki hati kerana ziarah kubur itu bererti mengingati mati, bagi orang yang sentiasa mengingati mati semestinya dia akan berusaha melakukan taat dan menjauhi maksiat. Dan ketiga ialah untuk mendatangkan manfaat kepada ahli kubur melalui bacaan al-Quran dan doa-doa yang ditujukan kepada mereka.

Walau bagaimanapun ziarah kubur mesti dengan beradab, antaranya ialah berpakaian serba putih seolah-olah kain kapan, jangan berjalan atau duduk rehat di dada kubur, kerana kubur bukan tempat rehat. Beri salam dengan ucapan "salamun 'alaika", jika tidak menjadi kepayahan eloklah tanggalkan kasut. Selain itu sekiranya membaca al-Quran atau doa, hendaklah duduk bertenggong dengan menghadap ke arah matahari terbit, dengan itu seolah-olah sedang berdepan wajah dengan penghuni kubur itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan