Isnin, 6 Mei 2013

Sempena PRU13: Jangan Berputus Asa

Alhamdulillah, PRU13 melabuhkan tirainya dengan kesedihan bagi Pakatan Rakyat dan kegembiraan bagi Barisan Nasional.

Menjadi rutin harian sejak pembubaran sehingga semalam, saya akan membaca surah Yasin dengan harapan amalan baik ini akan membantu memenangkan Islam di Malaysia. Dan, alhamdulillah, walaupun kalah juga, insyaAllah, Allah swt tidak akan mensia-siakan doa hamba-hamba mereka yang menginginkan kebaikan.

(Saya lihat ramai yang lupa mengucapkan alhamdulillah kerana terlalu sedih. Sekarang, ucaplah alhamdulillah atas segala nikmat)

Antara ibrah surah Yasin yang saya perolehi daripada surah ini merupakan daripada ayat pertama hingga ayat ketiga yang berbunyi,
يسٓ , وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡحَكِيمِ , إِنَّكَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ 
Maksudnya: Yaa siin. Demi Al Qur’an yang penuh hikmah, sesungguhnya kamu salah seorang dari Rasul-rasul. Surah Yasin ayat 1-3.

Amalan Membaca Surah Yasin
Pemilihan surah ini sungguh tepat terutama sekali pada masa sekarang. Kekalahan pada kali ini lebih perit pada hati saya daripada kesedihan yang lain. Kekalahan ini lebih menyedihkan daripada kehilangan seorang ahli keluarga yang pergi menghadap Ilahi.

Dalam keadaan harapan menggunung, kemudian berkecai, maka ayat surah Yasin ini merupakan peringatan yang sangat padat!

Allah swt berfirman "يسٓ" yang menurut ulama-ulama tafsir juga boleh membawa maksud "wahai manusia" menurut bahasa Habsyah. Kemudiannya Allah swt bersumpah atas al-Quran yang diturunkannya dengan penuh hikmah, bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad saw sememangnya salah seorang daripada Rasul-rasul.

Sewaktu saya membaca ayat ini (sesudah keputusan diketahui), hati terkesan. Dengan tiga ayat ini, Allah swt telah mengembalikan harapan saya. Allah swt telah mengubat kesedihan hati saya.

Apa yang saya perolehi daripada ayat ini, ialah:
Allah swt mengingatkan, "Wahai manusia yang bernama Himayah Al-Kalantani, demi al-Quran yang penuh hikmah ini, yang mana di dalamnya ada banyak hukum-hakam dan hujah-hujah, kamu perlu ingat dan sentiasa sedar bahawasanya idola yang kamu ikuti sekarang merupakan seorang rasul yang sebenar-benarnya. Dan, jika kamu mengikuti rasul yang sebenar-benarnya, pasti kamu tidak akan sesat dan kamu tidak akan kalah".

Dari ayat ini, saya sedar dari kesedihan. "Ini tanda lemahnya iman," getus hati saya. Ya, saya perlu yakin bahawa kemenangan/kejayaan itu PASTI kerana Allah tidak akan mendatangkan kerugian kepada orang-orang yang benar-benar ingin mengikut Rasulnya.

Dari tiga ayat ini juga, saya kembali kepada al-Quran kerana Allah swt telah bersumpah bahawa di dalamnya terkandung hikmah. Saya memejam mata dan cuba mengingat ayat yang paling terkesan di hati saya.

Surah An-Nasr
Surah yang paling rapat dalam hati saya adalah surah An-Nasr yang berbunyi,
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ , وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا , فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا 
Maksudnya: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Surah ini diturunkan lapan puluh hari sebelum kewafatan baginda. Sesungguhnya, surah ini merupakan petanda kewafatan baginda sebagaimana diriwayatkan oleh hadis Bukhari daripada Ibnu Abbas. Rasulullah saw mengetahui maksud tersirat ayat ini. Dan, maksud tersirat itu juga difahami oleh Ibnu Abbas dan Umar Al-Khattab radhiallahu anhuma.

Justeru, kita perlu sedar, perjuangan Islam pasti akan BERAKHIR DENGAN KEMENANGAN. Itu janji Allah sebagaimana Allah swt tidak akan mematikan Rasulullah saw sehingga diberikan pertolongan Allah swt sampai dan diberi kemenangan kepada Islam.

Antara muhasabah ayat ini adalah terhadap seruan supaya bertasbih, bertahmid dan BERISTIGHFAR kepada Allah swt sedangkan ayat ini diturunkan selepas pembukaan kota Mekah. Kenapa perlu beristighfar selepas kemenangan? Allah swt menyuruh golongan yang tergesa-gesa untuk menang (rasa kecewa apabila kalah) supaya beristighfar kerana kesalahan mereka meragui kemenangan yang dijanjikan Allah swt.

Ya rijal. Ya syabab.

Allah swt tetap menurunkan kemenangan. Justeru, jangan berputus asa, namun bersedih seketika tidak mengapa. Yang diingini dalam PRU13 adalah kemenangan sebagaimana yang disebut dalam al-Quran sebagai "berbondong-bondong masuk Islam", namun, pertolongan adalah milik Allah swt, jangan gopoh. Ia pasti tiba juga.

Yang penting, sabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan