Isnin, 5 Mei 2014

Hudud - Mengapakah Pelaku Zina Dihukum Mati?


"Hudud is totally unjustifiable. They say hudud is fair, but why hudud punishes consensual intercourse which is not a crime?"

Begitulah kata-kata sebahagian orang bukan Islam apabila mereka memikirkan tentang hudud. Antara dua isu yang sangat besar dan sukar untuk diterima akal adalah hukuman terhadap penzina dan orang yang murtad. Ramai pendakwah yang tidak mampu untuk menjelaskan dengan lebih baik tentang perkara ini. Akibatnya, hudud dilihat sebagai hukuman yang tidak adil dan perlu dijauhi.

InsyaAllah, saya akan menjelaskan sedikit sebanyak keadilan hudud dari sudut hukuman mati terhadap orang yang berzina.

Apakah Itu Zina?
Zina bermaksud persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan pasangan suami isteri dan milik dan tidak termasuk dalam wathi syubhah. Hukuman bagi pelaku zina yang belum berkahwin adalah disebat seratus kali dan dibuang negeri selama setahun. Manakala bagi pelaku zina yang sudah berkahwin adalah dihukum rejam sampai mati.[1]

Persetubuhan ini mestilah di luar daripada segala macam syubhah. Contohnya, jika si suami menyangka bahawa yang disetubuhinya itu adalah isterinya kerana gelap. Si suami tidak akan dijatuhkan hukuman rejam atas kesilapan itu.

Asas Penentangan Terhadap Hukuman Hudud Terhadap Jenayah Zina
Penentangan orang bukan Islam terhadap hukuman rejam terhadap pelaku zina adalah kerana mereka menganggap bahawa melakukan persetubuhan dengan izin adalah suatu perkara yang tidak mendatangkan masalah.

Kajian daripada The Guttmacher, Amerika Syarikat, pada tahun 2002, 75% daripada respondent berusia kurang daripada 20 tahun sudah melakukan pre-marital sex.[2]

Begitu juga menurut buku Premarital Sex: How Young Americans Meet, Mate and Think About Marrying yang mengatakan bahawa 2/3 daripada remaja berusia bawah 18 tahun adalah mempunyai pengalaman dalam melakukan hubungan seksual.

Pandangan tentang premarital-sex sudah banyak berubah berubah mengikut peredaran zaman. Pada tahun 1980-an, hanya 33-37% rakyat Amerika berpendapat bahawa premarital sex adalah tidak salah.[3]

Oleh itu, apabila mereka beranggapan bahawa premarital sex sebagai tidak salah, maka, hukuman terhadap jenayah zina sudah pasti tidak adil.

Tujuan Hukuman Terhadap Pelaku Zina Menurut Kaca Mata Islam
Hukuman terhadap zina adalah untuk menjaga keturunan dan kehormatan. Namun, soalan yang mungkin ditanya adalah "bagaimana zina boleh dianggap sebagai menjejaskan keturunan dan kehormatan?"

Zina sebenarnya bukan hanya merosakkan keturunan dan kehormatan, ia sebenarnya merosakkan sistem masyarakat itu sendiri.

Zina Merosakkan Seluruh Masyarakat
Zina bukan sahaja merosakkan keturunan dan kehormatan seseorang individu, bahkan, ia merosakkan keseluruhan masyarakat. Apabila zina dibiarkan, ia menyebabkan keseluruhan wanita teraniaya.

Kita perlu memahami tujuan persetubuhan. Ini perlu dilihat melalui kaca mata lelaki dan wanita. Lelaki melakukan hubungan seksual kerana keseronokan. Manakala wanita melakukannya atas dasar sayang. Menurut John Gray, lelaki memerlukan hubungan seksual untuk merasakan kasih sayang, manakala perempuan memerlukan kasih sayang untuk melakukan hubungan seksual.[4]

Perbezaan ini merupakan suatu pertukaran kehendak antara dua individu. Lelaki menginginkan hubungan seksual, manakala perempuan menginginkan kasih sayang. Apabila lelaki memberikan kasih sayang yang diingini wanita, lelaki akan berpeluang memperolehi apa yang mereka inginkan, iaitu hubungan seksual.

Konsep ini ibarat konsep jual-beli. Wanita menjual dan lelaki membeli.

Oleh kerana wanita merupakan penjual, wanita mempunyai kuasa untuk menetapkan 'harga'. Menurut Islam, 'harga' yang sepatutnya wanita letakkan adalah perkahwinan. Meletakkan harga lebih tinggi ataupun lebih murah daripada itu, akan memudaratkan masyarakat.

Apabila premarital sex dibenarkan, ini bermakna wanita meletakkan harga yang murah bagi lelaki untuk memperoleh apa yang lelaki inginkan selama ini, iaitu hubungan seksual.

Saya katakan bahawa premarital sex adalah 'harga yang murah' adalah kerana perempuan 'menjual' dalam keadaan mereka tidak akan memperoleh apa yang mereka inginkan, iaitu kasih sayang. Pastinya, kemuncak kasih sayang yang wanita inginkan adalah terbinanya rumah tangga. Namun, apabila mereka menjual pada harga ini (premarital sex), tiada lagi sebab untuk lelaki memberikan 'kemuncak kasih sayang' yang mereka (perempuan) inginkan.

Perkahwinan Adalah Pengorbanan
Perkahwinan memerlukan pengorbanan yang besar bagi lelaki.

Mereka terikat dengan tanggungjawab. Apabila mereka sudah berkahwin, mereka perlu menanggung makan dan minum bagi dua orang manusia. Mereka tidak lagi boleh hidup sesuka hati mereka, semua perkara yang mereka ingin lakukan, perlu dibawa berbincang dengan isteri. Apabila berkahwin, segala tanggungjawab perlu dikongsi bersama, daripada menjaga anak sehinggalah membayar pinjaman perumahan. Dalam masyarakat yang tidak memandang premarital sex sebagai perkara yang salah, lelaki juga tidak lagi boleh menjalinkan hubungan dengan wanita lain kerana perkahwinan memerlukan kepada kesetiaan, sedangkan jika tidak berkahwin, mereka boleh menjalinkan hubungan dengan ramai wanita dalam masa setahun.

Begitu beratnya 'pengorbanan' yang perlu diberikan untuk menjayakan sebuah perkahwinan. Jadi, tiada lelaki yang ingin memperisterikan wanita yang menjual pada harga yang murah ini, kerana mereka sudah memperolehi apa yang mereka mahu tanpa perlu mengorbankan apa-apa.

Jelas sekali, premarital sex (zina) akan menzalimi wanita!

Kezaliman Merangkumi Kesemua Wanita
Malangnya, premarital sex bukan sahaja menzalimi wanita yang melakukannya, bahkan ia menzalimi wanita yang suci dan berusaha menjaga kehormatan diri mereka.

Apabila wanita yang suci ini meletakkan harga yang tinggi kepada lelaki dalam masyarakat yang menganggap premarital sex tidak bermasalah, wanita yang suci ini teraniaya. Tiada lelaki yang mahu berkorban untuk memperisterikan wanita yang suci ini, kerana lelaki dapat 'membeli' dengan murah daripada perempuan lain.

Maka, wanita yang suci ini terpaksa menjadi anak dara tua, semata-mata kerana dia mahu mendapatkan apa yang dia inginkan, iaitu kemuncak kasih sayang.

Jelas sekali, perlakuan premarital sex hanya menguntungkan lelaki dan menzalimi wanita. Bukankah ini suatu perkara yang perlu kita usaha untuk halang?

Cuba baca kisah ini, wanita Montreal yang masih menunggu "The One", sehinggalah sekarang, berumur 45 tahun.

Kesan Zina Kepada Emosi Wanita
Kesan masalah ini, bukan berhenti di sini sahaja. Apabila berkurangnya lelaki yang mahu mendirikan rumah tangga dengan wanita, maka, bilangan wanita yang berstatus anak dara tua semakin meningkat. Biological clock bagi wanita menyatakan bahawa semakin mereka berumur, semakin sukar untuk mereka mengandung dan semakin bahaya untuk mereka melahirkan anak.

Sedangkan naluri wanita sangat-sangat menginginkan anak untuk disayangi. Ini sekali lagi menzalimi wanita.

Kesan Zina Kepada Masyarakat
Namun, wanita tidak akan berhenti pada saat ini sahaja untuk mencapai apa yang mereka ingini. Mereka akan berusaha menggunakan apa cara sekalipun untuk mendapat anak. Termasuklah menggunakan perkhidmatan bayi tabung uji dan sebagainya. Apabila mereka mempunyai anak, semakin sukar untuk mereka mencari suami. Lelaki tidak suka menjaga kanak-kanak yang bukan darah daging mereka. Sekali lagi, ini menutup peluang wanita daripada mencari kasih sayang yang mereka inginkan.

Namun, perkahwinan mempunyai kesan yang amat besar kepada anak-anak juga. Kanak-kanak yang lahir daripada sebuah keluarga yang hancur (termasuklah perceraian ataupun ibu tunggal), akan menghasilkan anak yang nakal.[5][6]

Anak-anak yang nakal inilah yang akan membawa jenayah berat ke dalam masyarakat, contohnya jenayah menghisap dadah, mencuri dan lain-lain.

Justifikasi Hudud Terhadap Pelaku Zina
Kesan berantai terhadap perlakuan zina ini menyebabkan Islam memandang berat terhadap perlakuan ini. Mungkin kesan sebegini tidak difikirkan oleh ahli fiqh kerana mereka hanya mengambil hukum hakam daripada nas yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis. Namun, jika diteliti secara lebih mendalam, inilah kesannya terhadap masyarakat.

Jadi, jika perlakuan ini tidak dihalang, masyarakat akan hancur. Justeru, pelakunya dikenakan hukuman yang sangat berat. Pelaku zina yang tidak pernah berkahwin, dihukum dengan rotan sahaja kerana mereka tidak pernah merasai nikmat perkahwinan. Justeru, mungkin curiousity yang memuncak menyebabkan mereka terjebak ke dalam kancah ini.

Namun, pelaku zina yang muhsan pernah merasai nikmat persetubuhan, malahan, mereka mampu untuk berkahwin lagi jika mereka menyukai orang lain. Sebaliknya mereka memilih jalan singkat ini. Layaklah untuk mereka untuk dihukum, demi menjaga wanita dan masyarakat daripada kehancuran.

Kesimpulan
Saya tidak menyebut sebab-sebab lain yang sudah selalu dinyatakan oleh orang lain. Contohnya, tersebarnya penyakit, runtuhnya institusi rumah tangga apabila suami melakukan hubungan sulit, pembuangan bayi dan lain-lain. Saya memandang hukuman hudud terhadap pelaku zina adalah adil dan saksama, jika ingin dibandingkan dengan kesan perbuatan tersebut kepada masyarakat.

Edit (06/05/2014): Ada seorang sahabat yang menyarankan saya menulis kesan zina menurut kacamata kesihatan, namun, saya tidak mampu melakukannya kerana saya tidak nampak perbezaan antara zina dan persetubuhan suamu isteri. Kesan buruk hubungan kelamin tetap sama, tidak kira berkahwin ataupun tidak, penyakit kelamin tetap akan berjangkit.

Rujukan:
[1] Isu Hudud - Abdul Hadi jawab Mahathir, Abdul Hadi Awang, terbitan Percetakan As-Saff, ms 7-10.
[2] Trends in Premarital Sex in the United States, 1954–2003, Lawrence B Finer, 2007, diambil daripada http://www.guttmacher.org/pubs/journals/2007/01/29/PRH-Vol-122-Finer.pdf.
[3] Harding, D. J., & Jencks, C. (2003). Changing attitudes toward premarital sex. Public Opinion Quarterly, 67(2), 211–226.
[4] Men Are from Mars, Women Are from Venus, John Gray.
[5] Wassermen G, et al. Risk and Protective Factors of Child Delinquency. Child Delinquency Bulletin Series, Diambil daripada https://www.ncjrs.gov/pdffiles1/ojjdp/193409.pdf
[6] Abrue M. Single Parent Homes Effect on Adolescence. Diambil daripada http://www.sarasota.usf.edu/academics/cas/capstone/2010-2011/interdisciplinary%20social%20sciences/abreu-single%20parent%20homes%20effect%20on%20adolescence.pdf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan