Sabtu, 13 Julai 2013

Selawat Selepas Solat [Hujah Dr Sulaiman Al-Baruhi]

Kitab Al-Aurad Al-Qusysyasyiah Wirid Selepas Solat, Al-Syeikh Abdul Rauf Singkel dengan tahkik Dr Sulaiman bin Ibrahim Al-Baruhi. Disemak dan ditashih oleh Sahibus Samahah Dato Mohd Murtadza bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Sembilan. Cetakan 2006. Diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus. ISBN: 983-2638-16-X.
Selawat Selepas Solat [Hujah Dr Sulaiman Al-Baruhi]

Dipetik daripada kitab beliau bertajuk "Wirid Selepas Solat" sewaktu mengtahkik Aurad Al-Madaniah. Dr Sulaiman bekerja di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM.

Kata beliau:
Saya tidak menemui hadith yang menyebut kelebihan selawat atas Nabi selepas sembahyang, namun suruhan Nabi secara umum supaya umat Islam berselawat dan salam ke atas Nabi merangkumi semua waktu termasuklah selepas sembahyang. Kemungkinan al-Syeikh Ahmad al-Qusysyasyi mengambil iktibar daripada hadith:
Yang bermaksud: "Tidak duduk suatu kaum dalam suatu majlis, dan mereka tidak berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi mereka melainkan penyesalan akan menimpa mereka."
Hadith ini dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmizi dalam kitab al-Da'awat, , hadith bilangan: 3302, dan beliau berkata: Hadith ini hadith Hassan Sahih, dan oleh al-imam Ahmad dalam Baqi Musnad al-Mukassirin, hadith nombor 9213, 9388, 9466, 9854, 9888, 10019.
Al-'Allamah Ibnu Qayyim al-Jauziah telah menyebut dalam kitab (جلاء الأفهام) bahawa antara masa-masa yang baik untuk berselawat atas Nabi s.a.w. ialah selepas menunaikan sembahyang. Beliau berkata:
"Al-Hafiz Abu Musa dan lain-lain menyebut sedemikian, dan mereka tidak menyebut berkenaan hal itu kecuali suatu hikayat yang disebutkan oleh Abu Musa al-Madini daripada Abdul Ghani bin Said beliau berkata: Aku mendengar Ismail bin Ahmad bin Ismail al-Hasib berkata: Abu Bakar Muhammad bin Umar memberitahu aku bahawa beliau berkata:
Pada suatu masa aku berada di sisi Abu Bakar bin Mujahid, lalu al-Syabli datang, lalu Abu Bakar bin Mujahid bangun kepadanya lalu memeluknya, dan mengucup dahinya, lalu aku berkata kepadanya: Wahai tuan, adakah patut dibuat sebegini kepada al-Syabli, sedangkan engkau dan semua orang di Baghdad menganggapnya sebagai orang gila? Lalu beliau berkata kepadaku: Aku melakukan kepadanya sebagaimana aku melihat Rasulullah s.a.w. melakukan kepadanya (al-Syabli) yang demikian itu kerana aku melihat Rasulullah s.a.w. dalam mimpi, dan al-Syabli sedang mara, lalu baginda bangun kepadanya dan mengucup dahinya, lalu aku berkata ya Rasulullah, adakah tuan melakukan begini kepada al-Syabli? Lalu baginda bersabda orang ini membaca selepas sembahyang (لقد جاءكم رسول من أنفسكم) hingga akhir ayat dan diikutinya dengan berselawat ke atasku. Dalam suatu hikayat baginda bersabda: Dia tidak pernah sembahyang fardhu melainkan dia akan baca selepas sembahyang itu (لقد جاءكم رسول من أنفسكم) hingga akhir surah, dan dia berselawat sekali: (صلى الله عليك يا محمد). Lalu apabila aku pergi menemui al-Syabli, aku bertanya tentang apa yang dia baca selepas sembahyang, lalu dia sebut sama seperti (yang aku mimpikan)."
Lihat kitab (جلاء الأفهام) karangan al-Imam ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam bab al-Solah wa al-Salam 'ala Khairi al-Anam, (مكتبة دار البيان) Damsyik, Syria 1413H / 1992M, halaman 352 - 353.
Tamat tulisan Dr Sulaiman bin Ibrahim Al-Baruhi
________________________________________________________

Kata saya:
Menurut kitab tulisan Ibnu Qayyim yang saya perolehi pula, tulisan yang saya merahkan di atas, tertulis "tiga kali" bukan "sekali".


Selasa, 9 Julai 2013

Kritikan: Antara Membina dan Membinasa

Kritikan: Antara Membina dan Membinasa
Salah satu komponen dakwah adalah ingat-mengingatkan antara satu sama lain. Oleh kerana itu, manusia yang tidak rugi adalah mereka yang berpesan-pesan di jalan kebenaran dan kesabaran sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Asr.

Kekal di atas jalan kebenaran itu sukar, dan sentiasa istiqamah pasti akan membawa ke syurga. Dalam sebuah hadis sahih, seorang sahabat Nabi saw meminta nasihat untuk dirinya yang mana tidak perlu lagi dia bertanya kepada orang lain selepas itu, dan Rasulullah saw menjawab, "Katakanlah Allah Tuhanku dan kemudian istiqamahlah".

Manusia Tidak Ma'sum
Sifat maksum merupakan sifat para Nabi as, dan bukannya sifat manusia biasa. Jika ada yang menyatakan bahawa wujudnya manusia yang ma'sum selain Nabi, maka, mereka berdusta.

Manusia dinamakan "insan" kerana manusia mudah lupa. Oleh kerana sifat yang mudah lupa itu, manusia sering kali melakukan kesilapan. Mereka tergelincir daripada mengingati jalan Allah swt dan akibatnya mereka melakukan dosa. 

Jika manusia sentiasa mengingati Allah swt (sentiasa beriman kepada Allah swt), pasti, mereka tidak akan melakukan dosa, sebagaimana yang tercatat dalam hadis sahih,"Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya".

Justeru, manusia sentiasa lupa, dan Allah swt yang menyayangi hambanya ini sentiasa bersifat Pemurah dengan menyediakan kepada manusia pintu taubat yang cukup luas kepada manusia,
sebagaimana firmannya,
إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ
Maksudnya: Surah At-Taubah ayat 118.

Pintu Bagi Taubat adalah Kesedaran
Manusia menjadi sesat adalah apabila mereka tidak mempunyai kesedaran. Justeru, diturunkan rasul-rasul untuk memberi kesedaran kepada mereka, mengingatkan mereka akan kesilapan yang mereka lakukan.
Sepertimana yang difirmankan Allah swt dalam surah Yasin ayat 6:
لِتُنذِرَ قَوۡمً۬ا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمۡ فَهُمۡ غَـٰفِلُونَ
Maksudnya: Untuk mengingatkan kaum yang nenek moyang mereka tidak diberikan peringatan dan kerana itu mereka lupa.

Justeru, sudah menjadi kewajipan bagi umat Muhammad saling menegur untuk mengingatkan sesama manusia. Ini termaktub dalam hadis sahih berkenaan dengan tegur-menegur dan memberi kesedaran.
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ( من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان ) رواه مسلم .Maksudnya: Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman." HR Muslim.

Mengkritik, Memuji, Mengumpat, Menipu, Membodek
Mengkritik, memuji, mengumpat, menipu dan membodek, pada asasnya hanyalah perkataan yang diucapkan oleh mulut manusia. Namun, hukum bagi setiap perlakuan ini, berbeza. Ini kerana, perkataan itu hadir beserta sifat-sifat mereka.

Tidaklah dikatakan memuji jika di dalamnya terkandung kata-kata cacian yang menyakitkan hati. Tidaklah dikatakan mengumpat jika di dalamnya terkandung kata-kata yang menipu.

-----------------------------------------------------------------------------------

Bagi konteks tulisan ini yang membicarakan tentang "kritikan membina dan membinasa", pengkritik perlu meneliti sifat ucapan mereka. Mereka perlu memastikan bahawa kritikan mereka itu berada pada skala "membina" bukannya berlebihan sehingga menjadi "membinasa". 

Justeru, setiap sifat kritikan yang membina, akan saya datangkan sifat yang membinasa pula.

Tujuan: Tegur-Menegur Yang Membina Itu Perlu Berasaskan Kasih Sayang
Teguran sesama mukmin itu perlu dilakukan atas dasar sayang kerana itulah yang menjadi asas kepada perhubungan sesama mukmin. Mukmin sesama mukmin itu bersaudara diibaratkan seperti cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya. Rasulullah saw bersabda, "Perumpamaan orang-orang yang beriman itu dalam hal mereka saling mencintai, kasih mengasihi dan bertimbang rasa sesama mereka, adalah seperti sebuah tubuh badan. Apabila mana-mana anggota ditimpa penyakit maka seluruh anggota turu serta berjaga malam dan mersakan demam". Muttafaq 'alaih. Inilah asas perhubungan sesama mukminin. Berhubung sesama mukmin berasaskan kasih sayang. Kasih sayang ini bukan bermaksud perlu mengungkapkan "I LOVE YOU, ya akhi", kerana kasih sayang itu lahir daripada hati.
Manakala, sudah jelas teguran membinasa berdiri atas selain ini. Kebanyakannya adalah atas dasar dengki sesama manusia, sifat yang sepatutnya kita selalu berdoa meminta dijauhkan daripadanya (dalam surah Al-Falaq). Bagaimana boleh dikatakan kita mengkritik atas dasar sayang jika kita melabel orang yang ditegur dengan perkataan "bodoh/dungu"? Jika wujud kasih dan sayang, kita pasti akan berusaha sedaya-upaya memilih perkataan yang tidak akan mengguris hati kekasih hati kita ini.
Kesan: Tegur-Menegur Yang Membina Itu Perlu Bertujuan Mengubah
Teguran yang membina perlu berasaskan kepada niat yang murni. Niat yang mulia akan menghasilkan kata-kata yang penuh membina, manakala niat yang celaka akan mengeluarkan kata-kata yang membinasa. Perkara ini cukup mudah. Jika kita tidak berniat untuk mengubahnya, adalah lebih baik kita diam. Ini kerana, tiada niat yang boleh menjustifikasikan pengucapan perkataan melainkan bertujuan mengubah.
Niat selain daripada ini akan menjadikan satu-satu kritikan itu bersifat membinasa. Berbicara berkenaan seseorang atas tujuan mendedahkan keburukan/aib lelaki itu kepada umum, adalah perlakuan yang membinasakan kepada diri dan kepada sahabat kita. Allah swt menyuruh seorang manusia menutup aib sahabat-sahabat mereka. Adalah jelas bahawa kita tidak mahu mengubah sesorang itu jika teguran itu dibuat dibelakangnya. Bagaimana mungkin seorang lelaki boleh sedar daripada kesilapan jika kita mengumpat di belakangnya?
Sumber: Tegur-Menegur Yang Membina Itu Perlu Berdasarkan Fakta
Sudah pasti kita perlu menegur sahabat kita berdasarkan fakta yang kita benar. Umat Islam yang baik akan bersangka baik sesama sahabat-sahabatnya dan mereka akan berusaha sedaya upaya bersangka baik kepada sahabat mereka. Mereka hanya akan bersangka buruk apabila terpaksa (iaitu setelah hadir bukti yang tidak boleh ditolak).
Manakala, ramai yang menegur pada hari ini, adalah berdasarkan dongeng dan khabar angin semata-mata. Apabila mendengar sahaja buruknya perlakuan sahabat mereka ini, berlumba-lumba manusia cuba menegurnya. Seakan-akan manusia "Islami" ini sedaya-upaya menonjolkan kepada dunia bahawa mereka adalah sebaik-baik pembawa obor kebenaran. Mereka tidak lagi berusaha untuk bersangka baik dan bertanya tuan punya diri untuk membenarkan fakta. Mereka lebih suka jika kebenaran tidak terdedah.
Kesimpulan
Kesimpulan daripada saya, ketiga-tiga sifat teguran/kritikan ini perlu sentiasa dituruti (niat, akibat dan sumbar), barulah boleh kritikan/teguran ini dikatakan teguran yang membina. Jika tidak cukup tiga, jadilah ia teguran yang membinasa.
Contoh teguran/kritikan yang mengandungi ketiga-tiga ciri. Seorang lelaki (A) terlihat saudaranya (B) berciuman dengan seorang perempuan. Setelah memastikan dengan keluarga lelaki tersebut bahawa lelaki tersebut (B) masih lagi bujang, dia telah berjumpa mata dengan lelaki (B) untuk menegur perlakuan lelaki tersebut. Secara asasnya, kita nampak dengan jelas bahawa teguran ini adalah teguran yang mulia.
Contoh teguran/kritikan yang mengandungi dua daripada tiga ciri di atas. Seorang lelaki (A) terlihat saudaranya (B) berciuman dengan seorang perempuan. Setelah memastikan dengan keluarga lelaki tersebut bahawa lelaki tersebut (B) masih lagi bujang, (A) telah menulis satu status di facebook beliau yang menegur perlakuan (B). Malangnya (B) tidak mempunyai facebook untuk membaca status itu. Apa yang berlaku adalah, tindakan (A) tadi, walaupun niatnya baik dan sumbernya tepat, tindakannya tetap tidak mampu mengubah (B) kerana teguran itu tidak sampai kepadanya. Adalah lebih baik (A) berdiam diri sahaja.
Contoh lain. Seorang lelaki (A) mendengar berita bahawa saudaranya (B) berciuman dengan seorang perempuan (C) di Cape Town, Afrika. Dengan niat yang baik, (A) telah bersemuka dengan (B) dan menegur perbuatan (B) tersebut. Namun, sebenarnya itu hanyalah khabar angin, dan (B) sebenarnya berada di Jepun pada ketika itu. 
Kesimpulannya, adalah lebih baik diam daripada melakukan kritikan yang membinasakan.