Sabtu, 8 November 2014

"Kami Dengar dan Kami Taat"

Al Ustaz Ibnu Kathir berkata dalam menerangkan surah Al Anfal ayat 6: 
Mereka menanyakan kepadamu mengenai Al-Anfal (harta rampasan perang) sebagaimana mereka mendebat engkau ketika akan terjadinya perang Badar. Mereka berkata: "Engkau mengajak kami keluar dari Madinah untuk mengejar kafilah iaitu kafilah niaga Abu Sufyan, dan engkau tidak memberitahukan kepada kami bahawa kita akan perang sehingga kami dapat mengadakan persiapan sebelumnya."
Pada mulanya Rasulullah saw. keluar dari Madinah untuk mengejar kafilah Quraisy yang baru kembali dari Syam membawa harta kekayaan yang besar dan mengajak sesiapa sahaja dan kaum muslimin yang merasa ringan sehingga keluarlah 313 orang untuk tujuan itu dan berjalan menuju jalan tepi laut ke Syam yang menuju Badar. Tetapi Abu Sufyan sebagai pemimpin kafilah niaga kaum Quraisy itu telah mendengar berita bahawa kafilahnya dikejar oleh pasukan kaum Muslimin. Maka dengan cepat ia mengirim Dhamdham bin Amr iaitu orang upahan ke Mekah untuk memberitahu kepada orang-orang Quraisy bahawa kafilah mereka sedang terancam bahaya. Maka berangkatlah pasukan Quraisy dari Mekah sebanyak 1000 orang di bawah pimpinan Abu Jahal. Sedangkan Abu Sufyan mengambil jalan sebelah kanan menghindari pertemuan dnegan pasukan Muslimin sehingga mereka dapat menyelamatkan diri. Kemudian datanglah pasukan Abu Jahal di Badar, maka Allah mempertemukan pasukan Muslimin dengan pasukan Kafirin tanpa janji, kerana Allah swt. akan menegakkan DienNya dan memenangkan kaum Muslimin atas musuh mereka dan untuk menegakkan yang haq dan mengalahkan yang batil.

Ketika pasukan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Jahal keluar dari Mekah, Rasulullah saw. telah pun mendengar berita itu dan Allah swt mewahyukan kepada beliau saw. bahawa Allah akan mempertemukan salah satu daripada dua kelompok iaitu sama ada pasukan tentera Quraisy atau kafilah niaganya. Kebanyakan kaum Muslimin ingin memilih pasukan yang ringan tanpa senjata iaitu kafilah niaga sebab jelas akan mendapatkan laba tanpa menghadapi risiko yang besar iaitu tanpa peperangan. Tetapi Allah swt. berkehendak menegakkan yang hak dengan jalan peperangan dan membinasakan orang-orang kafir.

Abu Ayyub Al-Ansori ra. berkata : "Ketika kita berada di Madinah, Rasulullah saw. bersabda: 'Saya mendapat berita bahawa kafilah Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan akan kembali ke Mekah dari Syam. Apakah kalian suka jika kita keluar menghadangnya? Semoga Allah memberikannya sebagai ghonimah buat kita.' Kami menjawab, 'Ya'. Maka keluarlah Rasulullah saw. bersama kami. Lalu setelah kami keluar selama dua hari, Rasulullah saw bersabda, 'Bagaimana pendapat kalian jika kita berperang melawan kaum musyrikin kerana mereka sudah mendapat berita bahawa kalian keluar?' Jawab kami, 'Demi Allah kami tidak sanggup memerangi musuh, sebab kami keluar hanya untuk menghadapi kafilah niaga'. Kemudian Nabi saw. kembali bertanya, 'Bagaimana pendapat kalian jika tiba-tiba berperang dengan mereka?' Kami menjawab seperti jawaban semula. Tiba-tiba Miqdad bin Amr bin Al Aswad berkata, 'Jika benar akan berperang maka kami tidak akan mengatakan kepadamu sebagaimana perkataan kaum Nabi Musa kepada. Nabi Musa as yang mengatakan, 'Pergilah kamu bersama Tuhanmu berperang, dan kami akan menunggu di sini.' Tetapi kami berkata, 'Pergilah engkau bersama Rabbmu berperang, maka kami akan berperang bersama engkau'. Maka kami sahabat Ansor ingin andaikan kami mengatakan perkataan Miqdad itu. Kami akan lebih senang daripada harta yang banyak.

Episod yang seperti ini iaitu kisah perbezaan pendapat antara Nabi saw. dengan beberapa orang sahabatnya telah banyak dirakamkan dalam sejarah, tetapi memadailah sebagaimana yang dipaparkan di atas. Meskipun pada awalnya ketika para sahabat ditanya tentang kesanggupan mereka untuk menghadapi pasukan musuh yakni berperang, namun sebahagian daripada mereka enggan menerima kerana tidak mempunyai persiapan yang cukup guna melawan kaum kafir Quraisy yang jumlahnya tiga kali ganda dari kaum Muslimin. Memang suatu perkara yang wajar kerana tujuan asal mereka adalah untuk menghadang kafilah niaga Abu Sufyan yang membawa harta yang banyak, dan tentunya tidak memerlukan persiapan yang besar. Pasukan kaum Muslimin mengharapkan bertemu dengan musuh yang tidak bersenjata yakni kafilah Abu Sofyan, tetapi Allah menghendaki kaum Muslimin menghadapi pasukan yang bersenjata.

Maka tatkala keputusan telah diambil, dan kedua pasukan telah berhadapan maka tidak ada seorangpun yang tidak ikut walaupun tadinya enggan ikut berperang. Semuanya berlumba-lumba maju ke hadapan dengan tekad dan azam untuk menang atau syahid fie sabilillah. Tidak keluar dari mulut mereka, baik dalam keadaan ringan mahupun berat rnelainkan perkataan 'kami dengar dan kami taat'. Benarlah mereka itu sebaik-baik manusia di bawah bumbung langit yang tidak akan pernah wujud sebelum mahupun sesudah mereka itu.

Petikan daripada buku: "LELAKI SOLEH, MARTABAT DAN PERWATAKAN SERTA SIFAT-SIFATNYA" tulisan Abu Mohd Jibril Abdul Rahman, muka surat 154-156.

Tambahan daripada saya, Himayah Al-Kalantani.
Inilah perkara yang sepatutnya dilakukan oleh penggerak jemaah Islam dalam menguruskan perbezaan pendapat. Semestinya kita mempunyai pelbagai perbezaan dalam pendapat terhadap sesuatu isu. Tiada kelompok manusia yang benar-benar serupa dalam semua perkara. Semestinya kita mahukan kesatuan fikrah (semua ahli jemaah mempunyai fikrah yang sama dalam hal-hal teras), namun, dalam perkara-perkara cabang, biarlah kita berbeza, kerana perbezaan ini tidak mempunyai apa-apa kesan yang buruk.

Pastinya kita beranggapan bahawa sahabat-sahabat kita, semuanya ikhlas dalam memperjuangkan Islam, dalam barisan jemaah ini. Tidak layak untuk kita memandang mereka lebih rendah daripada kita dari apa-apa sudut sekalipun, kerana kita semua adalah pendakwah, dan kita bukanlah penghukum. Biarlah Allah swt sahaja yang menghukum hamba-hambanya.

Justeru, apabila berlaku perbezaan pendapat, kita perlu sedar bahawa semua idea-idea daripada sahabat-sahabat kita ini, semuanya bertujuan untuk membawa jemaah ke arah yang lebih baik. Cuma, cara pandang terhadap isu tertentu membuatkan wujudnya idea-idea yang berbeza ini. Mungkin sahabat kita mementingkan sesuatu yang pada kita bukanlah priority kita.

Pastinya, kita berdiri teguh di sisi pandangan kita, jika tiada hujah kukuh untuk mengalahkan hujah kita. Namun, apabila jemaah membuat mana-mana keputusan yang tidak berpihak kepada kita, tidaklah layak untuk kita berkeras kepala dan menarik diri daripada melaksanakan keputusan jemaah. Kita perlu bekerjasama, kerana walaupun pendapat mereka bukanlah yang optimum, namun, hasilnya, insyaAllah, tetap positif. Hasilnya tetap positif kerana kita semua tujuannya sama, ke arah memajukan jemaah. Mungkin dengan cara kita, jemaah akan melangkah 10 langkah, dan dengan cara mereka, jemaah akan melangkah 5 langkah, namun, yang pasti, jemaah tetap melangkah!

Keadaan akan berbeza, jika kita menentang keputusan jemaah dan memburukkan jemaah hanya kerana jemaah tidak mahu mengikut pendapat kita. Hasil daripada perbuatan kita ini, nama jemaah akan menjadi buruk, keputusan jemaah tidak dapat dilaksanakan dalam keadaan yang terbaik. Jemaah yang sepatutnya mampu melangkah 5 langkah melalui cara sahabat kita, mungkin terundur 2 langkah kerana serangan kita terhadap jemaah. Kesannya adalah negatif!

Justeru, jika kita mahukan kebaikan untuk jemaah, tiada sebab untuk kita berkeras kepala. Sami'na wa ata'na bukanlah sesuatu yang buruk. Ia adalah penerus kemajuan jemaah. Semoga Allah menjadikan kita ikhlas, sahabat-sahabat kita ikhlas dan berilmu, sepertimana Allah swt menjadikan sahabat-sahabat Rasulullah. Amin.

Wallahu a'lam. Sesungguhnya Allah swt adalah yang paling mengetahui tentang kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan