Jumaat, 7 Ogos 2015

Ingat, Allah Tempat Bergantung

Beberapa ketika yang lalu, saya menghadiri sebuah ceramah yang mana salah seorang ahli panel yang hadir merupakan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. Sahabat saya di sebelah, bercakap dengan penuh perasaan bahawa dia seakan-akan merasakan bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berada di sana kerana suara Ustaz Tuan mempunyai kesamaan dengan Al-Marhum Tuan Guru. Saya tersenyum dan hanya terdiam. Kawan saya seorang yang periang, jadi, setiap ucapan penceramah, dia akan tambah di penghujungnya. Semoga Allah swt memberikan kamu kejayaan wahai sahabat!

Kemudian, mulalah Ustaz Tuan menceritakan segala-galanya.

DAP Bukannya Lawan Hudud Sangat
Begitulah kata Ustaz Tuan. DAP bukannya lawan hudud sangat. Tapi, kenapa DAP cukup galak menyerang PAS adalah kerana Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Menurut pendapat beliau, hanya tinggal TG Abdul Hadi, sesudah hilangnya Anwar Ibrahim, sebagai calon Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah perkara yang jelas, kerana DAP tidak boleh menjadi Perdana Menteri atas kekangan perlembagaan.

Jadi, untuk memastikan TG Abdul Hadi yang selalu bertentangan dengannya daripada menjadi Perdana Menteri, maka, mereka perlu mengeluarkan TG Haji Hadi daripada kepimpinan. Namun, mereka tersilap kerana pro-Ulama menganggap TG Haji Hadi seorang yang ulama agung dan berperibadi mulia. Tidak mungkin beliau akan menipu dan akan sentiasa bercakap atas dasar kebenaran.

Apabila DAP menyatakan bahawa TG Haji Hadi menipu begitu dan begini, maka, pro-Ulama bangun dan membuang semua pihak yang selalu berbeza pendapat dengan TG Haji Hadi. Perkara ini tidak salah pada norma demokrasi. Malahan, tindakan ini amat penting kerana kesatuan hujah dan fikrah adalah amat penting apabila berhadapan dengan puak-puak yang selalu menipu.

Lihatlah bagaimana perancangan mereka dibalas Allah swt! Ingatlah, Allah swt adalah sebaik-baik perancang!

Langkah Kajang PKR
Penceramah dalam ceramah itu juga menyatakan bahawa apabila Langkah Kajang dibuat, bersungguhlah Menteri Besar Selangor pada ketika itu menolong memenangkan PKR di Kajang. Katanya, jika Menteri Besar itu tahu, pastinya dia tidak akan menolong PKR.

Langkah Kajang pada asalnya merupakan suatu strategi yang baik. Strateginya cukup mudah. Jika Anwar Ibrahim berjaya menjadi Menteri Besar dan berjaya mengimarahkan Selangor ke arah yang lagi baik, ia boleh menjadi bukti bahawa PR dan Anwar sebagai calon Perdana Menteri akan mampu membawa Malaysia ke arah kemajuan yang mereka inginkan.

Namun, perancangan manusia, tidak sempurna. Apabila Anwar dihantar ke penjara, maka, keadaan berubah dengan begitu mendadak. PAS terpaksa mempertahankan Khalid atas dasar kebenaran, dan PKR telah melaksanakan penipuan dan tuduhan tidak berasas semata-mata untuk menjatuhkan Khalid.

Di sini, lihatlah bagaimana Allah swt telah menunjukkan wajah sebenar PKR.

Ingat, Allah swt Tempat Bergantung
Ingatlah, Allah swt itu tempat bergantung. Semua kronologi masalah PAS pada ketika ini mempunyai hikmah yang tidak akan kita ketahui pada ketika ini. Maka, perhatikanlah nanti, akan jelas segala hikmah ini.

Dan ketika itu, kita akan bersyukur semua ini berlaku. Allah swt adalah tempat bergantung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan