Sabtu, 13 Julai 2013

Selawat Selepas Solat [Hujah Dr Sulaiman Al-Baruhi]

Kitab Al-Aurad Al-Qusysyasyiah Wirid Selepas Solat, Al-Syeikh Abdul Rauf Singkel dengan tahkik Dr Sulaiman bin Ibrahim Al-Baruhi. Disemak dan ditashih oleh Sahibus Samahah Dato Mohd Murtadza bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Sembilan. Cetakan 2006. Diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus. ISBN: 983-2638-16-X.
Selawat Selepas Solat [Hujah Dr Sulaiman Al-Baruhi]

Dipetik daripada kitab beliau bertajuk "Wirid Selepas Solat" sewaktu mengtahkik Aurad Al-Madaniah. Dr Sulaiman bekerja di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM.

Kata beliau:
Saya tidak menemui hadith yang menyebut kelebihan selawat atas Nabi selepas sembahyang, namun suruhan Nabi secara umum supaya umat Islam berselawat dan salam ke atas Nabi merangkumi semua waktu termasuklah selepas sembahyang. Kemungkinan al-Syeikh Ahmad al-Qusysyasyi mengambil iktibar daripada hadith:
Yang bermaksud: "Tidak duduk suatu kaum dalam suatu majlis, dan mereka tidak berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi mereka melainkan penyesalan akan menimpa mereka."
Hadith ini dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmizi dalam kitab al-Da'awat, , hadith bilangan: 3302, dan beliau berkata: Hadith ini hadith Hassan Sahih, dan oleh al-imam Ahmad dalam Baqi Musnad al-Mukassirin, hadith nombor 9213, 9388, 9466, 9854, 9888, 10019.
Al-'Allamah Ibnu Qayyim al-Jauziah telah menyebut dalam kitab (جلاء الأفهام) bahawa antara masa-masa yang baik untuk berselawat atas Nabi s.a.w. ialah selepas menunaikan sembahyang. Beliau berkata:
"Al-Hafiz Abu Musa dan lain-lain menyebut sedemikian, dan mereka tidak menyebut berkenaan hal itu kecuali suatu hikayat yang disebutkan oleh Abu Musa al-Madini daripada Abdul Ghani bin Said beliau berkata: Aku mendengar Ismail bin Ahmad bin Ismail al-Hasib berkata: Abu Bakar Muhammad bin Umar memberitahu aku bahawa beliau berkata:
Pada suatu masa aku berada di sisi Abu Bakar bin Mujahid, lalu al-Syabli datang, lalu Abu Bakar bin Mujahid bangun kepadanya lalu memeluknya, dan mengucup dahinya, lalu aku berkata kepadanya: Wahai tuan, adakah patut dibuat sebegini kepada al-Syabli, sedangkan engkau dan semua orang di Baghdad menganggapnya sebagai orang gila? Lalu beliau berkata kepadaku: Aku melakukan kepadanya sebagaimana aku melihat Rasulullah s.a.w. melakukan kepadanya (al-Syabli) yang demikian itu kerana aku melihat Rasulullah s.a.w. dalam mimpi, dan al-Syabli sedang mara, lalu baginda bangun kepadanya dan mengucup dahinya, lalu aku berkata ya Rasulullah, adakah tuan melakukan begini kepada al-Syabli? Lalu baginda bersabda orang ini membaca selepas sembahyang (لقد جاءكم رسول من أنفسكم) hingga akhir ayat dan diikutinya dengan berselawat ke atasku. Dalam suatu hikayat baginda bersabda: Dia tidak pernah sembahyang fardhu melainkan dia akan baca selepas sembahyang itu (لقد جاءكم رسول من أنفسكم) hingga akhir surah, dan dia berselawat sekali: (صلى الله عليك يا محمد). Lalu apabila aku pergi menemui al-Syabli, aku bertanya tentang apa yang dia baca selepas sembahyang, lalu dia sebut sama seperti (yang aku mimpikan)."
Lihat kitab (جلاء الأفهام) karangan al-Imam ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam bab al-Solah wa al-Salam 'ala Khairi al-Anam, (مكتبة دار البيان) Damsyik, Syria 1413H / 1992M, halaman 352 - 353.
Tamat tulisan Dr Sulaiman bin Ibrahim Al-Baruhi
________________________________________________________

Kata saya:
Menurut kitab tulisan Ibnu Qayyim yang saya perolehi pula, tulisan yang saya merahkan di atas, tertulis "tiga kali" bukan "sekali".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan