Ahad, 12 Mei 2013

Tazkirah 11 - Jangan Optimis Meskipun Dalam Ketaatan


DI ANTARA hasrat dan cita-cita orang-orang yang beriman itu tidak lain ialah untuk menjadi hamba Allah yang taat, melaksanakan segala kewajiban dan kefardhuan, agar menjadi orang yang soleh dan bertaqwa. Menghindari segala yang dilarang oleh Allah SWT, serta menghindari sifat-sifat yang keji, seperti yang diajar oleh Rasul s.a.w. dan brusaha mencari keredhaan Allah Taala berpandukan wahyu-Nya.

Bagaimanapun untuk mencapai hasrat dan cita-cita tersebut amatlah sukar bagi manusia yang lemah ini, meskipun seseorang itu telah mendapat hidayah sehingga pada zahirnya dia menjadi orang yang taat, namun Allah mempunyai kuasa mutlak untuk merubah keadaan itu menjadi sebaliknya, kerana kehendak Allah SWT tidak siapa yang dapat memaksa Dia. Meskipun manusia berusaha untuk berdiri teguh di atas keimanannya, namun ia terserah kepada kemahuan Allah SWT, dan natijah kepada segala perbuatan manusia itu sesungguhnya masih ghaib dan hanya di dalam ilmu Allah Azza wa-jalla.

Justeru itu tidak boleh bagi seseorang yang telah melakukan ketaatan kepada Allah Taala, merasa senang hati di atas segala qirbah atau usaha mendamping diri kepadaNya, melalui ibadahnya, seperti solat, puasa, zakat, haji, jihad dan sebagainya. Walaupun segala usaha ketaatan telah dilakukan sekuat tenaga sedaya mungkin, tetapi oleh kerana ibarat cerita masih di pertengahan, belum diketahui apakah kesudahannya, maka atas alasan apakah seseorang itu boleh merasa senang hati?

Sejak mula kejadian manusia lagi, apabila Allah menciptakan Adam dan mengumumkan untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi, sedangkan sebelum itu makhluk ciptaan Allah bernama Iblis yang telah beribadah kepada Allah sepuluh ribu tahun, merasa sangsi di atas kewibawaan manusia untuk menjadi khalifah di bumi.

Kesangsian Iblis menyebabkan dia tidak bersedia untuk sujud kepada Adam sekalipun Allah SWT menyuruh golongan Iblis dan malaikat berbuat demikian. Iblis bukan saja enggan malah berdendam kepada Adam a.s. dan keturunannya, apabila Allah Taala melaknat Iblis di atas keangkuhannya. Iblis yang tersisih kerana keingkarannya dan ditakdirkan bakal menjadi penghuni neraka, mereka berazam untuk terus memusuhi keturunan Adam, agar dia tidak keseorangan di dalam neraka, tetapi turut ditemani oleh anak cucu Adam yang dapat dipengaruhinya.

Bertarung dengan musuh secara berdepan ada kalanya manusia tertewas, tidakkah manusia akan lebih sulit apabila bertarung dengan musuh yang tidak dapat dilihat? Iblis yang menubuhkan pasukan tenteranya akan terus-menerus mengatur serangan terhadap keturunan Adam, tanpa mengenal penat lelah, tanpa tidur tanpa rehat dan tanpa lalai. Dengan demikian manusia pasti terdedah dengan ancaman Iblis, sebahagian manusia sudah menjadi tawanan Iblis dikenali sebagai golongan kuffar.

Iblis sebagai makhluk yang tidak dapat dilihat dengan indera penglihatan, pasti lebih mudah menyusup ke dalam diri dan hati manusia. Sehingga kadang kala berjaya membentuk rekrud baru di kalangan manusia, yang akhirnya menjadi pendukung ideologi Iblis, serta memusuhi golongan orang yang beriman yang mendokong aqidah Yang benar dan bertauhidkan Allah Taala.

Di kalangan orang yang beriman pun kadangkala tentera Iblis berjaya menyusup, sehingga golongan beriman turut bertelagah sesama sendiri, kerana sebahagian dari mereka sudah termakan hasutan iblis. Yang selamat hanyalah golongan yang mendapat pertolongan dan taufik dari Allah, iaitu mereka yang digelar sebagai hamba Allah yang mukminin, solihin dan muttaqin.

Manusia yang hidup di muka bumi ini adalah khalifah dan tentera Allah, yang sedang berperang dan bertarung dengan musuh tradisi dari luar iaitu Iblis, serta disokong pula oleh musuh dalaman iaitu nafsu yang sering mengajak kepada kegiatan yang buruk.

Merasa amankah setiap orang yang sedang berperang? Sedangkan musuh terus-menerus menghujani berbagai jenis peluru yang dahsyat. Musuh tradisi itu menggunakan peluru hasad, peluru dengki, peluru tamak, peluru khianat, peluru takbur, peluru ujub, peluru riyak, peluru sum'ah dan berbagai-bagai lagi. Justeru tidak ada kawasan aman dan selamat sehingga manusia tidak mungkin dapat rehat.

Dalam suasana begini mana mungkin manusia merasa optimis untuk mencapai kemenangan yang total terhadap Iblis itu, justeru sikap optimis akan menjadikan manusia lalai dan tidak waspada malah tidak berusaha untuk mengatasi musuhnya.

Sekalipun sudah dimaklumi bahawa segala Yang makruf itu disukai Allah Taala, malah dijanjikan pahala bagi mereka yang melakukan ketaatan, tetapi janganlah merasa bangga dengan semua ketaatan yang telah dilakukan itu. Kerana walaupun demikian namun segala usaha itu ibarat seorang usahawan yang menggunakan modal orang lain.

Jika seseorang melakukan solat, dia menggunakan anggota tubuh yang dipinjamkan. Jika menunaikan haji, pasti menggunakan kemudahan rezeki yang didatangkan oleh Allah. Berdakwah dan mengadakan kuliah pengaiian, tidak lain hanyalah menyampaikan ilmu yang didatangkan oleh Allah Taala melalui rasul-Nya. Jika dia banyak menderma untuk kebajikan, tidak lain hanyalah ibarat memulangkan wang yang dipinjam. Sesungguhnya semua itu adalah pemberian dan kurnia Tuhan yang Mencurah kepada hamba-Nya, maka yang manakah yang datang dari diri manusia sendiri?

Oleh kerana manusia melakukan segala ketaatan kepada Allah, tidak lain mereka menggunakan semua kurnia dari Allah, maka tiada suatupun ketaatan amalan yang bersifat mendampingkan diri kepada Allah SWT itu dapat dibanggakan dan dimegahkan oleh manusia itu, ibarat orang yang bermegah dengan baju yang dipinjam dari orang lain. Jika manusia hendak berbangga dengan ketaatan sedikit sebanyak yang telah dilakukan itu, hanyalah ibarat orang yang bermegah dengan harta orang lain.

Walaupun manusia melakukan berbagai ketaatan yang melibatkan fikiran tenaga dan wang ringgit, namun tiada tempat bagi manusia untuk berbangga, kerana andainya Allah tidak menerima kesemua jenis kebajikan dan ketaatan yang kamu banggakan itu, nescaya ia menjadi kosong ibarat perut unta, kerana sebenarnya perut unta itu jika dibedah, ia hanya dipenuhi dengan najis tetapi kosong dari kebaikan.
Dengan demikian maka tidak ada yang dapat untuk menjadi cagaran bagi manusia di akhirat, kerana sesungguhnya dia telah datang kepada Tuannya dengan bekalan yang kosong.

Janganlah menjadi manusia yang bangga dengan bunga-bunga di pohon serta putik-putik buah di dahan, apabila datang hujan ribut yang memusnahkan bunga dan putik buah-buah itu musnah hingga tiada apa yang tinggal.

Bunga-bunga dan putik buah-buahan itu ibarat amalan kebajikan yang belum ditimpa malapetaka, kerana sesungguhnya malapetaka kepada amal ibadah seseorang itu ialah umpamanya tidak ikhlas beramal, dengki kepada orang, dosa yang dilakukan kepada orang lain lebih banyak dari kebajikan yang dilakukan. Apabila bunga-bunga dan buah amal itu dilanda ribut dan taufan dosa kerana tidak ikhlas, riyak, dengki dan lain-lain lagi, maka gugur bertaburanlah bunga serta buah-buah amal itu.

Justeru itu tidak ada masa untuk manusia itu merasa senang dan lapang dada sekalipun berbagai qirbah atau usaha ikhtiar telah dilakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah Taala, namun ibarat putik yang belum membesar dan masak sehingga dapat dipetik hasilnya, maka apa yang perlu dilakukan ialah tidak lalai dari mengawasi perkara-perkara yang boleh menghancurkan kebajikan itu.

Seorang yang pulang ketika petang dengan keimanan dan rajin beramal, tetapi pastikah keadaan itu berkekalan hingga esok harinya? Segala kemungkinan boleh terjadi, mungkin ketika malam hari hatinya mendengar bisikan iblis lalu melakukan maksiat, maka matahari yang terbit di pagi itu menyambut dia sebagai seorang yang zalim, bukan lagi sebagai hamba yang soleh dan bertaqwa.

Tazkirah kematian oleh:
Yang Bersara Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Rabu, 8 Mei 2013

Daurah Kitab Nurul 'Uyun Ibnu Sayyid An-Nas

Alhamdulillah, sirah Rasulullah saw merupakan perkara yang patut diberi tumpuan oleh umat Islam kerana hidup Rasulullah saw merupakan sumber pergerakan kita.

InsyaAllah, kali ini, kita akan membaca kitab ulama besar Ibnu Sayyidd An-Nas yang bertajuk, Nurul 'Uyun.
Kitab versi English
Kitab versi Bahasa Arab

Berikut merupakan syarah bahasa Arab oleh Dr Muhammad Abdul Wahab Aqil.
Sesi 1:

Sesi 2:

Sesi 3:

Sesi 4:


InsyaAllah syarah kitab ini dilakukan oleh Ustaz Muhammad Hanif bin Haron.
Sesi 1, bahagian 1.

Sesi 1, bahagian 2.

Sesi 1, bahagian 3.

Sesi 2, bahagian 1.

Sesi 2, bahagian 2.

Sesi 2, bahagian 3.

Sesi 2, bahagian 4.

Sesi 2, bahagian 5.

Terima kasih diucapkan kepada TV Iskandariah.:)

Isnin, 6 Mei 2013

Daurah Kitab Fi Afaq At-Ta'lim Syeikh Said Hawa

Alhamdulillah. Telah berjaya menemui sebuah syarah bagi kitab Fi Afaq At-Ta'lim. Kitab ini merupakan syarah bagi kitab yang ditulis oleh Imam Hassan Al-Bana. Manakala, syarih oleh Ustaz Sheikh Rohimuddin Al-Bentawi Al-Nawawi.

Link kitab:
Bahasa Arab
Bahasa Melayu

Link youtube TV Azhar:
http://www.youtube.com/watch?v=EqIUSrYc-sU

Link Pertama:


Link Kedua:


Link Ketiga:


Link Keempat:


Link Kelima:

Kitab ini sangat penting bagi ahli-ahli jemaah Islam. Semoga Allah swt berikan yang terbaik untuk Islam.

Sempena PRU13: Jangan Berputus Asa

Alhamdulillah, PRU13 melabuhkan tirainya dengan kesedihan bagi Pakatan Rakyat dan kegembiraan bagi Barisan Nasional.

Menjadi rutin harian sejak pembubaran sehingga semalam, saya akan membaca surah Yasin dengan harapan amalan baik ini akan membantu memenangkan Islam di Malaysia. Dan, alhamdulillah, walaupun kalah juga, insyaAllah, Allah swt tidak akan mensia-siakan doa hamba-hamba mereka yang menginginkan kebaikan.

(Saya lihat ramai yang lupa mengucapkan alhamdulillah kerana terlalu sedih. Sekarang, ucaplah alhamdulillah atas segala nikmat)

Antara ibrah surah Yasin yang saya perolehi daripada surah ini merupakan daripada ayat pertama hingga ayat ketiga yang berbunyi,
يسٓ , وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡحَكِيمِ , إِنَّكَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ 
Maksudnya: Yaa siin. Demi Al Qur’an yang penuh hikmah, sesungguhnya kamu salah seorang dari Rasul-rasul. Surah Yasin ayat 1-3.

Amalan Membaca Surah Yasin
Pemilihan surah ini sungguh tepat terutama sekali pada masa sekarang. Kekalahan pada kali ini lebih perit pada hati saya daripada kesedihan yang lain. Kekalahan ini lebih menyedihkan daripada kehilangan seorang ahli keluarga yang pergi menghadap Ilahi.

Dalam keadaan harapan menggunung, kemudian berkecai, maka ayat surah Yasin ini merupakan peringatan yang sangat padat!

Allah swt berfirman "يسٓ" yang menurut ulama-ulama tafsir juga boleh membawa maksud "wahai manusia" menurut bahasa Habsyah. Kemudiannya Allah swt bersumpah atas al-Quran yang diturunkannya dengan penuh hikmah, bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad saw sememangnya salah seorang daripada Rasul-rasul.

Sewaktu saya membaca ayat ini (sesudah keputusan diketahui), hati terkesan. Dengan tiga ayat ini, Allah swt telah mengembalikan harapan saya. Allah swt telah mengubat kesedihan hati saya.

Apa yang saya perolehi daripada ayat ini, ialah:
Allah swt mengingatkan, "Wahai manusia yang bernama Himayah Al-Kalantani, demi al-Quran yang penuh hikmah ini, yang mana di dalamnya ada banyak hukum-hakam dan hujah-hujah, kamu perlu ingat dan sentiasa sedar bahawasanya idola yang kamu ikuti sekarang merupakan seorang rasul yang sebenar-benarnya. Dan, jika kamu mengikuti rasul yang sebenar-benarnya, pasti kamu tidak akan sesat dan kamu tidak akan kalah".

Dari ayat ini, saya sedar dari kesedihan. "Ini tanda lemahnya iman," getus hati saya. Ya, saya perlu yakin bahawa kemenangan/kejayaan itu PASTI kerana Allah tidak akan mendatangkan kerugian kepada orang-orang yang benar-benar ingin mengikut Rasulnya.

Dari tiga ayat ini juga, saya kembali kepada al-Quran kerana Allah swt telah bersumpah bahawa di dalamnya terkandung hikmah. Saya memejam mata dan cuba mengingat ayat yang paling terkesan di hati saya.

Surah An-Nasr
Surah yang paling rapat dalam hati saya adalah surah An-Nasr yang berbunyi,
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ , وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا , فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا 
Maksudnya: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Surah ini diturunkan lapan puluh hari sebelum kewafatan baginda. Sesungguhnya, surah ini merupakan petanda kewafatan baginda sebagaimana diriwayatkan oleh hadis Bukhari daripada Ibnu Abbas. Rasulullah saw mengetahui maksud tersirat ayat ini. Dan, maksud tersirat itu juga difahami oleh Ibnu Abbas dan Umar Al-Khattab radhiallahu anhuma.

Justeru, kita perlu sedar, perjuangan Islam pasti akan BERAKHIR DENGAN KEMENANGAN. Itu janji Allah sebagaimana Allah swt tidak akan mematikan Rasulullah saw sehingga diberikan pertolongan Allah swt sampai dan diberi kemenangan kepada Islam.

Antara muhasabah ayat ini adalah terhadap seruan supaya bertasbih, bertahmid dan BERISTIGHFAR kepada Allah swt sedangkan ayat ini diturunkan selepas pembukaan kota Mekah. Kenapa perlu beristighfar selepas kemenangan? Allah swt menyuruh golongan yang tergesa-gesa untuk menang (rasa kecewa apabila kalah) supaya beristighfar kerana kesalahan mereka meragui kemenangan yang dijanjikan Allah swt.

Ya rijal. Ya syabab.

Allah swt tetap menurunkan kemenangan. Justeru, jangan berputus asa, namun bersedih seketika tidak mengapa. Yang diingini dalam PRU13 adalah kemenangan sebagaimana yang disebut dalam al-Quran sebagai "berbondong-bondong masuk Islam", namun, pertolongan adalah milik Allah swt, jangan gopoh. Ia pasti tiba juga.

Yang penting, sabar.

Jumaat, 3 Mei 2013

Kitab Maqasid As-Saum - Fasal 1 pada Kewajipannya

Sempena bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba, saya ingin menyumbang dengan membawakan sedikit sebanyak perkara-perkara yang berkaitan dengan puasa, insyaAllah. Kesilapan, sangat-sangatlah dimaafkan, dan harapannya bolehlah dibetulkan.

Kitab As-Saum
Dan di dalamnya ada 10 fasal.

Fasal Pertama: Pada Kewajipannya

Berfirman Allah taala wa azza wa jalla,
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
[Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa] Surah Al-Baqarah ayat 183.

Maknanya: Semoga kalian melindungi diri daripada neraka dengan puasanya. Maka sesungguhnya puasanya menjadi sebab kepada terampunnya dosa, (dosa inilah) yang mewajibkan kepada neraka.

Dalam 'As-Sahihaini' daripada Nabi saw, sesungguhnya Baginda saw bersabda,
بني الإسلام على خمس على أن تعبد الله وتكفر بما دونه وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وحج البيت وصوم رمضان
[Maksudnya: Islam dibina atas lima perkara, agar mengabdikan diri kepada Allah dan mengkufurkan selain daripada-Nya, mendirikan solat, membayar zakar, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan]
Matan di atas diriwayatkan secara marfu' dan boleh didapati dalam kitab الأسماء المبهمة في الأنباء المحكمة tulisan Imam Al-Khatib Al-Baghdadi. Namun, dikeluarkan oleh Imam Muslim (16 dan 20) namun, sedikit perbezaan lafaz, daripada Ibnu Umar ra. Dikeluarkan juga oleh Imam Bukhari (8) dengan lafaz yang berbeza.