Khamis, 13 Jun 2013

Hukum Mengambil Vaksin Yang Berkesan

Kesimpulan
Saya berpendapat hukum memberi vaksin adalah bergantung kepada jenis vaksin tersebut. Hukum harus adalah hukum umum pengambilan vaksin. Jika haram vaksin itu, haramlah ia. Tidaklah sama hukum memberi H1N1 flu vaccine dengan MMR vaccine, kerana setiap vaksin mempunyai targetnya yang tersendiri dan kandungan yang berbeza.

Perkara Yang Perlu Dinilai Dalam Menetapkan Hukum
Justeru, penetapan hukum mengambil vaksin perlulah dinilai dari segi "incidence", "prevalence" bagi penyakit tersebut, bersama "symptoms and complication" penyakit itu. 

Penilaian "incidence and prevalence" penyakit adalah penting kerana jika penyakit itu sangat sukar dihinggap, maka, mengambil vaksin terhadap penyakit tersebut adalah sukarela.

Penilaian "symptoms and complications" juga penting kerana penyakit yang sangat teruk simptom dan komplikasi akan mewajibkan seseorang mengambilnya walaupun sukar untuk dihinggap penyakit tersebut. Contohnya, jika wujud vaksin berkesan bagi penyakit HIV, hukum mengambil suntikan tersebut adalah wajib kerana kesan jangkitan HIV yang sangat teruk kepada kesihatan, jika terjangkit, HIV tidak akan mampu diubati lagi.

Penilaian "herd immunity" perlu dibuat kerana mencapai target ini merupakan salah satu tujuan utama vaccination. Jika herd immunity berjaya dicapai, kemungkinan berlakunya penyebaran berkurang kerana kemungkinan pesakit tersebut untuk bertemu orang yang belum immune terhadap virus itu rendah. Jadi, pesakit tersebut hanya akan bertemu dengan orang yang sudah immune, dan menyebabkan penyakit itu hanya akan berlaku pada dirinya sahaja.

Begitu juga, perlu dinilai akan imbangan efficacy dan efficiency, malah, perlu juga dinilai daripada sudut pharmacoeconomics. Jika vaccine tersebut tidak berkesan, hukum mengambilnya hanyalah secara sukarela. Namun, jika ianya berkesan 99%, adalah kita akan mendapat pahala jika mengambilnya kerana mengambilnya akan menyebabkan satu penyakit mampu dielak, dan Allah swt suka orang yang sihat dan gagah.

Perbezaan Mengubati Dan Mencegah
Namun, perkara utama dalam menentukan hukum vaksin adalah perbezaan antara MENGUBATI dan MENCEGAH. Vaksin bertujuan MENCEGAH, bukannya mengubati. Justeru, membuat perbandingan antara vaksin dengan herba yang bertujuan merawat, terutama dalam membuat hukum agama, tidak tepat, walaupun herba tersebut wujud dalam hadis sekalipun.

(Ada yang berhujah dengan mengatakan menyuruh mengambil vaksin adalah sama seperti menyuruh mengambil habatus sauda sedangkan tujuan kedua-duanya adalah berbeza)

Seperti yang sudah kita sedia maklum, tujuan perubatan bukan hanya untuk merawat pesakit tetapi juga untuk menghalang ianya berlaku. Dan Rasulullah saw antara activist yang membawa idea primary prophylaxis (pencegahan sebelum berlakunya jangkitan) dalam berhadapan dengan penyakit berjangkit. Terlampau banyak hadis-hadis Rasulullah berkaitan suruhan mencegah. 


Contohnya suruhan Rasulullah saw berkenaan menjauhi orang yang berpenyakit leprosy seumpama melarikan diri daripada singa, diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Begitu juga larangan orang berpenyakit bergaul dengan orang yang sihat, juga wujud dalam Sahih Bukhari. Termasuk juga larangan Rasulullah saw terhadap orang yang sakit taun untuk tidak keluar daripada kawasan yang dilanda taun untuk mengelakkan penularan penyakit taun itu, hadis ini diriwayatkan dalam Sunan At-Tirmidzi dengan katanya, hadis hasan sahih.

Saya tidak menganggap suruhan Rasulullah saw yang bersifat mencegah ini merupakan bertaraf HARUS semata-mata. 

Larangan Ini Hanya Bersifat Kecil-kecilan
Justeru, dalam banyak-banyak suruhan ini, ianya hanya pada skala kecil iaitu mengelakkan transmission antara dua orang manusia hingga ke peringkat bandar. Walaupun suruhan ini adalah pada skala kecil sahaja, Rasulullah saw sudah begitu galak melarang umatnya daripada melakukannya, semuanya demi mengelakkan berlakunya penyebaran. Kesimpulan yang boleh dibuat adalah, Rasulullah saw sama sekali tidak mahu umatnya terkena sebarang penyakit, terutamanya penyakit yang boleh dihindari.

Bagaimana Jika Mampu Menghapuskan Penyakit, Adakah Rasulullah Akan Menolak?
Jika pada zaman Rasulullah saw sudah ada cara menghapuskan penyakit berjangkit sama sekali daripada dunia ini (contohnya menghapuskannya dengan mengambil vaksin smallpox), pada fikiran kita, apakah tindakan Rasulullah saw?


Pendapat saya, sebagaimana Rasulullah saw melarang umatnya mendekati pesakit kusta (leprosy) dan sebagaimana Rasulullah melarang umatnya yang sakit bergaul dengan yang sihat, pastinya Rasulullah saw gembira jika wujudnya cara untuk mengelakkan penyakit berjangkit. Rasulullah saw pasti akan menyuruh umatnya mencegah penyakit itu, kerana tidak mungkin Rasulullah saw membiarkan umatnya berpeluang menghidap penyakit jika penyakit itu mampu dicegah secara kekal.

Justeru, apakah hukum sebenar mengambil vaksin yang berkesan pada pandangan anda?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan