Sabtu, 26 April 2014

PAS Di Persimpangan: Hudud 2014

Pendapat yang menyatakan bahawa perlaksanaan hudud perlu didahului dengan penerangan sehingga difahami oleh masyarakat, juga merupakan pendapat Syeikh Muhammad Al-Ghazali juga dalam kitabnya Laisa Minal Islam.

Walaupun begitu, persoalan hudud di Malaysia, perlu melihat situasi masyarakat di Malaysia sebelum kita buat kesimpulan bahawa pendapat ini lebih tepat ataupun tidak.

Justeru, pendapat Syeikh Muhammad Al-Ghazali adalah pendapat yang kurang tepat jika melihatkan situasi Malaysia. Ini kerana, mengharapkan berlakunya penerangan menyeluruh oleh kerajaan Malaysia adalah ibarat menunggu pokok ciku berbuah durian. Pendapat ini mambawa kesan, iaitu, hudud tidak akan mampu ditegakkan sampailah kita ke liang lahad. Memilih pendapat yang tidak akan membuahkan hasil, adalah satu tindakan yang tidak berapa tepat.

Ini berbeza apabila undang-undang ini diwartakan di parlimen. Kerajaan Malaysia perlu mempertahankan undang-undang ini, justeru terpaksa memberikan penerangan kepada rakyat terhadap kebaikan undang-undang ini. Sepertimana GST diwartakan terlebih dahulu, kemudian penerangan besar-besaran dibuat untuk convince rakyat akan kebaikan GST.

Farish Noor dan Kesilapannya

Menilai pandangan Farish Noor yang mengatakan bahawa PAS tersilap langkah kerana termasuk jerat musuh, dan saranannya supaya menumpukan isu ketirisan dan sebagainya, ia memerlukan pertimbangan politik yang lebih dalam. Justeru, ana berbeza pendapat dengannya. Boleh rujuk tulisannya di Malaysian Insider.

PAS berada di persimpangan, terutamanya setelah PRU13. PAS yang  dimomokkan oleh beberapa pihak sebagai telah hilang jatidiri Islam akibat bersama PR, dan ini banyak menjauhkan orang Melayu daripada PAS. PAS dimomokkan dengan isu syiah, isu liberal dll, dan ini sedikit sebanyak mencalarkan imej PAS.

Semua perlu sedar bahawa PAS tidak bertanding di kawasan Cina, PAS bertanding di kawasan majoriti Melayu. Kekalahan PAS di kawasan bermajoriti Melayu, antaranya adalah kerana PAS dilihat sudah meninggalkan Islam di dalam perjuangan. Justeru, mengembalikan kepercayaan pengundi Melayu terhadap jatidiri Islam yang PAS bawa, adalah sangat perlu untuk menambahkan undi kepada PAS di kawasan luar bandar.

Apabila pihak kerajaan menyatakan kesudian untuk memberi peluang untuk hudud, ada dua tanggungjawab yang PAS pikul.
1) Tanggungjawab kepada Allah. Hudud perlu dilaksanakan apabila diberi peluang, dan menangguhkannya tanpa sebab yang munasabah/syar'i adalah tidak dibenarkan. Penangguhan yang dilakukan sebelum ini adalah kerana mendapat tentangan yang kuat daripada pihak berkuasa. Justeru, apabila kerajaan memberi lampu hijau, PAS wajib mengambil peluang ini, mahu atau tidak mahu.
2) Tanggungjawab kepada dakwah dan perjuangan. Tidak berusaha membawa draf ini ke parlimen, hanya akan menjauhkan lagi pengundi Melayu daripada PAS. Bertambahlah bahan-bahan 'bukti' bahawa PAS sudah meninggalkan semua prinsip Islam yang mereka bawa. Semakin lantanglah tuduhan bahawa PAS adalah liberal dan sebagainya.

Kita semua sedar bahawa 'lampu hijau' itu sememangnya jerat. Namun, untuk tidak melangkah ke dalam jerat, ataupun melangkah ke dalamnya, ia memerlukan lebih banyak pertimbangan. Ana kira, keputusan PAS untuk 'memasuki jerat dan memanipulasi jerat untuk kebaikan PAS' adalah lebih banyak faedahnya untuk perjuangan PAS, berbanding tidak memasukinya sama sekali.

Wallahu taala a'lam.