Isnin, 15 April 2013

Tazkirah 9 - Setiap Sendi Mengucapkan Selamat Tinggal


TIADA nasihat atau pengajaran yang paling berkesan bagi mengubati penyakit hati, selain dari berfikir dan merenung soal kematian, ia pasti menimbulkan kesan ke dalam hati manusia. Justeru itu sekiranya berlaku suatu kematian di kalangan kaum keluarga atau sahabat terdekat, nescaya suasana muram akan menyelubungi keluarga itu, semua turut bersedih sekalipun di kalangan mereka terdapat orang-orang yang keras hati.

Ini adalah bukti bahawa suatu kematian itu boleh merubah suasana hati, dari keadaan biasa kepada situasi sedih pilu dan sebagainya. Kepada orang yang cepat mengambil iktibar dari peristiwa kematian, serta mengingatinya dan menyimpannya di dalam hati dan fikiran, ia akan membibitkan kesedaran yang berpanjangan. Tetapi kepada golongan yang lalai, kesan sedih dan pilu itu hanya sejenak, kemudian ia lenyap. Ini bukan bererti kematian itu tidak mengetuk pintu hatinya, tetapi dia telah mensia-siakan kesempatan yang baik dan melepaskannya dengan percuma.

Islam menggalakkan menziarahi orang yang sedang sakit tenat, terutama ketika sedang berada dalam sakaratul maut. Dituntut agar mentalkinkan (mengajarnya) dengan kalimah "Lailahaillallah", sekiranya dia masih boleh mendengar dan bertutur, semoga dia akan turut menyebut kalimah toyyibah itu. Mudah-mudahan akhir kalamnya ialah kalimah La-ilaha illalLah, supaya dia mendapat kesudahan hidup yang baik.

Mengiring jenazah ke tanah perkuburan merupakan perjalanan terakhir bagi jenazah di atas muka bumi ini, ia juga merupakan ucapan selamat jalan dari kaum keluarga dan sahabat handai dengan kesedihan dan rasa pilu. Ketika dia dimasukkan ke liang lahad, dan tanah diturunkan dengan perlahan menimbusi tubuh yang kaku. Pilu setiap hati orang yang memandangnya.

Sesungguhnya bukan sekadar orang-orang yang mengiringi jenazah yang merasa rawan dan hiba, tetapi sebenarnya setiap sendi anggota orang yang menghadapi kematian juga turut bersedih. Sebelum kematian berlaku dengan sempurna, sebenarnya kematian telah berlaku kepada setiap sendi secara beransur-ansur. Kematian bermula dari sendi kaki yang terkebawah, segala sendi saling mengucapkan selamat tinggal kepada sendi yang telah mati.

Sendi buku lali mengucapkan salam perpisahan kepada sendi telapak kaki dan jejari, diikuti pula oleh ucapan perpisahan dari sendi betis kepada sendi buku lali. Mereka mengucapkan salam perpisahan itu saolah-olah berkata: "Sesungguhnya kita sudah lama berada dalam suatu keluarga anggota, yang sentiasa saling bantu membantu antara satu lama lain, yang merasai bersama susah dan sedang. Tetapi sekarang, aku terpaksa mengucapkan selamat jalan kepadamu, kerana Allah SWT menghendaki perpisahan ini, semoga kita akan bertemu semula diakhirat kelak." Sesungguhnya sendi-sendi itu berpisah dengan penuh kesedihan, tetapi tidak di sedari oleh sesiapapun (kecuali Allah yang Maha Mengetahu perkara yang ghaib).

Kesedihan dirasai oleh sendi-sendi kaki ketika hendak berlaku perpisahan, kerana sekiranya mereka dipertemukan di akhirat kelak, di sana ada tugas berat yang akan dipikul, seperti yang dijelas oleh firman Allah Taala:
Yang bermaksud:
"Pada hari ini (hari dihitung segala amal) Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi saksilah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka lakukan."
(Surah Yaasin ayat 65).

Sesungguhnya pertemuan sendi-sendi kaki dan juga sendi-sendi tangan di akhirat kelak, bukanlah pertemuan untuk menghilang rasa rindu setelah berpisah sekian lama. Sebaliknya pertemuan untuk memikul satu beban tanggungjawab, di mana tangan akan bertutur bagi pihak mulut yang sudah terkunci, dan kaki menjadi saksi di hadapan Allah terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan di dunia dahulu.

Alangkah bertuahnya sekiranya sendi-sendi tangan akan bertutur dan kaki pula akan menjadi saksi kepada perbuatan yang baik, tetapi betapa malangnya jika tangan dan kaki terpaksa bertutur dan menjadi saksi di atas perbuatan jahat dan maksiat, maka alangkah malunya dia di hadapan Allah Taala.

Selepas seluruh sendi saling mengucapkan salam perpisahan antara satu sama lain, akhirnya sampai pula giliran roh dipaksa keluar meninggalkan jasad. Bagi menggambarkan keadaan tersebut, telah diriwayatkan bahawa Allah SWT telah bertanya kepada Nabi Ibrahim Khalilullah, apakah pendapatnya tentang berpisahnya roh dari jasad. Maka Nabi Ibrahim a.s. pun menyatakan bahawa ketika roh ditarik keluar, seakan-akan daging dan tulang -tulang terikut sama.

Seorang Khalilullah merasakan begitu dahsyat tentang perpisahan roh itu, sekalipun Allah Taala telah memberikan layanan yang paling lunak terhadap Khalil-Nya, namun ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kesengsaraan yang amat dahsyat kerana dia merasakan seolah-olah daging dan tulang terheret bersama roh yang terpaksa keluar meninggalkan jasad atas kehendak Allah Taala melalui tangan Izrael. Jika untuk Khalil-Nya (rakan seiring) pun demikian hebatnya, betapa jika untuk manusia biasa, Allah jua yang Maha Mengetahui.

Diriwayatkan juga ketika roh Nabi Musa a.s. diangkat ke langit, lalu ditanya oleh Allah SWT bagaimanakah keadaan ketika beliau menghadapi kematiannya. Lalu Nabi Musa menjelaskan, bahawa kematian yang dialaminya itu laksana seekor burung merpati yang dimasukkan ke dalam periuk yang panas, menggelepar kesana kemari namun kesemua sudut yang ditujunya terlalu panas dan amat sengsara.

Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya para malaikat bertugas menjaga orang yang menghadapi maut itu supaya dia tidak menggelapar dan lari kerana terlalu takut dan tersangat sakit."

Selain itu diriwayatkan pula tentang malaikat maut Izrail ketika menghadapi saat sakaratul maut, maka ketika merasai sakit kerana roh ditarik keluar meninggalkan tubuhnya yang sasa, lalu berkata: "Sekiranya aku tahu betapa dahsyatnya sakit menghadapi mati itu, nescaya aku tidak terdaya hendak mencabut nyawa manusia."

Seorang sahabat Nabi bernama Amru bin al-'Ash ketika hampir akan mati lalu anak perempuannya bertanya kepadanya, bahawa 'Amru pernah berkata bahawa dia berhasrat mencari orang yang dapat menceritakan pengalamannya menghadapi saat kematian. Tetapi pada hari itu ketika beliau sendiri terlalu hampir saat matinya, lalu anaknya meminta agar 'Amru menceritakannya, supaya menjadi pengajaran pula buat anaknya.

Lalu 'Amru bin al-'Ash berkata: Sesungguhnya di saat hampir kematianku, terasa olehku bahawa seolah-olah aku terbaring di atas sekeping kayu yang keras, dan aku dapati bahawa baki nafasku yang keluar masuk itu terlalu sukar, seolah-olah nafas itu tidak keluar dari rongga hidungku, sebaliknya keluar dari lubang jarum yang sempit. Serta aku merasai kesakitan bagaikan terdapat ranting berduri di dalam tubuhku, di mana ranting berduri itu ditarik dari kaki hingga ke kepala dan diulang berkali-kali.

Kemudian Amru bin al-'Ash pula sempat memberitahu anaknya malaikat yang bertugas mencabut nyawa itu tapak kakinya berada di bumi tetapi kepala berada di langit, ketinggiannya tidak dapat diukur lagi, sebaliknya setinggi mana langit, maka setinggi itu malaikat maut itu. Oleh sebab itu, malaikat maut itu melihat dunia bagaikan sebesar nyiru, dan malaikat tersebut meneliti setiap penghuninya tersangat mudah.

Selain itu malaikat maut itu sentiasa menjenguk setiap manusia sebanyak 360 kali dalam sehari, sehingga malaikat maut itu sangat arif dan mengenali setiap insan. Kerana terlalu kenal itu menyebabkan tidak pernah berlaku kesilapan, seperti hendak mencabut nyawa seseorang tetapi tercabut nyawa orang lain pula.

Sayangnya manusia tidak menyedari bahawa wajahnya sentiasa diintai oleh malaikat maut sebanyak 360 kali dalam sehari, bererti hampir setiap tiga minit malaikat maut menjengah wajah setiap penghuni dunia ini. Masing-masing menunggu giliran untuk menemui kematian. Mati yang sering dilupakan akan datang pada bila-bila masa.

oleh:
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan