Selasa, 9 April 2013

Tazkirah 7 - Beberapa Petanda Ketika Menghadapi Ajal


TIDAK siapa dikalangan manusia yang masih hidup mengetahui keadaan sebenar orang yang menghadapi kematian, kerana kematian itu hanya dirasai oleh orang yang mati sahaja. Orang yang dalam keadaan nazak tidak terdaya untuk menceritakan perihal kematian, apabila seseorang itu sudah mendekati ajalnya maka matilah dia. Setakat manakah sakit yang dirasai ketika nyawa ditarik keluar dari jasad oleh malaikat maut, hanya Allah Taala yang Mengetahui.

Walau bagaimanapun Nabi s.a.w. telah menceritakan melalui hadith-hadithnya, tentang hakikat sebenar kematian. Hanya Nabi s.a.w. sahajalah yang dapat menceritakan keadaan sebenar apa yang dirasai oleh orang yang sedang menghadapi kematian, kerana Baginda diberitahu melalui wahyu Allah SWT mengenainya. Nabi s.a.w. memberitahu tentang kesakitan yang dialami ketika dicabut nyawa itu seperti ditetak saratus kali dengan pedang yang tajam, atau seperti dikoyak kulit dari daging ketika hidup-hidup. demikian bandingan kesakitan mati.

Kematian bukan sekadar garis pemisah antara kehidupan di dunia dan alam barzah, tetapi juga sebagai garis penentu sama ada kehidupan mereka diakhiri dengan kebaikan (husnul khatimah) atau sebaliknya (su-ul khatimah). Jika dia mendapat rahmat Allah Taala, maka akan menjadi ahli kebajikan yang akan menerima kelapangan di dalam kubur, sehingga kubur menjadi tempat rehat yang nyaman. Tetapi jika dia berada dalam su-ul khatimah, maka akan menerima nasib malang di dalam kubur yang dipenuhi azab yang pedih.

Ada tanda-tanda bagi orang yang akan menjadi ahli kebajikan atau sebaliknya, sebagaimana yang diceritakan oleh seorang sahabat bernama Salman Al-Parisi, bahawa aku dengar Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu terdapat tiga perkara, pertama sekiranya berpeluh pada pelipis pipinya, kedua sekiranya air mata nampak berlenang, dan ketiganya sekiranya lubang hidung kelihatan kembang kempis, itu adalah tanda bahawa rahmat Allah sedang turun dan dirasai oleh orang yang hampir mati itu."

"Sebaliknya jika orang mengeruh seperti orang tercekik, serta kelihatan air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya keluar buih, ini menandakan azab Allah sedang menimpa dia." Hadith tersebut dikeluarkan oleh Abdullah, Al-Hakim dan At-Tirmidzi.

Terdapat di kalangan orang mukmin yang telah menghampiri ajalnya, masih lagi terdapat baki-baki dosa yang belum sempat dia bertaubat kepada Allah SWT. Bagaimanapun apabila Allah Taala hendak menjadikan orang itu sebagai ahli kebajikan, maka ketika hampir ajalnya Allah SWT ampunkan segala baki dosa itu.

Oleh kerana kematian itu akan berlaku kepada jasad manusia secara beransur, bermula dari hujung kaki dan beransur ke paha, maka apabila Allah SWT turunkan rahmat kepadanya, ketika itu dia terlalu gembira kalau boleh dia hendak melonjak kegembiraan. Tetapi tidak terdaya kerana sebahagian jasadnya sudah mati, justeru itu kerana terlalu gembira maka berpeluh pada pelipis serta berlenang air matanya kerana terlalu gembira bercampur malu kerana dia masih mempunyai baki dosa yang belum sempat bertaubat, tetapi Allah telah mengampunkannya.

Bagi orang mukmin apabila berhadapan dengan Allah Taala dengan baki dosa yang belum sempat dia bertaubat, maka sifat malu itu timbul. Jika ketika hendak mati pun dia masih ada perasaan malu, maka sudah tentu dia lebih pemalu lagi ketika dia masih hidup dahulu untuk melakukan sesuatu dosa terhadap Allah Taala.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan di dalam hadithnya bahawa malu itu adalah sebahagian dari kesempumaan iman, tetapi oleh kerana manusia itu mempunyai sifat lalai dan leka, oleh itu mereka ada jugs dosa-dosa yang tidak disengaja. Sebab itulah ketika hampir mati dia berpeluh dan kembang kempis hidung kerana malu kepada Allah Taala.

Orang-orang yang bertaraf Siddiqin dan solihin adalah orang-orang yang sangat tebal sifat malunya terhadap Allah Taala, dia amat malu melakukan walau sekecil-kecil dosa. Sebab itu janganlah menganggap bahawa rahmat Allah Taala itu hanya apabila seseorang itu diberi rezeki yang banyak harta yang melimpah ruah, kerana jika itu yang menjadi ukuran rahmat maka tiada bezanya dengan orang-orang kafir yang diberi oleh Allah SWT rezeki, yang kadangkala lebih banyak diterimanya berbanding dengan orang yang beriman.

Sebaliknya rahmat yang paling besar dikurniakan Allah Taala ialah apabila dia dikumiakan sifat malu, sehingga dia merasa malu melakukan dosa sama ada di tempat terang atau tempat tersembunyi, kerana dia yakin bahawa Allah Taala sentiasa memerhatikan perbuatannya. Kerana sifat malu inilah akhirnya Allah Taala kurniakan rahmat pengampunan terhadap baki dosa yang belum sempat dia bertaubat. Sesungguhnya orang yang tinggi keimanan dan budi luhurnya akan sentiasa malu terhadap Allah SWT.

Berlainan dengan orang kafir yang tidak tahu dosa pahala, tidak kenal syurga neraka. Apabila ajal tiba dia tidak akan malu kepada Allah Taala, kerana semasa hidupnya dia tidak tahu malu. Justeru itu apabila malaikat maut datang mengambil nyawanya, ketika itu gelap dan keruh wajahnya serta mengeruh seperti binatang disembelih. Itu tandanya permulaan azab yang diterima sebagai balasan dari dosa kekufuran.

Seorang sahabat Nabi s.a.w. bernama 'Alqamah bin Abdullah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersada yang bermaksud: "Bahawa roh orang mukmin itu akan ditarik oleh Izrael dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan, sementara roh orang kafir itu direntap oleh malaikat maut dengan kasar bagaikan mencabut nyawa seekor khimar. Ada juga orang mukmin yang melakukan dosa, lalu Allah Taala timpakan kekasaran dan bala petaka sebelum daripada ajalnya, ini kerana Allah Taala hendak mengkafarah segala dosanya, supaya apabila rohnya keluar dari jasad maka segala dosanya telah dihapuskan.

Ada juga orang kafir yang telah melakukan kebajikan, (menderma dan membantu kepada golongan yang memerlukan, memberi khidmat kepada masyarakat dalam perkara yang diperlukan oleh orang ramai). Adakalanya apabila dia menghadapi ajalnya lalu Allah Taala permudahkan rohnya keluar dari jasad, dia mati dalam keadaan tenang. Yang demikian itu sebagai balasan dari kebajikan yang dilakukan, tetapi dia akan menerima balasannya dosa dan kekufurannya hanya di akhirat kelak iaitu di azab dalam api neraka."

Justeru itu apabila seseorang melihat orang mukmin menghadapi kematian dengan kesukaran yang amat sangat, maka janganlah menaruh sangka buruk terhadapnya, kerana keadaan itu mungkin sebagai suatu kekasaran Allah Taala terhadapnya sebagai mengkafarah segala dosanya, supaya ,apabila dia mati berada dalam keadaan mendapat keampunan Allah SWT kerana dosanya sudah dikafarah.

Tetapi sekalipun orang kafir menghadapi kematian dengan tenang, maka ketenangan itu hanyalah balasan Allah SWT terhadap kebajikan yang pernah dilakukannya. Kerana Allah SWT telah menjanjikan bahawa setiap kebajikan akan dibalas setimpal dengan perbuatannya, oleh yang demikian Allah Taala balas dengan memudahkan rohnya keluar dari jasad. Sayangnya kebajikan itu tidak menjadi pahala kerana dia tidak beriman, oleh itu Allah Taala akan membalas dosa yang dilakukannya itu setimpal dengan kejahatannya di akhirat kelak, iaitu dengan balasan azab sesuai dengan kekufurannya.

Oleh yang demikian janganlah tersalah anggap dan buruk sangka apabila melihat orang menghadapi mati dengan kesukaran, boleh jadi dia akan menghadapi keadaan yang senang di akhirat. orang yang menghadapi kematian dengan mudah, boleh jadi dia akan berhadapan dengan hari akhirat yang penuh dengan penderitaan. Segala tanda-tanda kematian yang diperlihatkan oleh Allah SWT itu, hanyalah untuk menjadi iktibar dan peringatan kepada mereka yang masih hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan