Jumaat, 3 Mei 2013

Kitab Maqasid As-Saum - Fasal 1 pada Kewajipannya

Sempena bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba, saya ingin menyumbang dengan membawakan sedikit sebanyak perkara-perkara yang berkaitan dengan puasa, insyaAllah. Kesilapan, sangat-sangatlah dimaafkan, dan harapannya bolehlah dibetulkan.

Kitab As-Saum
Dan di dalamnya ada 10 fasal.

Fasal Pertama: Pada Kewajipannya

Berfirman Allah taala wa azza wa jalla,
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
[Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa] Surah Al-Baqarah ayat 183.

Maknanya: Semoga kalian melindungi diri daripada neraka dengan puasanya. Maka sesungguhnya puasanya menjadi sebab kepada terampunnya dosa, (dosa inilah) yang mewajibkan kepada neraka.

Dalam 'As-Sahihaini' daripada Nabi saw, sesungguhnya Baginda saw bersabda,
بني الإسلام على خمس على أن تعبد الله وتكفر بما دونه وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وحج البيت وصوم رمضان
[Maksudnya: Islam dibina atas lima perkara, agar mengabdikan diri kepada Allah dan mengkufurkan selain daripada-Nya, mendirikan solat, membayar zakar, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan]
Matan di atas diriwayatkan secara marfu' dan boleh didapati dalam kitab الأسماء المبهمة في الأنباء المحكمة tulisan Imam Al-Khatib Al-Baghdadi. Namun, dikeluarkan oleh Imam Muslim (16 dan 20) namun, sedikit perbezaan lafaz, daripada Ibnu Umar ra. Dikeluarkan juga oleh Imam Bukhari (8) dengan lafaz yang berbeza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan