Khamis, 11 April 2013

Ukhti, bersabarlah!

"Ustaz, adakah keahlian Majlis Syura terbuka kepada orang ramai? Adakah ia hanya terbuka kepada orang beraliran agama sahaja? Jika begitu, bukankah itu menjejaskan hala tuju kita sebagai parti yang syumul?"
Seorang ukhti bertanya kepada seorang kepimpinan parti. Raut wajahnya jelas menunjukkan semangat yang membuak-buak.

Saya memerhatikan gelagat ukhti ini. Menjadi tugas saya sebagai fasi untuk memerhatikan bakat-bakat yang terpendam untuk dicungkil. Ukhti ini sungguh bagus orangnya. Berani dan tegas. Daripada tona suaranya jelas kedengaran rasa ingin menyumbang yang membuak-buak. Namun, jawapan ustaz yang menyatakan bahawa hanya yang berkelulusan agama layak menyertai Majlis Syura, membuatkan wajahnya terpancar kekecewaan.

Saya Memahami
Saya memahami apa yang dirasai oleh ukhti ini. Kekecewaan ukhti ini bukan lahir daripada perasaan inginkan jawatan, namun kerana terasa diri tidak berupaya untuk menyumbang. Terasa diri cukup hina. Terasa diri cukup kerdil untuk menyumbang dalam perjuangan Islam. Islam pastinya tidak memerlukan kita, dan kita memerlukan Islam. Jika kita tidak menyumbang, nikmat syurga akan pergi meninggalkan kita. Perasaan menyumbang yang membuak, namun, ada tembok batu yang menghalang kita dari terus menyumbang. Tertulis di dinding tembok penyekat "pendidikan agama secara formal". Dan tembok ini sukar dipecahkan.

"UKHTI, BERSABARLAH."

Ucapan ini saya ucapkan sewaktu melihat wajahnya yang kecewa, walaupun dia tidak mendengarnya. Hari ini, saya melihat seorang lagi ukhti yang lain berperasaan begitu.

Jangan begitu......

Jangan Bersedih
Jangan bersedih wahai sahabat seperjuangan. Sememangnya, usaha kita yang mampu kita lakukan adalah sangat-sangat kecil. Yang mampu dibuat hanyalah menaip beberapa patah perkataan. Ataupun menukar poster-poster. Ataupun share post persatuan di facebook. Ya, itu sahaja yang mampu dibuat dalam kekangan yang menghimpit.

Ya, kita kecewa tidak mampu menyumbang lebih besar. Ya, kita kecewa kerana tidak mampu mati dalam menyumbang.

Ukhti,
Allah swt bukan hanya melihat amal kita. Dia juga melihat hati kita.

Saya ingin bawakan satu kisah. Surah Al-Mujadilah menceritakan berkenaan seorang wanita tua yang dizihar suaminya. Hakikatnya, beliau sedar beliau bukanlah sesiapa. Beliau sudah tua. Beliau hanya seorang ibu yang tua. Dalam kesedihan kerana Rasulullah tidak dapat menolongnya, beliau berdoa meminta Allah swt menurunkan wahyu menyelesaikan masalahnya.

Dan, Allah swt menerima doanya, dan menurunkan ayat Al-Quran untuknya. Betapa mulianya dirinya. Namanya Khaulah bte Tsa'labah.

Ukhti,
Jangan bersedih dan teruskan berusaha.
Allah swt sentiasa mengingati hambanya,
walaupun kita sentiasa lupa.

Aku harap kekecewaan ini tidak mematikan api kesungguhanmu yang sedang membakar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan