Rabu, 17 Disember 2014

Antara Hudud dan Kalimah Allah

Saya merasa tertarik apabila Lim Kit Siang cuba memaparkan wajah innocent dalam artikel beliau yang disiarkan Malaysiakini berkenaan hudud baru-baru ini. Bermula dengan hujah ‘tidak dibawa ke mesyuarat’ sehinggalah ‘tidak membantu memenangkan PR’, semua ini dipaparkan seakan-akan dia (dan partinya) sentiasa ‘membantu memenangkan PR’ dan sentiasa ‘menghormati mesyuarat’. Benarkah begitu?

Tidak pula kelihatan Lim Kit Siang mengeluarkan artikel dan mengutuk PKR yang ‘tidak membawa ke mesyuarat’ tentang Langkah Kajang, malahan tidak pula Lim Kit Siang menegur PKR yang menipu rakyat tentang Langkah Kajang yang dikatakan ‘tidak berkaitan dengan pertukaran MB’. Malahan, Langkah Kajang ini ‘tidak membantu memenangkan PR’ sama sekali, namun Lim Kit Siang (dan partinya) boleh pula bersekongkol dalam melaksanakan Langkah Kajang yang ‘tidak dibawa ke mesyuarat’ ini.

Hipokrasi sebegini cukup memualkan saya terhadap perjuangan DAP. Jika mahu bercakap tentang ‘tidak membantu memenangkan PR’, bersikap adillah terhadap hujah, jangan hanya diguna apabila perkara yang tidak disukai sahaja.

Kalimah Allah
Sungguh pelik apabila Lim Kit Siang (dan partinya) berjuang separuh mati untuk mendapatkan hak menggunakan kalimah Allah di dalam bible. Sebagai permulaannya, saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang ingin dicapai oleh Lim Kit Siang (dan partinya) dalam isu kalimah Allah ini?

Adakah dengan menggunakan kalimah Allah di dalam bible akan memudahkan orang Kristian memahami agama mereka? Adakah perkataan Tuhan tidak mampu menyampaikan makna sebenar perkataan tersebut sehingga terpaksa ditukarkan kepada Allah? Adakah kalimah Allah tidak mengelirukan orang Kristian?

Jika saya seorang utilitarian, saya pasti akan tertanya-tanya, “adakah isu kalimah Allah ini akan membawa the greatest good for the greatest number of people?” Saya sejujurnya tidak nampak penggunaan kalimah Allah ini membantu masyarakat Kristian berbanding menggunakan perkataan lain. Malah, pada pandangan saya, perkataan ini mengelirukan mereka juga.

Jika menggunakan kalimah Allah merupakan satu-satunya cara untuk membantu masyarakat Kristian mengamalkan kitab mereka, maka, for the greatest good of Christians, ia adalah suatu perkara yang saya perlu berikan kerana mereka mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka. Namun, saya tidak mampu melihat kebaikannya dalam menambahkan piety masyarakat Kristian.

Persoalan yang perlu ditimbulkan dengan menggunakan hujah Lim Kit Siang, adalah, “Adakah isu kalimah Allah ini akan memenangkan PR dengan menarik undi Melayu?”

Isu Kalimah Allah Tidak Akan Memenangkan PR
Isu kalimah Allah ini tidak akan memenangkan PR sama sekali. Jika Lim Kit Siang mahu berhujah dengan menggunakan hujah ini terhadap isu hudud, gunakan hujah yang sama terhadap isu kalimah Allah. Jangan lupa bahawa ramai orang Islam yang tidak bersetuju kalimah Allah digunakan di dalam bible. Jika Lim Kit Siang (dan partinya) mahu memenangkan PR, isu kalimah Allah ini tidak patut dibawa ke muka surat khabar sama sekali.

Malahan Lim Kit Siang sepatutnya sedar, bahawa isu kalimah Allah ini telah menjadi hujah UMNO untuk melabelkan DAP sebagai anti-Islam dan anti-Melayu. Sebagai orang Melayu yang hidup di kawasan kampung, memang isu ini mempengaruhi pengundi Melayu untuk mengundi UMNO. Mungkin DAP tidak terasa kerana mereka tidak bertanding di kawasan Melayu, sedihnya, PAS yang terpaksa berhadapan dengan isu ini.

Jangan lupa, bahawa PR memerlukan kerusi Melayu yang ditandingi PAS untuk memerintah Malaysia. Jika mahu ‘memenangkan PR’, Lim Kit Siang sepatutnya tone down isu kalimah Allah ini, namun, peliknya, tidak pula timbul hujah ‘memenangkan PR’ dalam isu kalimah Allah ini. Hipokrasi apakah ini?

Kalimah Allah dan Hudud: Antara Wajib dan Harus
Jika melihat kepada masyarakat Kristian, menggunakan kalimah Allah dalam kitab mereka bukanlah suatu yang wajib. Menggunakannya bukanlah pra-syarat untuk menjadi penganut Kristian yang lebih baik. Perkara ini, lantang pula Lim Kit Siang (dan partinya) bersuara.

Manakala, hudud pula adalah suatu yang wajib bagi umat Islam, ia adalah sebahagian daripada agama. Lim Kit Siang (dan partinya) cuba melangkaui garisan agama dan mencampuri urusan agama orang lain, walaupun berkali-kali ditegur oleh PAS supaya tidak melangkaui garisan ini. Jika Lim Kit Siang mahu ‘memenangkan PR’, jangan dilihat sebagai parti yang suka melangkaui hak beragama orang lain.

Rights of the People
Saya sering mendengar bahawa isu kalimah Allah itu merupakan isu hak (rights). Orang Kristian ditekan daripada mendapatkan hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah. Begitu juga, hudud pula adalah hak (rights) bagi umat Islam, justeru, umat Islam mempunyai hak untuk mengamalkan undang-undang itu. Adakah hak (rights) orang bukan Islam sahaja yang perlu Lim Kit Siang (dan partinya) perjuangkan?

Kesimpulannya, PAS juga mempunyai hak (rights) untuk membawa apa yang sudah disepakati dalam Dewan Undangan Negeri, kerana ia sudah dipersetujui. Dengan menghormati prinsip demokrasi, PAS wajib membawa isu ini ke hadapan. Jika tidak, Dewan Undangan Negeri tidak lain hanyalah sebuah kedai kopi yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan.


Jika DAP menghormati demokrasi, maka, biarkan PAS bawa isu ini ke hadapan. Jangan jilat ludah sendiri, jangan veto perkara yang sudah disepakati mesyuarat (Dewan Undangan Negeri)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan