Sabtu, 13 April 2013

Tazkirah 8 - Setiap Insan dilanda Gelombang Sakaratul Maut


MATI bukanlah sekadar perpisahan roh dari jasad, tetapi orang yang menghadapi maut juga menghadapi keadaan sakaratul maut. Perkataan 'sakarah' itu ertinya ialah mabuk, ini bererti bahawa sebelum nyawa keluar dari jasad, ia akan didahului dengan suatu keadaan seperti orang yang mabuk. Suatu keadaan yang sukar hendak dibayangkan, bagaimanakah sebenar sakarah atau mabuk menghadapi maut itu. Tiada sesiapa yang dapat menceritakan pengalamannya menghadapi sakaratul maut, kerana sakaratul maut itu sendiri bererti saat manusia diambang ajal.

Bayangkan keadaan seorang yang mabuk semasa menaiki kenderaan, sama ada kenderaan di jalan raya, atau kapal laut dan pesawat udara. Kepala terasa amat pening, diikuti tekak meloya sehingga isi perut melonjak-lonjak ke pangkal tekak, iaitu suatu keadaan yang amat tidak menyenangkan. Cecair masam berbaur dengan bau hanyir mengalir dari tekak kemudiannya disusuli tumpahan membuak-buak campuran air dan makanan basi keluar dari mulut. Orang yang menyaksikan turut merasa loya tekak dan kemungkinan muntah bersama.

Sekadar mabuk pelayaran itupun sudah cukup menyiksakan, hingga lenyap segala keselesaan. Tidak terdaya hendak bertutur sekalipun ada perkara penting hendak diucapkan, hilang selera makan meskipun sedang dalam kelaparan. Berbaring tidak selesa dan dudukpun tidak upaya, walhal bagi orang yang sering mabuk pelayaran akan merasa takut untuk menaiki kenderaan, padahal bagi kebanyakan orang memang suka berjalan jauh mengembara menuju sebarang destinasi.

Namun mabuk dalam pelayaran bukan bandingan yang sesuai untuk menyatakan tentang hakikat sakaratul maut, ia adalah suatu pengalaman yang bakal dilalui oleh setiap makhluk yang bernafas terutamanya manusia. Meskipun sakarah itu ertinya ialah mabuk, tetapi itu hanya pada bahasa sahaja, pada hakikatnya hanya Allah Taala dan rasul-Nya yang mengetahui.

Justeru itu `sakaratul maut' adalah diibaratkan suatu gelombang mabuk menghadapi kematian yang tidak siapa mengetahui hakikat sebenarnya. Orang yang sedang menghadapi sakaratul maut tidak dapat hendak menceritakan pengalamannya, kerana dia sedang dilambung gelombang maut. Maka segala pengetahuan mengenainya hanyalah dari apa yang dikhabarkan oleh sabda Nabi s.a.w. dan juga firman Allah SWT. Sesungguhnya Dia yang menjadikan kehidupan dan juga menciptakan kematian, maka Tuhanlah yang Maha Tahu apakah sebenarnya sakaratul maut itu.

Firman Allah:
جَآءَتۡ سَكۡرَةُ ٱلۡمَوۡتِ بِٱلۡحَقِّ‌ۖ ذَٲلِكَ مَا كُنتَ مِنۡهُ تَحِيدُ
Yang bermaksud:
"Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya."
(Surah Qaf ayat 19).

Gelombang atau mabuk menghadapi maut adalah antara perkara yang hak yang pasti dirasai oleh setiap yang bernyawa, meskipun orang yang engkar cuba lari daripadanya dan melupakan detik-detik sakarah, namun ia pasti menjelang dan tidak mungkin dapat dielakkan.

Dan firman-Nya lagi:
وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوۡ قَالَ أُوحِىَ إِلَىَّ وَلَمۡ يُوحَ إِلَيۡهِ شَىۡءٌ۬ وَمَن قَالَ سَأُنزِلُ مِثۡلَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ‌ۗ وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلظَّـٰلِمُونَ فِى غَمَرَٲتِ ٱلۡمَوۡتِ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ بَاسِطُوٓاْ أَيۡدِيهِمۡ أَخۡرِجُوٓاْ أَنفُسَڪُمُ‌ۖ ٱلۡيَوۡمَ تُجۡزَوۡنَ عَذَابَ ٱلۡهُونِ بِمَا كُنتُمۡ تَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ وَكُنتُمۡ عَنۡ ءَايَـٰتِهِۦ تَسۡتَكۡبِرُونَ

Yang bermaksud:
"Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim (berada) dalam tekanan-tekanan sakaratul maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya, (sambil berkata): Keluarkanlah nyawamu. Di hari ini kamu dibalas dengan siksaan yang sangat menghinakan, kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya. "
(Surah al-An'am ayat 93).

Surah al-An'am ayat 93 itu menyatakan dengan sejelas-jelasnya keadaan sakaratul maut yang dihadapi oleh orang-orang yang zalim, mereka menerima keadaan sakarah dengan begitu dahsyat. Disebabkan para malaikat bukan sekadar mencabut nyawanya tanpa belas kasihan, tetapi juga para malaikat tersebut memukul dengan tangannya yang perkasa, yang besarnya tidak dapat dibayangkan kerana jisim para malaikt itu ketinggiannya hingga mencecah ke langit.

Kematian orang yang zalim itu di dahului oleh sakaratul maut yang tidak tertanggung oleh jasad dan roh manusia, lantaran itu terbit dari rengkung mereka suara mengeruh, melambangkan kesakitan yang tidak terperi. Wajah mereka menjadi hitam akibat azab yang ditimpakan oleh para malaikat.

Fiman Allah:

وَوُجُوهٌ۬ يَوۡمَٮِٕذِۭ بَاسِرَةٌ۬ ((24)تَظُنُّ أَن يُفۡعَلَ بِہَا فَاقِرَةٌ۬ ((25)كَلَّآ إِذَا بَلَغَتِ ٱلتَّرَاقِىَ ((26)) وَقِيلَ مَنۡۜ رَاقٍ۬ ((27)وَظَنَّ أَنَّهُ ٱلۡفِرَاقُ((28))

Yang bermaksud:
"Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram, mereka yakin babawa akan ditimpakan malapetaka yang amat dahsyat. Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkong, dan dikatakan (kepadanya): Siapakah yang dapat menyembuhkannya? Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan dengan dunia. "
(Surah al-Qiyamah ayat 24 hingga 28).

Wajah orang-orang kafir itu menjadi muram pada saat dia menghadapi kematian, ketika itu mereka sudah meyakini bahawa dirinya akan ditimpa malapetaka yang amat dahsyat, iaitu menghadapi sakaratul maut serta pukulan-pukulan dari tangan para malaikat yang datang mencabut nyawanya itu.
Lantaran itu Allah SWT telah memberi amaran, sekiranya manusia dapat melihat hakikat sebenar tekanan sakaratul maut yang ditimpakan terhadap orang-orang yang zalim itu, maka alangkah dahsyatnya kesengsaraan gelombang maut. Tetapi mata lahir manusia tidak mampu melihat rahsia dan hakikat sakaratul maut, kecuali apabila ia melihat dengan mata hati melalui jendela keimanan serta keyakinan yang berteraskan ilmu berhubung alam ghaib itu, khususnya mengenai sakaratul maut.
Saidatina 'Aisyah r.a meriwayatkan saat Nabi s.a.w. hampir kepada wafatnya, maka kata Saidatina 'Aisyah: Bahawa aku telah mengambil satu bejana berisi air dan aku letakkan di sisi Rasulullah, aku menyapukan air dari bejana itu ke wajah Rasulullah. Pada ketika itu Nabi s.a.w. turut meletakkan tangannya ke dalam bejana berisi air dan menyapu sendiri wajahnya dengan tangan yang dibasahi air dari bejana itu. Maka Nabi pun bersabda: "La Ilaha IllaLlah, sesungguhnya bagi suatu kematian itu ada sakarahnya (mabuknya)."

Kemudian, kata Saidatina 'Aisyah, aku turut membantu mengangkatkan tangan Nabi s.a.w. yang dibasahi air itu menyapukan ke arah wajahnya yang mulia, lalu Nabi s.a.w. bersabda lagi "Fi Rafiqil A'la (bersama rakan karib yang Maha Tinggi).

Kemudian Saidatina 'Aisyah berkata: Setelah aku melihat saat menjelang wafat Nabi s.a.w. yang menghadapi sakarah, maka sekiranya ada orang yang menghadapi kematiannya dengan mudah maka aku tidak mengulas panjang, sedang Nabi sendiri menghadapi keadaan sakarah sehingga turut menyapu air ke wajahnya sendiri." Hadis riwayat Al-Bukhari.

Hadis dari Sahih Bukhari ini menjelaskan bahawa Nabi saw yang menjadi kekasih Allah Taala, yang mensifatkan kematian yang sedang dihadapinya itu sebagai suatu pertemuan dengan kekasihnya yang Maha Agung (Allah SWT), namun Baginda tetap berhadapan dengan sakaratul maut, gelombang mabuk menghadapi maut. Oleh kerana itu Nabi s.a.w. membasahkan tangannya dan menyapukannya kepada wajahnya, seolah-olah Nabi s.a.w. ingin mendapatkan keselesaan sedikit dari keadaan tekanan gelombang kematian atau mabuk menghadapi maut.

Sekiranya ada orang yang menghadapi saat sakaratul maut dengan tenang dan mudah mungkin Allah Taala hendak membalas amal kebajikan yang dilakukan olehnya. Namun ketenangan yang dihadapi bukan bererti dia tidak menghadapi sakaratul maut, kerana Nabi s.a.w. yang menjadi kekasih Allah SWT juga tidak terkecuali dari menerima keadaan sakarah atau mabuk menghadapi mati, dengan demikian sudah pasti orang yang dilihat mati dalam keadaan tenang itu juga merasai sakarah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan